Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum kita masak atau makan makanan yang dirampas dari gerai makanan yang disita?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Allah SWT berfirman:
وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”
(Surah al-Baqarah: 188)
Ayat di atas boleh difahami bahawa, janganlah sebahagian daripada kamu memakan (mengambil) harta sebahagian yang lain dengan cara yang batil seperti sumpah yang dusta, merampas, mencuri, rasuah, riba dan lain-lain. Selain itu, janganlah kamu menyampaikan hujah-hujah yang batil kepada hakim bagi tujuan memakan harta segolongan manusia dengan cara yang salah sedangkan kamu tahu perkara itu adalah haram ke atas kamu (melakukannya). (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 29)
Kerajaan Malaysia hanya akan menyita makanan dari gerai makanan atau kedai menjual makanan jika makanan tersebut tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan dibawahnya. Ini bagi memastikan keselamatan dan kualiti makanan yang dijual.
Antara kesalahan yang boleh menyebabkan makanan disita di bawah Akta Makanan 1983 tersebut ialah:
- Makanan yang dijual tidak mempunyai label seperti yang diperuntukan di bawah Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
- Terdapat label yang tidak mempunyai nama sebutan sebenar produk makanan seperti peruntukkan yang di bawah Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
- Makanan yang diimport dan dijual di pasaran tempatan juga didapati menggunakan bahasa asing seperti bahasa Korea, Cina dan Thailand sebagai label produk mereka.
- Terdapat produk yang dibuat di Malaysia tetapi menggunakan bahasa Inggeris pada label produk mereka. Kesalahan ini telah melanggar peruntukan bawah Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Makanan 1985
- Bungkusan yang rosak seperti tin kemek dan bekas yang rosak
- Makanan melebihi tarikh luput dan lain-lain lagi.
Menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa hukum memasak atau memakan makanan tersebut tidaklah haram selagi makanan itu adalah daripada yang halal dan tidak memudaratkan kepada sesiapa yang memakannya. Dan jika makanan yang disita itu sudah dimasak lebih baik disedekahkan makanan tersebut kepada fakir miskin jika tidak boleh tahan lama.
Perkara yang perlu dilihat juga bagaimana makanan tersebut dirampas atau disita agar tidak berlaku penindasan dan kezaliman terhadap peniaga tersebut. Jika ini menepati syarat-syaratnya, serta diberikan pula keizinan memiliki oleh pihak penguasa secara undang-undang yang bersifat adil, maka hak sebenar telah dilucutkan berdasarkan undang-undang. Ketika itu, hukumnya adalah harus.
Perkara pokok adalah jangan sekali-kali menindas dan menzalimi sesiapa pun kerana itu adalah perbuatan yang dimurkai oleh Allah SWT. Benarlah sabda Nabi SAW melalui firman Allah SWT:
Daripada Abi Zar al-Ghifariy RA daripada Rasulullah SAW sebagaimana yang Baginda riwayatkan daripada Allah ‘Azza wajal bahawa Dia berfirman:
يَا عِبَادِي: إنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي، وَجَعَلْتُهُ بَيْنَـكُمْ مُحَـرَّمًا؛ فَلَا تَظَالَمـُوا.
Maksudnya: “Wahai hamba-Ku, sesungguhya Aku telah mengharamkan kezaliman atas diri-Ku dan Aku telah mengharamkan kezaliman antara kamu, maka janganlah kamu saling melakukan kezaliman.”
Riwayat Muslim (2577) dan Ibn Hibban (619)
Akhir kalam marilah kita bersama-sama berdoa kepada Allah SWT:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Riwayat Ibn Majah (925), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9930) dan Ahmad (26602)
Bertarikh: 7 Ogos 2023 bersamaan 20 Muharram 1445 H