#2542: Siapakah Panglima Perang Mu’tah?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Perang Mu’tah berlaku pada 8 H di bulan Jamadilawal. Siapakah panglima tenteranya dan bagaimana kesudahan peperangan ini?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami nukilkan jawapan daripada Saffiyu al-Rahman al-Mubarakfuri, katanya:

Perang Mu’tah ialah peperangan paling besar dan hebat yang dilalui oleh tentera Islam semasa hayat Rasulullah SAW. Perang ini berlaku pada bulan Jamadilawal tahun 8 Hijrah, bersamaan bulan Ogos atau September tahun 629 Masihi. Perang Mu’tah merupakan permulaan kepada kejayaan umat Islam menakluki negara-negara Kristian selepas itu.

Mu’tah ialah sebuah kampung yang paling dekat dengan wilayah Balqa di Syam. Jarak antara Mu’tah dengan Baitulmuqqadis hanya dua marhalah sahaja.

Punca peperangan

Bermulanya perang ialah apabila Rasulullah SAW mengutuskan al-Harith bin Umair al-Azdiy untuk menyampaikan surat Rasulullah SAW kepada pemerintah Busra. Al-Harith telah dihalang oleh Syurahbil bin Amru al-Ghassani, seorang gabenor Kaisar di wilayah Balqa, Syam. Dia menangkap al-Harith dan mengikatnya, kemudian memancung leher al-Harith.

Pembunuhan duta dan utusan adalah jenayah yang besar; ia sama erti atau lebih hebat daripada pengisytiharan perang. Rasulullah SAW amat marah apabila berita ini sampai kepada Baginda SAW. Rasulullah SAW menyiapkan satu pasukan yang terdiri daripada 3000 anggota tentera untuk menghadapi Syurahbil. Pasukan ini merupakan pasukan tentera Islam terbesar yang pernah dikumpulkan. Sebelum itu, hanya dalam peperangan Ahzab sahaja anggota tentera Islam yang terlibat mencecah angka tersebut.

Panglima-panglima perang

Rasulullah SAW melantik Zaid bin Harithah sebagai panglima perang dalam misi ini. Rasulullah SAW sempat berpesan kepada pasukan tentera Islam, jika Zaid terbunuh maka penggantinya ialah Jaafar dan jika Jaafar terbunuh, maka penggantinya ialah Abdullah bin Rawwahah. Rasulullah SAW menyerahkan kepada mereka bendera berwarna putih yang diserahkan kepada Zaid bin Harithah.”

Rasulullah SAW berpesan kepada pasukan tentera Islam supaya pergi ke tempat pembunuhan al-Harith bin Umair dan mengajak penduduk di sana supaya memeluk Islam. Jika mereka menerima ajakan itu, hendaklah mereka dibiarkan dan jika sebaliknya, maka mohonlah pertolongan Allah dan perangilah mereka. Rasulullah SAW juga berpesan dengan berkata, “Perangilah di jalan Allah dengan nama Allah akan orang yang mengkufuri Allah. Jangan kamu berkhianat, jangan kamu berubah, jangan kamu membunuh anak-anak dan wanita, jangan membunuh orang tua yang sudah lanjut usia dan orang yang bersunyian di dalam tempat gerejanya, jangan memotong pokok kurma atau pokok kayu dan jangan meruntuhkan binaan.”

Ucapan selamat jalan dan tangisan Abdullah bin Rawwahah Setelah tentera Islam bersiap sedia untuk berangkat, maka orang ramai keluar untuk mengucapkan selamat jalan kepada para panglima Rasulullah pun SAW serta mengucapkan salam. Tatkala itu, salah seorang panglima tersebut iaitu Abdullah bin Rawwahah menangis. Orang bertanya, “Mengapa engkau menangis?” Lalu dijawabnya, “Demi Allah, tangisan ini bukan kerana aku cintakan dunia atau terlalu sayang untuk meninggalkan kamu semua. Akan tetapi aku terdengar Rasulullah SAW membaca ayat dalam kitab Allah:

وَإِن مِّنكُمْ إِلَّا وَارِدُهَا ۚ كَانَ عَلَىٰ رَبِّكَ حَتْمًا مَّقْضِيًّا

Maksudnya: “Tiada seorang pun antara kamu melainkan akan sampai kepadanya satu perkara yang mesti (belaku) sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu .”

