#2517: Pendarahan Akibat Pembedahan; Adakah Dikira Nifas?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kakak ipar saya telah dibedah kerana mengandung di luar rahim. Usia kandungan ketika dibedah adalah 5 minggu. Soalannya adakah ia dikira darah nifas akibat pembedahan tersebut? 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mendoakan semoga kakak ipar anda diberi kesihatan dan ‘afiyat serta bertabah dengan kesabaran. Semoga Allah SWT ganjarkan dengan pahala atas sedikit ujian dan musibah ini. 

Daripada Abu ‘Abd al-Rahman, Abdullah bin Mas‘ud RA, beliau berkata: Rasulullah SAW menyampaikan kepada kami:  

إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِيْ بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِيْنَ يَوْمَاً نُطْفَةً، ثُمَّ يَكُوْنُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُوْنُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ إِلَيْهِ المَلَكُ فَيَنفُخُ فِيْهِ الرُّوْحَ، وَيَؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ: بِكَتْبِ رِزْقِهِ وَأَجَلِهِ وَعَمَلِهِ وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيْدٌ. فَوَ الَّذِي لاَ إِلَهَ غَيْرُهُ إِنََّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الجَنَّةِ حَتَّى مَا يَكُوْنُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إلا ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ فَيَدْخُلُهَا، وَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إلا ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الجَنَّةِ فَيَدْخُلُهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap kamu dikumpulkan penciptaannya di perut ibunya dalam keadaan air mani selama empat puluh hari, kemudian berubah menjadi seketul darah selama empat puluh hari, kemudian menjadi segumpal daging selama empat puluh hari.  Kemudian  diutus  kepadanya  seorang  malaikat  lalu  ditiupkan padanya  roh  dan  dia  diperintahkan  untuk  menetapkan  empat  perkara:  menetapkan rezekinya,  ajalnya,  amalnya  dan  kesudahannya  sama  ada  kecelakaan  atau kebahagiaan.  Demi  Allah  yang  tidak  ada  tuhan  melainkan-Nya,  sesungguhnya antara kamu ada yang melakukan amalan ahli syurga hingga jarak antara dirinya dan syurga  tinggal  sehasta  akan  tetapi  telah  ditetapkan  baginya  takdir,  lalu  dia melakukan amalan ahli neraka maka masuklah dia ke dalam neraka. Sesungguhnya antara kamu ada yang melakukan amalan ahli neraka hingga jarak antara dirinya dan neraka tinggal sehasta akan tetapi telah ditetapkan baginya takdir, dia melakukan amalan ahli syurga maka masuklah dia ke dalam syurga.”

Riwayat al-Bukhari (3036) dan Muslim (2643)

Berdasarkan nas di atas dan persoalan yang ditanya, jelas menunjukkan kepada kita yang kandungan baru berusia 5 minggu atau 35 hari. Ia masih lagi dalam fasa nutfah amsaj iaitu kurang dari 40 hari. Justeru, keguguran tersebut atau darah yang keluar akibat dibedah tidak dianggap sebagai nifas. Ini kerana takrif nifas ialah darah yang keluar selepas bayi dilahirkan. Kami katakan darah tersebut dianggap sebagai darah istihadah. Justeru, hendaklah dia bersuci dan solat seperti biasa. 

Wallahu a’lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

Bertarikh: 7 Ogos 2023 bersamaan 20 Muharram 1445 H