#2539: Meletakkan Syarat dalam Wasiat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin mendapatkan kepastian, bolehkah kita meletakkan syarat dalam wasiat? Sebagai contoh, perlu kahwin baru dapat harta yang diwasiatkan?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Wasiat menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat bermaksud kehendak yang penghabisan yang disampaikan oleh orang yang hampir meninggal dunia (berkenaan harta dan lain-lain) atau juga didefinisikan sebagai pesanan terakhir.

Wasiat itu merupakan salah satu dari amal kebaikan yang dilakukan seseorang bagi menampung kekurangannya daripada amal kebaikan ketika hayatnya, dan juga wasiat itu kerana mengharapkan ganjaran daripada Allah SWT. 

Wasiat ini disyariatkan berdasarkan firman Allah SWT:

مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ

Maksudnya: “(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya.”

Dan juga firman Allah SWT:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا شَهَادَةُ بَيْنِكُمْ إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ حِينَ الْوَصِيَّةِ اثْنَانِ ذَوَا عَدْلٍ مِّنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila salah seorang di antara kamu hampir mati, ketika (ia mahu) berwasiat, hendaklah wasiatnya itu disaksikan oleh dua orang yang adil di antara kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 106)

Ini juga berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 مَا حَقُّ امْرِئٍ مُسْلِمٍ لَهُ شَىْءٌ، يُوصِي فِيهِ يَبِيتُ لَيْلَتَيْنِ، إِلاَّ وَوَصِيَّتُهُ مَكْتُوبَةٌ عِنْدَهُ ‏

Maksudnya: “Tidak ada hak bagi seorang muslim yang akan berwasiat dengan sesuatu untuk tidur dua malam, kecuali wasiat tersebut sudah dituliskannya di sisinya.”

Riwayat al-Bukhari (2438) dan Muslim (1627)

Islam telah meletakkan beberapa ketetapan bagi memastikan tujuan pensyariatan wasiat itu tercapai, antaranya adalah memenuhi apa-apa syarat yang telah ditetapkan oleh pewasiat, kerana dia tidaklah menetapkan syarat tersebut melainkan dengan tujuan tertentu. Meskipun begitu, tidak wajib bagi ahli waris untuk menjalankan syarat yang ditetapkan jika ianya bertentangan dengan syara‘. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةٍ، إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي المعْرُوفِ

Maksudnya: “Tiada ketaatan pada perkara maksiat, sesungguhnya ketaatan hanya pada perkara yang makruf (kebaikan) sahaja.”

Riwayat al-Bukhari (7257) dan Muslim (1840)

Hukum meletakkan syarat  ketika memberikan wasiat adalah diharuskan menurut ulama’. Imam Ibn Hajar al-Haitami menukilkan pandangan ashab al-Syafi‘iyyah seperti Abu al-Qasim al-Saimari, Abu Ishaq al-Syirazi, Abu al-‘Abbas Ibn al-Rif‘ah dan al-Qadhi Najm al-Din al-Qamuli bahawa wasiat yang disertakan dengan syarat ini dibolehkan, sama ada (syarat itu) semasa hidup atau selepas meninggal dunia. Contohnya seseorang berkata, “jika dia mengahwini anak perempuanku” atau “jika dia pulang dari musafir” tau “jika aku mati kerana penyakit ini”. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 7/7)

Bahkan, perkara ini juga seperti yang termaktub dalam Enakmen Wasiat Orang Islam di Malaysia. Sebagai contoh, kami bawakan Enakmen Wasiat Orang Islam Selangor (1999), pada bahagian 2 yang menyebutkan tentang Pelaksanaan Wasiat. Disebutkan di dalam seksyen 5 bahawa:

  1. Sesuatu wasiat boleh dibuat secara mutlak atau tertakluk kepada sesuatu syarat.
  2. Sesuatu wasiat yang tertakluk kepada sesuatu syarat, sama ada yang mengawal cara bagaimana harta atau manfaat sesuatu wasiat itu akan dinikmati atau kelakuan dan aktiviti benefisiari secara umum, adalah sah jika syarat itu sendiri adalah sah menurut Hukum Syarak.
  3. Sesuatu syarat kepada sesuatu wasiat adalah sah dan boleh dikuat kuasakan sekiranya syarat tersebut ialah sesuatu syarat yang memberi faedah yang sah kepada pewasiat atau benefisiari atau orang lain, dan ia tidak dilarang atau bertentangan dengan tujuan syariah.

Begitu juga fatwa yang dikeluarkan oleh Dar al-Ifta’ al-‘Urduniyyah berkenaan isu orang yang meletakkan syarat agar sejumlah wang wasiat diberikan kepada penerima pada setiap bulan selama 10 tahun. Mereka menyimpulkan bahawa wasiat tersebut sah dan wajib untuk menunaikan seperti yang telah ditetapkan.  Maka sejumlah wang yang telah ditetapkan perlu diberikan kepada penerima wasiat seperti yang telah ditetapkan.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan yang kami bawakan di atas, tidak menjadi masalah jika seseorang ingin meletakkan syarat ketika menyampaikan wasiat, selagi mana syarat tersebut tidak bercanggah dengan hukum Islam. 

Syarat tersebut juga mestilah pada perkara yang tidak mustahil untuk dilakukan agar ianya tidak menjadi syarat yang sia-sia. Hal ini kerana jika syarat tersebut mustahil dilaksanakan, maka wasiat tersebut juga mustahil untuk terlaksana.

Semoga dengan sedikit pencerahan ini akan memberikan kita kefahaman yang lebih baik berkenaan isu wasiat, seterusnya mengamalkannya bersesuaian dengan ketetapan syara‘.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.” 

Riwayat al-Tirmizi (3173), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (1443) dan Ahmad (223)

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 9 Ogos 2023 bersamaan 22 Muharram 1445 H