#2506: Mengambil Wang Bayaran Semula dari Akaun Anak

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya membatalkan takaful perubatan (termasuk potongan pelaburan) anak-anak yang dibayar selama ini (diganti dengan plan baharu), dan menerima reimbursements dari pembatalan tersebut. Adakah wang diterima itu hak saya (kerana saya yang membayar), atau hak anak-anak (kerana akaun tersebut di bawah nama mereka)? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, seorang bapa sewajarnya menghormati harta atau wang anaknya. Ini berdasarkan pendapat ramai ulama. Jumhur (majoriti) fuqaha’ di dalam mazhab al-Syafi’i, Hanafi dan Maliki berpendapat bahawa ayah tidak boleh mengambil harta anaknya kecuali dalam keadaan yang memerlukannya sahaja. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/446; Hasyiyah Ibn ‘Abidin, 4/513; Hasyiyah ad-Dasuqi ‘ala al-Syarh al-Kabir, 2/522)

Mereka berhujah berdasarkan keumuman hadith Nabi SAW bahawa tidak boleh diambil harta seseorang dengan sewenang-wenangnya. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ بَيْنَكُمْ حَرَامٌ كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا فِي بَلَدِكُمْ هَذَا

Maksudnya: “Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan di antara kamu adalah haram bagimu sepertimana kemuliaan pada harimu ini, di negerimu ini”

Riwayat at-Tirmizi (2159)

Al-Mubarakfuri Rahimahullah telah berkata: “Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan kamu haram bagimu iaitu haram untuk diambil sebahagian daripada kamu ke atas sebahagian yang lain pada hari-hari lain sepertimana kehormatan pada hari ini iaitu pada hari Arafah (pendapat lain: hari raya korban), di negeri ini iaitu Mekah” Lihat Tuhfah al-Ahwazi (8/382)

Meskipun begitu, pandangan fuqaha’ dalam mazhab Hanbali berpendapat bahawa seorang bapa berhak untuk mengambil harta anaknya secara mutlak, sama ada anaknya masih kecil mahupun sudah besar. Namun ia mestilah dengan dua syarat, iaitu:

  • Tidak memberi mudarat kepada anaknya dan tidak mengambil sesuatu yang menjadi keperluan anaknya.
  • Tidak mengambil harta daripada salah seorang anaknya dan memberikannya kepada anak yang lain. (Lihat al-Mughni, 6/62)

Pandangan ini berasaskan hadith Nabi SAW, daripada Jabir bin Abdillah R.A, katanya:

أَنَّ رَجُلا قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّه, إِنَّ لِي مَالا وَوَلَدًا وَإِنَّ أَبِي يُرِيدُ أَنْ يَجْتَاحَ مَالِي, فَقَالَ رسول الله صلى الله عليه وسلم: أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ

Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya seorang lelaki telah berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku memiliki harta dan anak, dan bapaku ingin mengambil hartaku, maka Rasulullah SAW bersabda: “Kamu dan harta kamu adalah milik bapa kamu.”

Riwayat Ibn Majah (2291)

Mengenai hadith ini, selepas menukilkan pandangan muhadithin seperti al-Daraqutni, Ibn Qattan dan al-Munziri Rahimahumullah, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah telah memberi komentar: “Maka gabungan daripada jalan-jalan periwayatan hadith ini tidak akan melemahkannya dan harus berhujah dengannya.” (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih Bukhari, 5/211)

Imam al-Suyuti Rahimahullah berkata: “Hadith ini sanadnya sahih, perawi-perawinya thiqah (dipercayai) atas syarat-syarat Imam al-Bukhari dan mempunyai syahid daripada hadith riwayat ‘Aisyah R.Anha.” (Lihat Misbah az-Zujajah fi Zawaid Ibn Majah, 3/37)

Penutup

Dalam menjawab persoalan di atas, sebaik-baiknya serahlah wang tersebut kepada anak-anak. Akan tetapi jika dia ingin mengambilnya, dan anak-anaknya itu masih berada di bawah tanggungannya, maka dia berhak. 

Antara perkara yang perlu dititikberatkan, hendaklah berlaku adil sesama anak-anak dan jika terpaksa mengambil, maka seboleh-bolehnya, gantilah semula. Ini kerana, ia akan memberi kesan pada jangka masa yang panjang ketika anak-anak mula meningkat dewasa. Perkara yang paling dibimbangi adalah berlaku ungkitan serta tidak puas hati di kalangan anak-anak atas tindakan kita. 

Justeru, hal ini sekalipun dibolehkan, ia juga perlu meraikan situasi, suasana dan perasaan. Semoga perkara seperti ini bukanlah menjadi kebiasaan bagi seorang ayah atau bapa untuk mengambil harta anak-anaknya. 

Semoga hubungan anak dan ayah serta keluarga bertambah mantap dan marilah kita berdoa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Bertarikh: 7 Ogos 2023 bersamaan 20 Muharram 1445 H