Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ceritakan kepada kami kisah Imam Syafi’i dan dituduh yang akhirnya hampir dihukum oleh Khalifah Harun al-Rasyid?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا
Maksudnya: “Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.”
(Surah al-Ahzab: 23)
Imam al-Tabari berkata: Maksud ayat ini adalah, di antara orang-orang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, terdapat orang-orang yang menepati janjinya kepada Allah, iaitu sabar terhadap pelbagai kesusahan dan mudharat. Antara mereka ada yang menyelesaikan pekerjaan yang dijanjikannya kepada Allah dan diwajibkannya kepada dirinya sendiri bagi Allah, sehingga sebahagian dari mereka mati syahid dalam Perang Badar, sebahagian mati syahid dalam perang Uhud, dan sebahagian lagi mati syahid di tempat lain. Tetapi, di antara mereka ada yang menanti qadha dan penyelesaian dari Allah sebagaimana di antara mereka ada yang ditetapkan memenuhi janji kepada Allah, serta memperoleh pertolongan dari Allah dan kemenangan atas musuhnya. (Lihat Jami’ al-Bayan, 21/50)
Bagi menjawab persoalan di atas, kami nukilkan kisahnya:
Kisah Imam al-Syafi’i bertembung dengan Khalifah Harun al-Rasyid tatkala beliau difitnah menentang khalifah. Akan tetapi sebenarnya Imam al-Syafi’i tidak terbabit sedikit pun dengan kelompok Alawiyin dalam menentang golongan Abbasiyin.
Peristiwa itu berlaku pada bulan Ramadan, ketika Imam al-Syafi’i dibawa ke Baghdad dengan kedua belah tangannya dirantai. Dalam keadaan dibelenggu, para tahanan disuruh berjalan kaki bermula dari Yaman sehingga ke Baghdad, yang mana perjalanan mengambil masa selama dua bulan. Keadaan menjadi semakin sukar apabila tiba di Baghdad, di mana belenggu masih belum lagi dibuka. Keadaan ini menyebabkan, darah-darah hitam melekat pada rantai-rantai yang mengikat tangan mereka.
Pada malam itu, bermulalah sesi hukuman. Para tahanan dibawa seorang demi seorang untuk masuk ke dalam bilik pemeriksaan. Mereka ditanya dengan beberapa soalan, lalu dibunuh dengan leher mereka dipenggal. Darah yang keluar dari leher yang dipotong itu tidak berselerak kerana ia sudah dialas dengan kulit binatang.
Namun, Imam al-Syafi’i berada dalam keadaan yang sungguh tenang ketika menunggu giliran sambil memohon pertolongan dari Allah SWT. Beliau dipanggil untuk menghadap khalifah. Imam al-Syafi’i menyerahkan segala-galanya kepada Allah SWT. Dengan keadaan merangkak kerana kedua belah kaki diikat dengan rantai, Imam al-Syafi’i mengadap khalifah. Semua para pembesar memerhatikan beliau. “Assalamualaika ya Amirul Mukminin wabarakatuh.”
Demikian ucapan salam beliau kepada baginda dengan tidak disempurnakan iaitu “Warahmatullah.” “Waalaikumussalam warahmatullah wabarakatuh.” Jawab baginda. Kemudian baginda bertanya: “Mengapa engkau mengucapkan salam dengan ucapan yang tidak diperintahkan oleh sunnah, dan mengapa engkau berani berkata-kata dalam majlis ini sebelum mendapat keizinan dariku?”
Imam al-Syafi’i menjawab: “Saya tidak mengucapkan kata “Warahmatullah” kerana rahmat Allah itu terletak dalam hati baginda sendiri.” Mendengar kata-kata itu, hati baginda menjadi lembut. Kemudian Imam al-Syafi’i membaca surah Al-Nur, ayat 55 yang bermaksud:
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa.”
