#2546: Melihat yang Dibenarkan Ketika Melamar

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, Islam memerintahkan kita untuk menundukkan pandangan dari melihat wanita atau lelaki yang bukan mahram, jadi bagaimana pula dengan perintah agar melihat wanita yang ingin dilamar?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Islam amat menitikberatkan apa-apa urusan yang mengaitkan antara hubungan lelaki dan wanita, dalam pada itu, terdapat beberapa dalil yang menuntut umat Islam agar menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan kerana pandangan merupakan pintu zina dan kemaluan yang melakukan zina terlarang tersebut.

Firman Allah SWT:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ ‎﴿٣٠﴾‏ وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. (30) Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.”

(Surah An-Nur: 30-31)

Imam al-Baidawi mengatakan bahawa sebab mengapa seseorang itu perlu menjaga pandangannya kerana ia adalah penyampai kepada zina. “Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka” seperti perhiasan, pakaian dan celupan lebih-lebih lagi tempat perhiasan tersebut (anggota badan yang diletakkan hiasan padanya). Tidak boleh mempamerkannya kepada orang yang tidak halal untuk dia dedahkannya. (Lihat  Anwar Al-Tanzil, 4/104)

Keharusan Melihat ketika Melamar

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, apabila seseorang lelaki berhajat ingin mengahwini seorang wanita, Islam memberikan keharusan kepadanya untuk melihat wanita tersebut bagi membantu lelaki tersebut membuat keputusan yang betul dan yakin bahawa dia selesa dengan wanita tersebut dan ingin menjadikannya sebagai peneman hidup. 

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A katanya:

كُنْتُ عِنْدَ النَّبِيِّ ﷺ فَأَتَاهُ رَجُلٌ فَأَخْبَرَهُ أَنَّهُ تَزَوَّجَ امْرَأَةً مِنَ الأَنْصَارِ، فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: ‏‏ أَنَظَرْتَ إِلَيْهَا‏؟‏ قَالَ: لَا‏.‏ قَالَ:‏ فَاذْهَبْ فَانْظُرْ إِلَيْهَا فَإِنَّ فِي أَعْيُنِ الأَنْصَارِ شَيْئًا‏

Maksudnya: “Aku bersama Rasulullah SAW semasa datangnya seorang lelaki yang kemudian memberitahu Baginda bahawa dia ingin mengahwini wanita Ansar, lalu Rasulullah SAW bertanya: ‘Adakah engkau telah melihatnya?’ Lelaki tersebut menjawab: ‘Tidak.’ Baginda bersabda: ‘Pergilah lihat dia, sesungguhnya pada mata orang Ansar ini ada sesuatu.”

Riwayat Muslim (1424)

Imam al-Nawawi menyebutkan, pada hadith di atas terdapat dalil yang mengharuskan untuk melihat wajah orang yang ingin dikahwini. Inilah pandangan Mazhab al-Syafi‘i, Mazhab Maili dan Mazhab Abu Hanifah, ulama’-ulama’ Kufah, Mazhab Ahmad, serta pandangan majoriti ulama’. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/210)

Diriwayatkan juga daripada Jabir bin Abdillah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا خَطَبَ أَحَدُكُمُ الْمَرْأَةَ فَإِنِ اسْتَطَاعَ أَنْ يَنْظُرَ إِلَى مَا يَدْعُوهُ إِلَى نِكَاحِهَا فَلْيَفْعَلْ‏‏

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu meminang seorang wanita, jika dia dapat melihat apa  yang menarik hingga mahu mengahwininya, maka lakukanlah.”

Riwayat Abu Dawud (2082) dan Ahmad (14626)

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A bahawa al-Mughirah bin Syu‘bah R.A ingin berkahwin dengan seorang wanita, maka Rasulullah SAW bersabda: 

  اذْهَبْ فَانْظُرْ إِلَيْهَا فَإِنَّهُ أَحْرَى أَنْ يُؤْدَمَ بَيْنَكُمَا

Maksudnya: “Pergilah lihat dia, ia berkemungkinan untuk menjadi lebih harmoni antara kamu berdua.”

Riwayat Ibn Majah (1865), al-Nasa’ie (3235) dan al-Tirmizi (1087)

Berdasarkan riwayat-riwayat hadith yang kami bawakan di atas, terdapat beberapa sebab utama mengapa kita dianjurkan untuk melihat pasangan yang ingin kita kahwini ketika melamar atau meminang, antaranya:

  • Mengetahui sama ada orang yang dikahwini tersebut mempunyai tarikan yang membuatkan kita lebih yakin untuk mengahwininya.
  • Melihat tersebut berkemungkinan mengharmonikan antara pasangan yang ingin berkahwin.

