Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah kita tidak dibolehkan untuk bercakap dan menceritakan dengan setiap apa yang kita dengar kepada khalayak atau orang?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Rasulullah SAW bersabda:
بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً
Maksudnya: Sampaikanlah kalian daripadaku walaupun sepotong ayat.
Riwayat al-Bukhari (3461)
Syeikh al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadith ini menyatakan bahawa hadith ini menuntut kita untuk menyampaikan satu ayat daripada al-Quran walaupun ayat tersebut pendek. Hadith ini juga boleh difahami bahawa Nabi SAW juga menuntut kita untuk menyampaikan hadith-hadith Baginda SAW. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 7/360)
Walaupun gesaan menyampaikan daripada Nabi SAW tetapi perlu diingat kadang-kadang apa yang dia dengar tidak sesuai untuk disampaikan kepada seseorang kerana boleh jadi kefahamannya cetek dan datang tafsiran yang berlainan sehingga boleh menimbulkan kedustaan ke atasnya.
Rasulullah SAW bersabda:
كَفَى بالمَرْءِ كَذِبًا أنْ يُحَدِّثَ بكُلِّ ما سَمِعَ
Maksudnya: “Cukuplah seseorang itu dikira menipu apabila dia menyampaikan semua perkara yang dia dengari (tanpa tahu kesahihan berita tersebut).”
Riwayat Muslim (5)
Imam al-Nawawi berkata: Di sini menunjukkan larangan daripada bercakap setiap apa yang dia dengar kerana boleh jadi dia dengar pada adatnya benar atau dusta. Justeru, apabila dia berbicara setiap apa yang dia dengar, maka sesungguhnya dia telah mendustakan dengan berita-beritanya yang boleh jadi bukan begitu. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 1/75)
Justeru, kita hendaklah memahami suasana, tempat serta kemampuan orang yang kita ingin khitab dan bercakap dengannya. Akhir kalam, kami nyatakan pesanan Sayyidina Ali R.A, sepertimana diriwayatkan oleh al-Bukhari, katanya:
حَدِّثُوا النَّاسَ بما يَعْرِفُونَ، أتُحِبُّونَ أنْ يُكَذَّبَ اللَّهُ ورَسولُهُ؟
Maksudnya: “Berbicaralah kepada orang ramai sesuai dengan apa yang mereka fahami. Apakah Engkau ingin Allah dan Rasul-Nya didustakan?”
Riwayat al-Bukhari (127)
Hal ini juga disampaikan Abdullah bin Mas’ud R.A, katanya:
ما أنْتَ بمُحَدِّثٍ قَوْمًا حَدِيثًا لا تَبْلُغُهُ عُقُولُهُمْ، إلَّا كانَ لِبَعْضِهِمْ فِتْنَةً
Maksudnya: “Tidaklah Engkau berbicara dengan suatu kaum dengan suatu perkataan yang tidak mampu digapai oleh akal mereka, kecuali akan menjadi fitnah (kesesatan) bagi sebahagian mereka.” (Riwayat Imam Muslim dalam Muqaddimah-nya, hlm. 5)
Al-Munawi menjelaskan: “Ini kerana orang yang mendengar, apabila dia tidak memahaminya, maka dia akan menganggap hal tersebut mustahil, dan tidak akan mengimani ilmu tersebut, bahkan akan menolaknya.” (Lihat Faidh al-Qadir, 3/377) Syaikh al-Abbad pula berkata: “Ketika seseorang berbicara kepada orang lain tentang hal yang tidak digapai oleh akalnya, dan tidak mampu dia cerna, terkadang akan menimbulkan bahaya baginya.” (Lihat Syarah Sunan Abi Daud, 3/12).
Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:
يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”
Bertarikh: 7 Ogos 2023 bersamaan 20 Muharram 1445 H