Setelah membaca ayat di atas, Imam al-Syafi’i berkata: “Demikianlah Allah telah menepati janji-Nya, kerana sekarang Tuanku telah menjadi khalifah, jawapan salam Tuanku tadi membuat hati saya menjadi aman.” Hati baginda menjadi bertambah lembut. Baginda Harun al-Rasyid bertanya kembali: “Mengapa engkau menyebarkan fahaman Syiah, dan apa alasanmu untuk menolak tuduhan atas dirimu.”
“Saya tidak dapat menjawab pertanyaan Tuanku dengan baik apabila saya masih dirantai begini. Jika belenggu ini dibuka, Insya Allah saya akan menjawab dengan sempurna. Lalu baginda memerintahkan kepada pengawal untuk membukakan belenggu yang mengikat hampir keseluruhan tubuh badan lmam al-Syafi’i.
Setelah rantai yang membelenggu kedua kaki dan tangannya itu dibuka, maka Imam al-Syafi’i duduk dengan baik kemudian membaca surah al-Hujarat ayat 6:
“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik yang membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”
“Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya berita yang sampai kepada Tuanku itu adalah dusta belaka. Sesungguhnya saya ini menjaga kehormatan Islam. Dan Tuankulah yang berhak memegang adab kitab Allah kerana Tuanku adalah putera bapa saudara Rasulullah SAW iaitu Abbas RA. Kita sama-sama menghormati keluarga Rasulullah SAW. Maka kalau saya dituduh berfahaman Syiah kerana saya sayang dan cinta kepada Rasulullah dan keluarganya, maka demi Allah, biarlah umat Islam sedunia ini menyaksikan bahawa saya adalah Syiah. Dan tuan-tuan sendiri tentunya sayang dan cinta kepada keluarga Rasulullah.” Demikian jawapan Imam al-Syafi’i. Baginda Harun al-Rasyid menundukkan kepalanya. Lalu berkata kepada Imam al-Syafi’i: “Mulai hari ini, bergembiralah engkau agar lenyaplah perselisihan antara kami dengan kamu, kerana kami harus memelihara dan menghormati pengetahuanmu wahai Imam al-Syafi’i.”
Ibn Abd al-Bar menyebut kenyataan Imam Syafi’e: Tatkala aku dihadapkan, sedang Muhammad ibn al-Hasan bersama khalifah. Dan beliau mengucapkan sama dengan ucapan kepada pemuda ‘Alawi yang telah dibunuh. Lantas aku berkata, “Wahai Amir al-Mukminin. Saya bukan Tolibi atau ‘Alawi. Saya dibawa bersama mereka kerana tuduhan palsu. Saya keturunan al-Muttalib bin Abdu Manaf bin Qusai. Saya memiliki sedikit ilmu dan Fiqh. Tuan Qadhi mengetahui perkara ini. Saya adalah Muhammad bin Idris bin al-Abbas bin Uthman bin Syafi’i bin al-Saib bin Ubaid bin Abd Yazid bin Hasyim bin al-Muttalib bin Abd Manaf.”
Khalifah bertanya: “Engkau Muhammad bin Idris?”
Lantas saya menjawab, “Benar, ya Amir al-Mukminin.” Baginda berkata, “Muhammad bin al-Hasan tidak pernah menyebutkan dirimu.” Lantas Baginda menoleh ke arah Muhammad bin al-Hasan dan bertanya, “Wahai Muhammad, adakah ucapan orang ini benar?” Jawab beliau, “Ya benar. Beliau memiliki darjat yang tinggi dalam ilmu. Dakwaan dan tuduhan kepadanya tiada kena mengena dengan dirinya.”
Khalifah berkata, “Ambillah orang ini bersamamu sehingga aku membuat siasatan.” Lantas Muhammad ibn al-Hasan membawaku keluar. Beliau menjadi sebab Allah menyelamatkan diriku. (Lihat Imam al-Syafi’i: Riwayat Hidup, Ketokohan dan Murid (terj.) oleh Ibn Abd al-Bar al-Qurtubi, hlm. 52) (Lihat Imam 4 Mazhab, hlm. 240-243)
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”
Surah al-Kahfi (10)
Bertarikh: 7 Ogos 2023 bersamaan 20 Muharram 1445 H