#2525: Wuduk Bagi Istihadhah Yang Keliru

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya telah mengalami darah istihadhah hingga hari ke-19. Pada hari ke-20 didapati darah telah mulai kering. Jadi saya solat subuh dengan mengambil menukar pad baru dan berwuduk kerana ada spotting darah. Ketika hendak solat Zohor, tiada darah (pad kosong) tetapi saya tetap tukar pad, ambil wuduk, dan barulah solat Zohor. Masa hendak solat Asar, Maghrib dan Isyak juga tiada darah (pad kosong), namun saya tetap tukar pad dan berwuduk setiap kali hendak solat dan barulah solat. 

Esoknya subuh hari ke-21, barulah ada kesan spotting darah di seluar. Jadi, saya basuh, pakai pad, dan barulah solat subuh. Kemudian, untuk solat Zohor dan Asar pad kosong, jadi saya tukar pad dan berwuduk setiap kali hendak solat dan barulah solat. Kemudian, waktu Maghrib ada spotting darah lagi. Soalan saya, sekiranya didapati pada solat seterusnya itu, tiada darah bolehkah kita gunakan wuduk solat yang sebelumnya? Seperti contoh saya guna wuduk solat zohor ketika solat Asar kerana ia waktu yang dekat dan antaranya tiada keluar darah? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sebelum kami menjawab soalan di atas, kami kemukakan terlebih dahulu perkara-perkara yang membatalkan wuduk. Di dalam al-Fiqh al-Manhaji (1/62-63) disebutkan bahawa perkara yang membatalkan wuduk ada lima, iaitu:

  1. Keluar sesuatu daripada salah satu saluran qubul dan dubur kencing, tahi, darah, kentut dan lain-lain.
  2.   Tidur yang tidak tetap. Maksud ‘tetap’ di sini ialah duduk dalam keadaan punggung bertaup rapat dengan lantai manakala maksud tidak tetap pula ialah terdapat rongga di antara punggung dan lantai.
  3.     Hilang akal disebabkan sama ada mabuk, pitam, sakit atau gila.
  4. Seseorang lelaki menyentuh isterinya atau perempuan lain tanpa berlapik dan perbuatan itu membatalkan wuduk kedua-duanya. Maksud perempuan lain ialah perempuan yang halal berkahwin.
  5.     Menyentuh kemaluan manusia, sama ada diri sendiri atau orang lain, sama ada qubul atau dubur dengan tapak tangan dan perut-perut jari tanpa berlapik.

Seterusnya, Istihadhah menurut syarak ialah darah penyakit wanita yang keluar daripada hujung urat yang berada di bawah rahim yang dikenali sebagai (العاذل) selepas tempoh sebanyak-banyak haid atau selepas tempoh sebanyak-banyak nifas atau darah keluar berterusan selepas hari kebiasaan haid. (Lihat al-Wajiz fi al-Fiqh al-Islami 1/126).

Wanita istihadhah dihukumkan seperti wanita suci. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi bahawa orang yang sedang istihadhah seperti orang yang suci (dari segi hukumnya) dalam melakukan solat, puasa, iktikaf, membaca al-Quran dan lain-lain. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/372).

Secara umumnya, oleh kerana wanita istihadhah kebiasaannya darah yang keluar daripada mereka berterusan atau kerap kali, maka wanita istihadhah sama hukumnya dengan mereka yang mengalami kencing tidak lawas (سَلِس الْبَوْل) di mana mereka tidak terhalang untuk melaksanakan solat dan puasa. Wanita istihadhah wajib membasuh faraj serta membalutnya (sumbat dengan kapas dan memakai tuala wanita). Seterusnya mengambil wuduk setelah masuk waktu dan segera menunaikan solat. Adapun, melambatkan solat hanya pada perkara-perkara persediaan sebelum solat (kemaslahatan yang berkaitan solat) seperti menutup aurat, menanti jemaah dan seumpamanya. Kesemua tempoh ini tidak memudaratkan wuduknya (tidak batal). Sekiranya dilewatkan solat tanpa adanya keperluan, maka terbatal wuduk menurut pendapat yang sahih. Begitu juga wajib ke atas wanita istihadhah untuk mengambil wuduk setiap kali solat fardhu dan memperbaharui balutan (tuala wanita) menurut pendapat paling sahih (al-asah) (Lihat Minhaj al-Talibin 1/19).

Dalam menjawab soalan di atas, kami berpendapat bahawa sekiranya tidak ada sebarang darah yang keluar sepanjang tempoh dia dalam keadaan berwuduk dan dia tidak melakukan apa-apa perkara yang membatalkannya, maka wuduknya tetap sah sepanjang tempoh tersebut kerana tidak ada apa-apa perkara yang menyebabkan wuduknya terbatal seperti keluarnya darah dan seumpamanya. Oleh itu, wanita tersebut boleh menggunakan wuduknya yang digunakan untuk solat sebelumnya misalnya solat Zuhur bagi menunaikan solat Asar dengan syarat tidak ada apa-apa perkara yang membatalkannya.

Adapun wanita istihadhah mengambil hukum orang yang kencingnya tidak lawas dalam situasi di mana darahnya sering keluar dan langsung tidak ada waktu darahnya berhenti daripada keluar. Oleh sebab itu, ketika situasi tersebut dia diwajibkan untuk mengambil wuduk atau memperbaharui wuduknya setiap kali hendak solat, di samping wajib membasuh faraj serta membalutnya (sumbat dengan kapas dan memakai tuala wanita).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 7 Ogos 2023 bersamaan 20 Muharram 1445 H