#2549: Benarkah Rasulullah SAW Mempunyai Ayam Jantan?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Rasulullah SAW mempunyai ayam jantan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ayam merupakan sejenis unggas bela jinak dan subspesies kepada ayam hutan merah. Ayam merupakan antara haiwan bela jinak yang paling umum dan meluas sekali dengan jumlahnya melebihi 19 billion ekor setakat tahun 2011. Manusia membela ayam terutamanya sebagai sumber makanan dalam bentuk daging mahupun telurnya. Ayam umumnya tidak dapat terbang, dapat dijinakkan dan dipelihara.

Ayam jantan sering dibezakan daripada ayam betina dengan bulu ekor yang lebih panjang dan berkilat, dan bulu sua yang runcing di leher, yang lazimnya berwarna cerah dan garang berbanding ayam betina yang sama bakanya. Akan tetapi, dalam sesetengah baka, misalnya ayam Sebright, yang jantan bulu suanya tidak terlalu runcing, apatah lagi sama warna dengan yang betina.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami telah nyatakan dalam buku kami berkenaan dengan binatang peliharaan Rasulullah SAW. Salah satunya, ayam jantan.

Al-Mulla Ali al-Qari menukilkan daripada al-Syeikh Muhibbuddin al-Tabari bahawa Nabi SAW mempunyai seekor ayam jantan berwarna putih, dan para sahabat akan bermusafir dengan membawa bersama ayam jantan supaya ia dapat menunjukkan kepada mereka waktu-waktu solat. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 7/2677; Lihat juga Hayah al-Hayawan al-Kubra, 1/478; lihat juga al-Ghurar wa al-Durar fi Sirah Khair al-Basyar, hlm. 95). 

Berdasarkan kajian kami yang ringkas, kami dapati ayam jantan Nabi SAW yang berwarna putih, Nabi peliharanya dan dia tidur di sisi Baginda di rumah. 

Daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الدِّيكُ الأَبْيَضُ صَدِيقِي وَصَدِيقُ صَدِيقِي وَعَدُوُّ عَدُوِّي يَحْرُسُ دَارَ صاحِبِهِ وَتِسْعَ دُورٍ حَوْلَها

Maksudnya: “Ayam jantan yang berwarna putih adalah sahabatku dan sahabat kepada sahabatku. Dan ia menjadi musuh kepada musuhku. Dia menjaga rumah tuannya dan sembilan rumah sekelilingnya.”

Riwayat al-Harith Ibn Abi Usamah sepertimana dalam Bughyah al-Bahith ‘an Zawa’id Musnad al-Harith (877) dan al-Dailami dalam al-Firdaus (3130). Al-Zurqani menyatakan hadith ini dha’if dalam Mukhtasar al-Maqasid (469). Begitu juga dinyatakan sebagai dha’if dalam Dha’if al-Jami’ (3027). 

Kami nukilkan juga di sini, sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: 

إِذَا سَمِعْتُمْ صِيَاحَ الدِّيَكَةِ فَاسْأَلُوا اللَّهَ مِنْ فَضْلِهِ، فَإِنَّهَا رَأَتْ مَلَكًا، وَإِذَا سَمِعْتُمْ نَهِيقَ الحِمَارِ فَتَعَوَّذُوا بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ، فَإِنَّهُ رَأَى شَيْطَانًا

Maksudnya: “Jika kamu mendengar ayam berkokok maka mohonlah kepada Allah SWT akan kurniaan-Nya, kerana ia (ayam) melihat malaikat. Dan apabila kamu mendengar bunyi (suara) keldai maka mohon perlindunganlah kepada Allah SWT daripada Syaitan, kerana ia (keldai) sedang melihat syaitan.”

Riwayat al-Bukhari (3058), Muslim (4908), Abu Daud (4438) dan al-Tirmizi (3381)

Al-Qastalani menyatakan bahawa para ulama’ memahami makna hadith ini bahawa kita diminta untuk berdoa kepada Allah SWT ketika mendengar bunyi ayam berkokok serta dalam masa yang sama kita juga mengharapkan agar para malaikat mengaminkan doa kita dan istighfar para malaikat kepada kita. Selain itu juga, agar para malaikat ini menjadi saksi akan keikhlasan dan kerendahan (kehinaan) diri kita ketika memohon kepada Allah SWT. Tambahan pula, hadith ini menunjukkan sunat kita berdoa ketika kehadiran orang-orang yang soleh. 

Antara kelebihan yang ada pada ayam adalah dengan mengetahui waktu-waktu walaupun kadang-kadang siang itu panjang dan juga kadang-kadang siang itu pendek. Begitu juga, ia berkokok sebelum dan selepas subuh. Maha suci Allah yang menjadikan ayam seperti itu. Di samping itu juga, apabila kita mendengar bunyi atau suara keldai maka pohonlah kepada Allah SWT agar kita dijauhi daripada keburukan dan kejahatan was-was syaitan. (Lihat Irsyad al-Sari li Syarh Sahih al-Bukhari, 5/309) 

Dikatakan hadith ini menunjukkan bahawa turunnya rahmat ketika hadirnya orang-orang yang soleh maka kita disunatkan untuk berdoa pada waktu itu dan turunnya kemurkaan Allah SWT ketika kita melihat ahli maksiat maka disunatkan kita untuk memohon perlindungan daripada Allah SWT. (Lihat Aun al-Ma’bud, 9/238)

Justeru, kami katakan, sebahagian daripada cara terapi kehidupan terutamanya pada masa usia tua adalah menghayati alam dan berinteraksi dengan binatang ternakan sekeliling kita. Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, yang kami telah sebut dalam kitab kami bertajuk Garis Masa Hayat al-Rasul SAW. 

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa dan munajat kepada-Nya agar diberi rasa syukur kepada-Nya.

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Bertarikh: 9 Ogos 2023 bersamaan 22 Muharram 1445 H