(Surah Maryam: 71)

Maka kerana itu, aku sendiri tidak pasti bagaimana keadaanku nanti setelah melintasinya.”

Orang Islam menjawab, “Allah akan selamatkan kamu dan mempertahankan kamu serta mengembalikan kamu kepada kami dalam keadaan sejahtera, dan beroleh kemenangan.” Kemudian Abdullah bin Rawwahah bersyair:

Dan libasan pedang mencampak buih Atau tusukan tombak tanganku bak orang dahaga Yang merobek tali perut dan urat jantung

Namun kupohon kepada al-Rahman akan keampunan Biar orang berkata tatkala lalu di kuburku Hai yang ditunjuki Allah, benarlah dia mendapat petunjuk

Kemudian pasukan tentera Islam pun berangkat. Rasulullah SAW turut menghantar mereka hingga sampai ke Thaniyyat al-Wada; di situ, Rasulullah SAW berhenti dan mengucapkan selamat jalan kepada mereka.

Bergeraklah pasukan tentera Islam menuju ke arah utara sehingga sampai ke Maan, satu kawasan di bawah jajahan Syam yang melepasi utara Hijjaz. Di situ, mereka mendapat berita bahawa Herkules sedang singgah di Maab dalam kawasan Balqa bersama-sama seratus ribu tentera Rom. Mereka turut disertai oleh Bani Lakhm, Judham, Balqin Bahra dan Baily seramai seratus ribu orang lagi.

Bermesyuarat di Maan

Tentera Islam tidak menyangka sama sekali bahawa mereka akan berhadapan dengan angkatan raksasa ini. Betapa mereka dikejutkan dengan berita ini setelah berada jauh dari Madinah. Apakah tentera Islam yang kecil bilangannya itu (3000 orang) patut menyerang angkatan raksasa yang terdiri daripada dua ratus ribu orang? Pasukan tentera Islam kebingungan.

Dua malam lamanya mereka duduk menanti di Maan sambil memikirkan apa yang perlu dibuat. Mereka mencongak dan berbincang, kemudian berkata, “Mari kita tulis surat kepada Rasulullah SAW dan beritahu Baginda SAW mengenai jumlah musuh kita. Kemudian terserahlah sama ada Baginda SAW akan menghantar bantuan atau menyuruh kita meneruskan urusan kita, maka kita akan meneruskannya.”

Akan tetapi Abdullah bin Rawwahah menentang pendapat ini, malah mencadangkan mereka berperang. Katanya, “Hai kaumku! Demi Allah, apa yang kamu bencikan itulah punca yang mendorong kamu keluar. Bukankah kamu mengimpikan untuk mati syahid? Kita bukan memerangi manusia dengan melihat kepada jumlah atau kekuatan atau banyaknya mereka. Kita memerangi mereka dengan berbekalkan agama yang telah Allah muliakan kita dengannya. Justeru, ayuhlah kita beredar! Apa yang bakal kita perolehi ialah salah satu daripada dua kebaikan, sama ada menang atau mati syahid.”

Akhirnya mereka bersetuju menerima saranan Abdullah bin Rawwahah.

Tentera Islam Mara

Setelah menghabiskan dua malam di Maan, tentera Islam pun mulai mara ke arah musuh. Akhirnya, bertemulah mereka dengan ketumbukan raksasa tentera Herkules di sebuah kampung di Balqa yang dikenali dengan nama Masyarif. Musuh semakin hampir, sementara tentera Islam pula beredar ke Mu’tah dan bermarkas di sana. Mereka pun sudah bersiap-siap untuk berperang. Barisan sayap kanan mereka diketuai oleh Qutbah bin Qatadh al- Udhriy, sementara sayap kiri diketuai oleh Ubadah bin Malik al-Ansari.