Syarat-syarat Melihat Ketika Melamar

Keharusan melihat ketika melamar ini diikat dengan beberapa syarat tertentu agar dalil-dalil syara‘ tidak ditunggang oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk dijadikan hujjah keharusan melihat wanita secara mutlak.

Kami menyenaraikan beberapa syarat tersebut seperti yang berikut:

Pertama: Melihat yang diharuskan adalah melihat yang tidak disertai dengan minat yang disulami dengan nafsu syahwat, kerana perbuatan tersebut jelas dilarang oleh syara‘. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Humaid al-Sa‘idi bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا خَطَبَ أَحَدُكُمْ امْرَأَةً، فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِ أَنْ يَنْظُرَ إِلَيْهَا إِذَا كَانَ إنَّما يَنْظُرُ إِلَيْهَا لِخِطْبَتِهِ، وَإنْ كَانَتْ لَا تَعْلَمُ

Maksudnya: “Apabila seorang daripada kamu meminang seorang wanita, dibolehkan dia melihat wanita itu jika dia hanya melihat dengan niat untuk mengahwininya, walaupun jika wanita itu tidak mengetahui dia sedang diperhatikan.”

Riwayat Ahmad (23650) dan al-Tabarani (911) di dalam al-Mu‘jam al-Kabir

Kedua: Keharusan bagi lelaki untuk melihat wanita ketika melamar disertai dengan anggapan bahawa, jika dia melamar berkemungkinan besar keluarga pihak wanita itu menerima lamarannya. Ini berdasarkan sebuah peristiwa yang warid dalam sambungan hadith Anas bin Malik R.A, bahawa al-Mughirah bin Syu‘bah R.A pergi ke rumah wanita yang ingin dikahwininya untuk melihat wanita tersebut, sedang wanita tersebut berada di bilik tidur. Wanita tersebut terdengar al-Mughirah meminta izin daripada kedua ibu bapanya, lalu wanita tersebut berkata:

إِنْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ أَمَرَكَ أَنْ تَنْظُرَ فَانْظُرْ،‏ وَإِلاَّ فَإِنِّي أَنْشُدُكَ، كَأَنَّهَا أَعْظَمَتْ ذَلِكَ

Maksudnya: “‘Jika Rasulullah SAW memerintahkan kamu supaya melihat aku, maka lihatlah. Tetapi jika tidak, maka janganlah’. Wanita tersebut menganggap perkara tersebut sebagai suatu perkara yang serius.”

Riwayat Ibn Majah (1866)

Ketiga: Keharusan tersebut selagimana wanita tersebut bukan isteri orang dan bukan juga tunangan orang lain. Hal ini kerana terdapat larangaan yang jelas seperti yang disebutkan di dalam hadith riwayat Abdullah bin  ‘Umar R.A katanya:

 وَلاَ يَخْطُبَ الرَّجُلُ عَلَى خِطْبَةِ أَخِيهِ، حَتَّى يَتْرُكَ الْخَاطِبُ قَبْلَهُ، أَوْ يَأْذَنَ لَهُ الْخَاطِبُ‏

Maksudnya: “Dan (Nabi juga melarang) seorang lelaki meminang tunangan saudaranya sehinggalah dia meninggalkan tunangannya ataupun diizinkan oleh saudaranya (untuk meminang perempuan tersebut).”

Riwayat al-Bukhari (5142)

Kesimpulan

Melihat kepada perincian perbahasan di atas, keharusan untuk melihat wanita yang ingin dijadikan sebagai isteri adalah berdasarkan dalil-dalil yang thabit daripada Rasulullah SAW. Keharusan tersebut hanya diberikan jika perbuatan melihat tersebut berlandaskan ketetapan syara‘, dan bukannya secara mutlak. Hal ini kerana terdapat nas yang melarang seseorang yang melihat wanita tanpa tujuan untuk menikahinya, agar tidak melihat wanita tersebut buat kali kedua.

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Buraidah bin al-Hasib R.A, Rasulullah SAW berkata kepada Ali R.A:

يَا عَلِيُّ لاَ تُتْبِعِ النَّظْرَةَ النَّظْرَةَ فَإِنَّ لَكَ الأُولَى وَلَيْسَتْ لَكَ الآخِرَةُ

Maksudnya: “Wahai Ali janganlah kamu menuruti pandangan (yang kedua) dengan pandangan (yang pertama), kerana sesungguhnya pandangan pertama itu adalah bagimu sedang yang kedua tidak (dosa ke atasmu).”

Riwayat Abu Dawud (2149), al-Tirmizi (2777) dan Ahmad (22974)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّئَاتِنَا وَتَوَفَّنَا مَعَ الْأَبْرَارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 9 Ogos 2023 bersamaan 22 Muharram 1445 H