#2537: Waktu Takbir Intiqal

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Ketika seseorang hendak rukuk misalnya, bilakah dia kena bertakbir intiqal? Adakah sebelum rukuk atau semasa rukuk? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya kita diperintahkan untuk mendirikan solat sepertimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada kita. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Malik bin al-Huwairith bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وصَلُّوا كما رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

Maksudnya: Solatlah sepertimana kamu semua melihat aku solat.

Riwayat al-Bukhari (6008) dan Muslim (674)

Ringkasnya, takbiratul intiqal ialah takbir yang diucapkan ketika perpindahan antara rukun melainkan apabila bangkit daripada rukuk tidak disunatkan untuk bertakbir akan tetapi mengucapkan “سَمِعَ اللهُ لِمَن حَمِدَه، رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمِدُ” sebagai gantinya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/153).

Di antara hikmah disyariatkan bertakbir ketika turun dan naik (dalam pergerakkan solat) adalah kerana seorang mukallaf diperintahkan untuk berniat pada awal solatnya yang diikuti dengan bertakbir. Maka menjadi haknya untuk dia berpada dengan niat tersebut (mengiringinya) sehingga akhir solatnya. Oleh itu, dia diperintahkan untuk memperbaharui akad di dalam solatnya dengan bertakbir yang merupakan syiar niat. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 13/208).

Dalam menjawab soalan di atas, disyariatkan bagi setiap orang yang mendirikan solat sama ada imam, makmum dan munfarid (orang yang solat sendirian) untuk menjadikan takbirnya menuju ke rukuk (iaitu takbiratul intiqal) selari dengan gerakannya. Jadi, dia bertakbir ketika dia mula menunduk (untuk rukuk) dan mengakhirinya sebelum mencapai had rukuk (yang sempurna). Maka, takbirnya berada di antara dua rukun iaitu berdiri dan rukuk.

Sesungguhnya sunnah telah menunjukkan bahawa takbir dilakukan sejajar dengan gerakan yang dimaksudkan dalam rukuk, sujud, dan berdiri dari rukuk, sebagaimana yang terdapat dalam hadith sahihain daripada Abu Hurairah, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا قَامَ إِلَى الصَّلاَةِ يُكَبِّرُ حِينَ يَقُومُ، ثُمَّ يُكَبِّرُ حِينَ يَرْكَعُ، ثُمَّ يَقُولُ: سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، حِينَ يَرْفَعُ صُلْبَهُ مِنَ الرَّكْعَةِ، ثُمَّ يَقُولُ وَهُوَ قَائِمٌ: رَبَّنَا لَكَ الحَمْدُ، ثُمَّ يُكَبِّرُ حِينَ يَهْوِي، ثُمَّ يُكَبِّرُ حِينَ يَرْفَعُ رَأْسَهُ، ثُمَّ يُكَبِّرُ حِينَ يَسْجُدُ، ثُمَّ يُكَبِّرُ حِينَ يَرْفَعُ رَأْسَهُ، ثُمَّ يَفْعَلُ ذَلِكَ فِي الصَّلاَةِ كُلِّهَا حَتَّى يَقْضِيَهَا، وَيُكَبِّرُ حِينَ يَقُومُ مِنَ الثِّنْتَيْنِ بَعْدَ الجُلُوسِ

Maksudnya:Apabila Rasulullah SAW berdiri ingin menunaikan solat, Baginda mengangkat takbir ketika berdiri. Kemudian Baginda mengucapkan takbir ketika hendak rukuk. Setelah itu, Baginda mengucapkan: “سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ” (Allah SWT mendengar sesiapa yang memuji-Nya) ketika mengangkat tulang belakangnya dari rukuk. Apabila berdiri tegak Baginda membaca: “رَبَّنَا لَكَ الحَمْدُ” (Wahai Tuhan, bagi-Mu segala pujian).” Kemudian Baginda mengucapkan takbir ketika (hendak turun) sujud. Setelah itu, Baginda mengucapkan takbir ketika mengangkat kepalanya (dari sujud). Kemudian Baginda mengucapkan takbir ketika (hendak) sujud (kali yang kedua). Kemudian Baginda mengucapkan takbir ketika mengangkat kepalanya (dari sujud untuk berdiri). Begitulah Baginda melakukan kesemuanya dalam solat sehingga Baginda selesai. Dan Baginda SAW mengucapkan takbir ketika bangkit dari dua rakaat sesudah duduk (tasyahhud awal).

Riwayat al-Bukhari (789) dan Muslim (392)


Menurut Imam al-Nawawi, ini adalah dalil yang menunjukkan bahawa takbiratul intiqal adalah sejajar dengan gerakan (yang dilakukan) dan dipanjangkannya (sehingga mencapai posisi yang dituju dengan sempurna). Jadi, dimulakan dengan bertakbir ketika hendak beralih ke rukuk dan memanjangkannya (takbir itu) sehinggalah mencapai posisi rukuk yang sempurna. Kemudian, barulah dia membaca tasbih rukuk. Begitu juga dia bertakbir ketika dia mulai menurun menuju sujud, dan memanjangkannya (takbir itu) hingga dia meletakkan dahinya di atas tanah. Kemudian dia membaca tasbih sujud. Begitu juga dia mulai membaca “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ” ketika dia mulai bangkit dari rukuk dan memanjangkannya (bacaan tasmi‘ itu) sehinggalah dia berdiri tegak. Kemudian dia membaca bacaan iktidal iaitu “رَبَّنَا لَكَ الحَمْدُ”. Begitu juga dia mulai dengan bertakbir untuk bangun dari tasyahhud awal ketika dia akan beralih posisi dan memanjangkannya (bacaan takbir itu) sehinggalah dia berdiri tegak. Inilah mazhab kami (mazhab Syafi‘i) dan mazhab ulama keseluruhannya kecuali apa yang diriwayatkan daripada Umar bin ‘Abd al-‘Aziz dan juga pendapat Imam Malik bahawa seseorang itu tidak bertakbir untuk bangun dari dua rakaat (ketika tasyahhud awal) sehingga dia berdiri tegak. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/99).