Panglima-panglima Islam

Kedua-dua pasukan tentera Islam dan musuh bertemu di Mu’tah, dan berlangsunglah pertempuran yang sengit. Bayangkanlah. 3000 tentera menghadapi asakan dua ratus ribu tentera dari merata arah. Ini merupakan peperangan luar biasa yang mendapat tumpuan dunia serta menimbulkan kebingungan dan kehairanan. Namun, apabila angin keimanan mula bertiup ia berjaya menimbulkan segala yang menakjubkan.

Zaid bin Harithah-orang kesayangan Rasulullah SAW, memegang bendera sambil bertempur dengan hebat. Beliau menampilkan kejaguhan yang tiada bandingnya melainkan dalam kalangan jaguh-jaguh tentera Islam sahaja. Beliau terus berjuang sehingga terperosok ke dalam tusukan lembing-lembing musuh, sehingga akhirnya gugur. Tatkala itu, datanglah Jaafar bin Abu Talib lalu mengambil bendera pasukan dan terus berjuang dengan hebatnya tanpa ada tolok bandingan. Apabila keadaan peperangan semakin gawat, beliau terjun dari kudanya dan terus berlawan sehingga terputus tangan kanannya.

Beliau mencapai bendera dengan tangan kirinya dan terus berjuang sehingga tangan kirinya pula putus; lalu, dikendongnya bendera dengan kedua-dua lengannya. Sehingga saat Jaafar terbunuh, beliau masih lagi mengangkat bendera pasukan Islam. Dikatakan bahawa seorang tentera Rom mencantas Jaafar dengan satu pukulan yang kuat sehingga terbelah dua tubuhnya. Allah telah menggantikan untuk beliau dua sayap yang digunakannya untuk terbang ke mana sahaja di dalam syurga. Oleh kerana itu, beliau dikenali dengan gelaran Jaafar al-Tayyar (penerbang) dan juga Jaafar Dhu al- Jinahayn (empunya dua sayap).

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Nafi bahawa Ibn Umar memberitahunya yang dia berada dekat dengan Jaafar pada hari itu. Apabila dihitung didapati sebanyak 50 kesan tikaman di tubuh Jaafar termasuk kesan tetakan tetapi tidak ada satu pun tikaman dan tetakan itu yang mengenai belakangnya. Dalam riwayat yang lain, Ibn Umar berkata, “Aku berada bersama-sama mereka dalam peperangan itu. Kemudian kami mencari Jaafar bin Abu Talib, lalu kami dapati jasadnya terkujur dalam kalangan mereka yang terkorban. Kami dapati terdapat lebih 90 tusukan lembing dan terjahan panah di tubuhnya.

Apabila Jaafar terbunuh setelah mempamerkan keperwiraan yang luar biasa, bendera diambil pula oleh Abdullah bin Rawwahah. Beliau maju ke hadapan sambil menunggang kudanya. Beliau cuba untuk turun dari kudanya tetapi jiwanya mula teragak-agak untuk berbuat demikian, sehingga beliau menyengetkan tubuhnya sambil mengungkapkan syair:

Aku bersumpah hai jiwa, turunlah kamu

        Sama ada terpaksa atau rela hati 

Tidakkah manusia sudah bertempik menjerit melolong

        Mengapa kulihat engkau bencikan syurga

Lalu, beliau pun turun. Seorang sepupunya datang membawa sekeping daging dan berkata, “Kuatkan tubuhmu dengan memakan daging ini kerana engkau telah berhempas-pulas dalam peperangan ini.” Abdullah mengambil daging itu dan digigitnya sekali, kemudian dibuangnya dari tangannya. Setelah itu beliau mencapai pedangnya lalu maju ke hadapan dan berjuang sehingga terbunuh.

Bendera ke tangan Pedang Allah

Apabila Abdullah terbunuh, tampillah seorang lelaki dari Bani Ajlan bernama Thabit bin Arqam lalu mengambil bendera pasukan dan berkata, “Hai, sekalian orang Islam! Lantiklah seorang untuk menjadi ketua!” Mereka menjawab, “Kamulah ketua!” tetapi Thabit berkata, “Aku tidak layak.” Lalu, mereka melantik Khalid bin al-Walid.

