#2540: Menerima Duit Belanja Daripada Kekasih Yang Belum Halal

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah kita menerima duit belanja daripada kekasih yang belum halal. Apakah dibenarkan di dalam Islam? Mohon pencerahan

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Saling memberi hadiah secara hukum asal adalah perkara yang dibolehkan, dengan keumumuman hadith Rasulullah SAW: 

تَهَادُوْا تَحَابُّوْا

Maksudnya: “Saling menghadiahilah kalian nescaya kalian akan saling mencintai.” 

Riwayat Al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (594), dinilai hasan berdasarkan pengarang kitab Irwa` al-Ghalil (160)

Salah satu kemuliaan ajaran Islam adalah sunnah memberikan hadiah kepada orang lain. Hal ini akan menimbulkan rasa cinta dan kasih sayang serta menghilangkan perasaan yang dapat merosakkan persaudaraan seperti hasad, dengki, iri hati dan seumpamanya.

Imam al-Baji dalam syarahnya atas al-Muwatta’ berkata: “Sabda Nabi SAW, ‘تَهَادُوْا تَحَابُّوْا,’ maksudnya adalah sebagai salah satu sebab yang menguatkan perasaan kasih sayang antara sesama manusia. Dan Nabi SAW menerima hadiah dan berkata, ‘Jika aku diberi haiwan qurban, maka aku akan menerimanya.’ (Lihat al-Muntaqa Syarh al-Muwatta’, 7/217)

Syeikh Muhammad bin Soleh al-’Uthaimin berkata:  “Manusia itu akan diberikan pahala atas hadiah kerana ia merupakan kebaikan dan Allah SWT menyukai kebaikan. Hal ini kerana hadiah merupakan sebab penyatuan dan rasa cinta. Apapun yang dapat menjadi sebab penyatuan dan rasa cinta antara kaum muslimin, maka ini dianjurkan. Diriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: ‘“Hendaklah kalian saling memberi hadiah, Nescaya kalian akan saling mencintai’. Terkadang memberi hadiah itu lebih baik dan terkadang sedekah itu lebih baik (pada keadaan tertentu).” (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 16/2)

Ketika kita diberi hadiah, hendaklah kita menerima hadiah tersebut walaupun nilainya kecil, kerana hakikat daripada hadiah adalah ingin menunjukkan perhatian, menimbulkan kesatuan dan rasa cinta sesama kaum muslimin.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَا نِسَاءَ المُسْلِمَاتِ، لاَ تَحْقِرَنَّ جَارَةٌ لِجَارَتِهَا، وَلَوْ فِرْسِنَ شَاةٍ

Maksudnya: “Wahai wanita-wanita muslimah! Janganlah seorang itu meremehkan hadiah daripada jirannya, meskipun hadiah itu sekadar bahagian kaki kambing yang tidak mempunyai daging.”

Riwayat al-Bukhari (2566) dan Muslim (1030)

Bahkan terdapatnya anjuran untuk tidak menolak pemberian hadiah karena ia boleh menyakiti hati orang yang memberikan hadiah. Sekiranya hadiah itu tidak diperlukan, ia boleh diberikan kepada orang yang lebih memerlukan.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:                           

أَجِيبُوا الدَّاعِيَ، وَلَا تَرُدُّوا الْهَدِيَّةَ

Maksudnya:Hadirilah jemputan dan jangan tolak hadiah”

Riwayat Ahmad (3838) dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (157). Hadith ini dinilai sahih oleh Ahmad Syakir dalam Musnad Ahmad (5/322), begitu juga dengan Syeikh Syuaib al-Arnaut yang menilai sanadnya sebagai jayyid dalam kitab Takhrij al-Musnad (3838)

Menerima Duit Belanja Daripada Kekasih Yang Belum Halal

Pertama, pada asasnya tidak dibenarkan bagi wanita untuk menjalinkan hubungan dengan lelaki yang tidak halal baginya. Hubungan sebegini boleh menjebakkan diri pada  perkara-perkara yang haram dan keji dan seumpamanya yang tidak diredhai oleh Allah SWT.

Berkenaan dengan persoalan diatas mengenai wang atau hadiah-hadiah yang diterima daripada berbeza jantina, Jika hadiah tersebut tidak bermaksud untuk tujuan haram, maka tidak ada masalah untuk menerimanya. Rasulullah SAW telah menerima hadiah-hadiah daripada wanita-wanita yang bukan mahram dan baginda menerimanya. Baginda SAW juga telah memberikan hadiah-hadiah kepada beberapa wanita. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَرُوسًا بِزَيْنَبَ، فَقَالَتْ لِي أُمُّ سُلَيْمٍ: لَوْ أَهْدَيْنَا لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هَدِيَّةً، فَقُلْتُ لَهَا: افْعَلِي، فَعَمَدَتْ إِلَى تَـمْرٍ وَسَـمْنٍ وَأَقِطٍ، فَاتَّخَذَتْ حَيْسَةً فِي بُرْمَةٍ، فَأَرْسَلَتْ بِـهَا مَعِي إِلَيْهِ، فَانْطَلَقْتُ بِـهَا إِلَيْهِ…