Terdapat dalam kalangan fuqaha yang agak keras dalam hal ini, dan berpendapat bahawa jika seseorang yang mendirikan solat itu memulakan takbir dalam keadaan dia masih berdiri sebelum menunduk (untuk rukuk) atau dia menyelesaikan takbir setelah mencapai posisi rukuk (yang sempurna), maka ia tidak memadai dan dia dianggap meninggalkan takbiratul intiqal kerana dia menyebutkan takbir itu bukan pada tempatnya. Berdasarkan kepada pendapat yang mewajibkan takbiratul intiqal, maka solatnya terbatal jika dia sengaja melakukannya. Jika dia melakukannya secara tidak sengaja, dia hendaklah sujud sahwi disebabkan oleh kecuaiannya itu. Namun, pendapat yang sahih, hal itu dimaafkan untuk mengelakkan daripada berlakunya kesusahan (masyaqqah).

Ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Mardawi dalam al-Insaf (2/59), al-Majid dan selainnya menyebutkan, hendaklah takbiratul intiqal itu dimulai bersama mulanya perpindahan (peralihan) dan diakhiri dengan berakhirnya peralihan itu. Jika dia menyelesaikannya pada sebahagian sahaja daripadanya iaitu apabila ia berlaku di antara dua rukun (dalam peralihan tersebut) tanpa memanjangkannya, maka ia memadai (dikira sah) kerana ia tidak keluar daripada tempatnya (yang dituntut) tanpa sebarang khilaf. Namun, jika dia mulai bertakbir sebelumnya (sebelum bergerak untuk beralih) atau menyelesaikanya setelah mencapai posisi yang dituju, maka sebahagian takbiratul intiqal itu telah berlaku di luar dari tempat yang ia dituntut. Jadi, ia dianggap seperti meninggalkannya kerana tidak menyelesaikannya di tempat yang semestinya, seperti seseorang yang menyelesaikan bacaan surah al-Fatihah sambil rukuk atau mengucapkan tasyahhud awal sebelum duduk. Boleh jadi hal itu termasuk dalam perkara yang dimaafkan kerana menghindarinya sangat susah untuk dilakukan, sedangkan ia selalu terjadi. Oleh itu, berpendapat solatnya terbatal disebabkan oleh perkara tersebut atau dia mesti melakukan sujud sahwi akan menimbulkan kesusahan (masyaqqah).

Selain itu, Syeikh Ibn Soleh al-‘Uthaimin juga ada membahaskan berkenaan perkara ini dan beliau menyimpulkan, sekiranya seseorang memulai takbir sebelum menunduk (untuk rukuk) dan menyelesaikannya setelah mencapai posisi rukuk (yang sempurna), maka tidak mengapa. Begitu juga dia memulai takbir ketika menunduk (untuk rukuk) dan menyelesaikannya setelah mencapai posisi rukuk (yang sempurna), maka tidak mengapa. Akan tetapi afdhalnya (lebih baik), jika takbiratul intiqal itu dilakukan di antara dua rukun semampu mungkin. Demikianlah juga bagi ucapan “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ” dan seluruh takbiratul intiqal yang lain. Namun, jika seseorang itu tidak memulai takbir melainkan setelah mencapai posisi rukun yang berikutnya (iaitu yang dituju), maka takbiratul intiqal itu tidak dikira. (Lihat al-Syarh al-Mumti‘, 3/87-88).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa tempat takbiratul intiqal adalah ketika berlakunya perpindahan antara dua rukun itu. Ia bermula ketika mana seseorang itu bergerak sama ada untuk tunduk (bagi rukuk dan sujud) atau bangkit dari rukuk, sujud dan seumpamanya dan berakhir apabila rukun/posisi yang dituju telah dicapai. Afdhalnya adalah takbiratul intiqal ini dilakukan ketika perpindahan antara dua rukun semampu mungkin tanpa diawalkan mahupun dilewatkan dalam menyelesaikannya.

Akan tetapi jika seseorang itu memulainya sedikit awal mahupun sedikit terlewat setelah mencapai posisi yang dituju, tidak mengapa dan solatnya masih sah serta tidak dianggap terbatal. Lebih-lebih lagi, takbiratul intiqal ini termasuk dalam perkara sunat dan bukannya wajib. Bahkan jika seseorang meninggalkannya (tidak melakukan takbiratul intiqal), maka tidak berdosa dan solatnya masih dikira sah, tidak kira dia meninggalkannya dengan sengaja mahupun disebabkan terlupa. Akan tetapi dihukumkan sebagai makruh meninggalkannya secara sengaja. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/414).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Riwayat Ibn Majah (925), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9930) dan Ahmad (26602)

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 9 Ogos 2023 bersamaan 22 Muharram 1445 H