#2538: Kaedah Imam Abu Hanifah Dalam Pengajaran

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada dengar Imam Abu Hanifah sama ada ketika mengajar atau belajar mempunyai caranya yang tersendiri serta penyelesaiannya yang cukup baik, benarkah?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Imam Abu Hanifah terkenal sebagai seorang yang ulung dalam mengasaskan kaedah qias (al-Qiyas). Kaedah ini berkembang terus sebagai salah satu dasar hukum Islam. Semasa peninggalan tuan gurunya, beliau pernah menggantikan tempat gurunya itu untuk mengajar. Pada masa itu, banyak soalan yang dikemukakan kepadanya. Maka beliau telah menjawab kesemua soalan itu. 

Apabila tuan gurunya pulang dari musafir, beliau meminta gurunya supaya memeriksa jawapan-jawapan yang telah diberikannya. Gurunya hanya bersetuju 40 dari 60 jawapan yang telah dijawabnya. Dari situ, beliau berjanji tidak akan berpisah dengan gurunya sehingga akhir hayatnya. Setelah gurunya meninggal dunia, beliau telah menggantikan tempat gurunya, maka ramailah murid-murid yang datang belajar kepadanya.

Kaedah Imam Abu Hanifah dalam pengajaran antaranya adalah dengan mengajak muridnya untuk bermunaqasyah. Ketika mana dibentangkan kepada beliau sesuatu hadis Nabi SAW, maka beliau akan mengajak para pelajarnya untuk bermunaqasyah (berbincang) dalam mencari illah (sebab) bagi hukum tersebut untuk disesuaikan dengan permasalahan. Method inilah dinamakan fiqh. Beliau mengatakan: “Perumpamaan seseorang yang mempelajari hadis tanpa fiqh, seumpama pengumpul ubat yang tidak mengetahui kegunaan ubat-ubatan yang dikumpulnya.” (Lihat Abu Hanifah: Hayatuhu wa ‘Asruhu – Ara’uhu wa Fiqhuhu oleh Syeikh Muhammad Abu Zahrah)

Cara pengajaran Imam Abu Hanifah berpandukan kepada beberapa dasar atau kaedah yang telah lepas dan juga yang akan disebutkan, antaranya:

  • Kemudahan di dalam ibadah dan pekerjaan harian. Contohnya, kemudahan dalam ibadah: Hukum menyuci kain atau baju yang terkena najis. Imam Abu Hanifah mengharuskan menyucikannya dengan menggunakan air mawar, cuka atau sebagainya. Asalkan penyuci itu berbentuk cairan dan tidak hanya tertentu kepada air sahaja.
  • Contoh yang kedua ialah hukum mengadap kiblat di waktu malam yang gelap atau di masa-masa yang susah hendak menentukan arah kiblat. Hukumnya sah, sekalipun didapati ia tidak menuju ke arah kiblat, tetapi dengan syarat sudah berusaha mencari arah kiblat. 
  • Menjaga hak-hak fakir miskin. Contohnya, zakat pakaian, emas dan perak adalah wajib, dan tidak wajib zakat kepada orang yang berhutang.
  • Mengakui peradaban hidup manusia. Contohnya ialah pengakuan keIslaman anak-anak yang belum baligh sebagai seorang Islam yang sempurna, sama seperti orang dewasa juga. Contoh yang lain pula ialah harus orang yang menerima wasiat menjaga harta anak yatim dan menjalankan perniagaan dengan harta anak yatim tersebut.
  • Memelihara kehormatan dan perikemanusiaan. Contohnya, diharuskan anak-anak perempuan yang sudah cukup umur untuk mencari pasangan hidup tanpa kebenaran wali. Perkahwinan secara paksa bagi anak perempuan tersebut tidak sah sekiranya dia menolak. Contoh yang lain pula ialah diharuskan seorang lelaki atau dua orang perempuan untuk menjadi saksi perkahwinan. 
  • Memberi kuasa penuh kepada kerajaan dan ketua-ketua Negara. Contohnya, kerajaan atau ketua-ketua berhak menguruskan kekayaan negara, seperti tanah dan sebagainya untuk kepentingan umum. Kerajaan atau orang yang berkuasa berhak juga memberi hadiah kepada pejuang atau perajurit tanah air sebagai galakan kepada mereka. Begitu juga kerajaan berkuasa membahagikan tanah-tanah yang belum dibuka kepada anak-anak negeri atau membukakannya.

Semoga Allah SWT merahmati Imam Abu Hanifah atas usahanya yang gigih dan ijtihadnya yang menunjukkan Islam sesuai di sepanjang zaman serta di semua keadaan. Semoga Allah SWT limpahkan kepada Imam Abu Hanifah kurniaan rahmat-Nya serta pahala atas perjuangannya dalam menyebarkan ilmu kepada khalayak masyarakat yang sehingga kini dapat dimanfaatkan oleh umat Islam. Marilah sama-sama kita berdoa:

اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا ، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Perelokkanlah kesudahan segala urusan kami, serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan hidup di akhirat.” 

Riwayat Ahmad (17628), al-Tabarani dalam al-Du’a (1436), al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (269) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (6508)

Bertarikh: 9 Ogos 2023 bersamaan 22 Muharram 1445 H