Maksudnya: Pada suatu ketika Baginda SAW baru berkahwin dengan Zainab. Ummu Sulaim berkata kepadaku: “Apa kata kita hadiahkan kepada Rasulullah SAW satu hadiah?” Aku berkata kepadanya: “Lakukanlah.” Maka ibuku mengambil kurma, minyak sapi dan keju lalu membuat sejenis manisan di dalam periuk dan memerintahkan aku membawanya kepada Baginda SAW. Aku berangkat membawa kiriman itu kepada Baginda SAW…

Riwayat al-Bukhari (5163)

Tidak ada keraguan bahawa hukum yang telah kami jelaskan sebelumnya adalah yang sebenarnya, namun, majoriti masyarakat pada zaman ini adalah lemah iman dan kurang pengetahuan agamanya. Dibimbangi jika dibenarkan kesalahan dalam hubungan antara lelaki dan wanita ajnabi akan membuka pintu mafsadah yang tidak mudah ditutup kembali. Para ulama telah memutuskan bahawa mencegah kemungkaran adalah lebih utama daripada membawa maslahah.

Justeru, jika pemberian wang atau hadiah itu adalah dengan niat haram atau terdapatnya kemungkinan akan membawa kepada pelanggaran haram yang dilarang oleh Allah, maka dalam hal ini kami mengatakan bahawa lebih baik untuk tidak menerima pemberian wang atau hadiah keselamatan sebagai langkah berjaga-jaga. kami simpulkan hal persoalan sauadara atau saudari ini kepada beberapa panduan dan syarat:

  • Sekiranya wang atau hadiah tersebut bukan dengan niat pada suatu yang haram atau sesuatu wasilah menuju kepada yang diharamkan Allah, maka dibenarkan untuk menerimanya. Sebagai contoh, wang atau hadiah itu diberikan untuk tujuan pergi ke tempat maksiat, maka diharamkan untuk menerimanya.
  • Hadiah yang diberikan tidak menimbulkan fitnah yang menyebabkan terjalin hubungan yang terlarang antara seorang wanita dengan lelaki yang bukan mahram.
  • Wang atau hadiah yang diberikan bukan untuk memperingati sambutan yang haram seperti hari valentine’s day dan seumpamanya.

Oleh itu, kami menasihati kepada saudara atau saudari yang bertanya supaya menghindari hubungan kekasih yang tidak halal ini kerana ia boleh menjebakkan diri kepada jalan maksiat. Adalah lebih baik dengan menggunakan duit saudara atau saudari yang ada itu sebagai persiapan ke arah pernikahan.   Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, Nabi SAW bersabda:

يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ

Maksudnya: “Wahai para pemuda! Sesiapa di antara kamu telah mampu (pembiayaan) berkahwin, maka bernikahlah. Kerana nikah itu dapat menundukkan mata dan memelihara faraj (kelamin). Dan sesiapa yang belum mampu, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu dapat menjadi perisai baginya (dalam membendung syahwat)”

Riwayat al-Bukhari (5065) dan Muslim (3466)

Imam al-Nawawi menjelaskan, adapun pengertian al-ba’ah (الْبَاءَةَ) sendiri adalah jima’ (hubungan intim), inilah makna al-ba’ah (الْبَاءَةَ) pada bahasa. Namun yang dimaksudkan adalah mampu untuk berjima’ disertai dengan kemampuan memberi nafkah terlebih dahulu. Sesiapa yang tidak mampu berjima’ lantaran belum mampu dari segi nafkah, maka hendaklah dia rajin berpuasa untuk mengekang syahwatnya yang menggelora. Gejolak maninya dapat ditahan dengan rajin berpuasa sunat seperti itu. Itulah maksud hadis yang dikemukakan di atas. Hadis tersebut ditujukan kepada para pemuda yang syahwatnya sudah menggelora namun belum mampu untuk memberi nafkah. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 9/154)

Junjunglah serta taatlah perintah Allah SWT:

 وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

(Surah al-Isra’: 32)

Ibn Kathir berkata: “Allah SWT melarang para hambaNya daripada perbuatan zina dan menegah daripada mendekatinya. Begitu juga setiap yang membawa kepada zina seperti faktor-faktor dan aspek-aspek yang membawa kepadanya. Firman-Nya: (وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً) “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji”, yakni suatu perbuatan dosa besar. Firman-Nya: (وَسَاءَ سَبِيلًا) “dan satu jalan yang jahat,” yakni merupakan seburuk-buruk jalan dan tingkah laku. (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 5/72)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.” 

Riwayat al-Tirmizi (3173), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (1443) dan Ahmad (223)

Semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 9 Ogos 2023 bersamaan 22 Muharram 1445 H