Setelah mencapai bendera, Khalid meneruskan pertarungan dengan hebat sekali. Al-Bukhari meriwayatkan daripada Khalid bin al-Walid yang berkata, “Dalam peperangan Mu’tah, sembilan pedang telah patah di tanganku: pedang terakhir yang tinggal di tanganku hanyalah pedang lebar dari Yaman.” Dalam lafaz yang lain, “Dalam peperangan Mu’tah sembilan pedang telah pecah di tanganku, dan aku bertahan dengan sebilah pedang lebar buatan Yaman di tanganku.”

Semasa peperangan Mu’tah, Rasulullah SAW menceritakan wahyu yang hirun kepada Baginda SAW sebelum orang datang membawa berita peperangan tersebut kepadanya mengenai bendera yang diambil oleh Zaid, kemudian beliau terbunuh; setelah itu Jaafar mengambil bendera itu, dan belina juga terbunuh, kemudian Ibn Rawahah pula mengambil bendera tersebut saat itu air mata Rasulullah SAW menitis sehinggalah bendera diambil oleh salah satu pedang daripada pedang-pedang Allah, sehingga akhirnya Allah menjayakan mereka.

Berakhirnya peperangan

Walaupun dengan semangat keperwiraan dan keberanian luar bisa yang dipamerkan oleh tentera Islam, agak aneh tentera yang sebegitu kecil bilangannya dapat menumpaskan asakan-asakan pasukan tentera Rom yang besar bagaikan lautan itu. Sesungguhnya ketika itulah Khalid al-Walid berjaya membuktikan kebijaksanaannya dengan melepaskan tentera Islam daripada keadaan yang mereka hadapi itu.

Terdapat pelbagai riwayat yang berbeza-beza mengenai kesudahan peperangan ini tetapi setelah melihat kepada kesemua riwayat tersebut, nyatalah bahawa Khalid bin al-Walid mampu bertahan di hadapan tentera Rom yang besar itu sepanjang hari pada hari pertama peperangan. Khalid berpendapat bahawa adalah perlu untuk beliau melakukan suatu helah perang demi menggerunkan tentera Rom. Dengan cara itu, Khalid akan berjaya menyelamatkan tentera Islam tanpa sebarang gerakan pengusiran yang akan dilancarkan oleh tentera Rom. Beliau sangat arif bahawa adalah sangat sukar untuk melepaskan diri dari cengkaman tentera Rom itu jika mereka menyedari keadaan sebenar tentera Muslimin dan tentulah tentera- tentera Rom akan mengejar mereka.

Justeru, apabila masuk hari kedua peperangan, beliau mengubah posisi barisan tentera Islam. Disusunnya semula kedudukan mereka di mana barisan hadapan diletakkan di belakang, dan sayap kanan diletakkan di sebelah kiri dan sebaliknya. Lantaran itu, apabila tentera Rom melihat barisan baharu yang dibentuk itu, mereka terpinga-pinga sambil berkata, “Pasukan ini telah mendapat bantuan!” Maka, timbullah ketakutan dalam diri mereka.

Selepas kedua-dua pihak saling berpandangan dan bertempur sebentar, Khalid membawa pasukannya berundur sedikit demi sedikit tanpa mengubah kedudukan sistem tenteranya. Tentera Rom pula tidak mengejar mereka kerana menyangka pihak tentera Islam mempunyai suatu strategi perangkap untuk menjerumuskan mereka ke dataran padang pasir yang luas, Akhirnya pihak musuh kembali ke negeri mereka tanpa memikirkan usaha untuk mengejar tentera Islam. Tentera Islam pula berjaya berundur dengan selamat sehingga sampai ke Madinah.”

Angka korban

Dalam peperangan ini, tentera Islam yang gugur syahid ialah seramai 12 orang, sementara tentera Rom pula tidak diketahui angka kematian di pihak mereka. Namun, berdasarkan perjalanan peperangan tersebut menunjukkan bahawa ramai juga daripada kalangan mereka yang terkorban.

Bertarikh: 9 Ogos 2023 bersamaan 22 Muharram 1445 H