#2550: Melihat Pasangan yang Ingin Dilamar dengan Cara Bertukar-Tukar Gambar

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan, adakah bertukar-tukar gambar dengan orang yang ingin kita kahwini juga termasuk dalam perkara yang dibolehkan oleh Islam?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Syara‘ memberikan keharusan kepada lelaki dan perempuan yang ingin berkahwin untuk melihat antara satu sama lain bagi membantu mereka membuat keputusan yang betul dan yakin bahawa mereka selesa dengan individu tersebut dan ingin menjadikannya sebagai peneman hidup. 

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A katanya:

كُنْتُ عِنْدَ النَّبِيِّ ﷺ فَأَتَاهُ رَجُلٌ فَأَخْبَرَهُ أَنَّهُ تَزَوَّجَ امْرَأَةً مِنَ الأَنْصَارِ، فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: ‏‏ أَنَظَرْتَ إِلَيْهَا‏؟‏ قَالَ: لَا‏.‏ قَالَ:‏ فَاذْهَبْ فَانْظُرْ إِلَيْهَا فَإِنَّ فِي أَعْيُنِ الأَنْصَارِ شَيْئًا‏

Maksudnya: “Aku bersama Rasulullah SAW semasa datangnya seorang lelaki yang kemudian memberitahu Baginda bahawa dia ingin mengahwini wanita Ansar, lalu Rasulullah SAW bertanya: ‘Adakah engkau telah melihatnya?’ Lelaki tersebut menjawab: ‘Tidak.’ Baginda bersabda: ‘Pergilah lihat dia, sesungguhnya pada mata orang Ansar ini ada sesuatu.”

Riwayat Muslim (1424)

Secara umumnya, hadith ini meliputi semua cara yang boleh membawa kepada perbuatan melihat tersebut. Maka seseorang itu tidak semestinya berjumpa secara berdepan, bahkan harus juga hukumnya meskipun dia hanya melihat tersebut dari jarak yang jauh dan tanpa pengetahuan wanita tersebut. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Humaid al-Sa‘idi bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا خَطَبَ أَحَدُكُمْ امْرَأَةً، فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِ أَنْ يَنْظُرَ إِلَيْهَا إِذَا كَانَ إنَّما يَنْظُرُ إِلَيْهَا لِخِطْبَتِهِ، وَإنْ كَانَتْ لَا تَعْلَمُ

Maksudnya: “Apabila seorang daripada kamu meminang seorang wanita, dibolehkan dia melihat wanita itu jika dia hanya melihat dengan niat untuk mengahwininya, walaupun jika wanita itu tidak mengetahui dia sedang diperhatikan.”

Riwayat Ahmad (23650) dan al-Tabarani (911) di dalam al-Mu‘jam al-Kabir

Diriwayatkan juga daripada Jabir bin Abdillah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا خَطَبَ أَحَدُكُمُ الْمَرْأَةَ فَإِنِ اسْتَطَاعَ أَنْ يَنْظُرَ إِلَى مَا يَدْعُوهُ إِلَى نِكَاحِهَا فَلْيَفْعَلْ‏‏

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu meminang seorang wanita, jika dia dapat melihat apa  yang menarik hingga mahu mengahwininya, maka lakukanlah.”

Kemudian Jabir bin Abdillah R.A berkata:

فَخَطَبْتُ جَارِيَةً فَكُنْتُ أَتَخَبَّأُ لَهَا حَتَّى رَأَيْتُ مِنْهَا مَا دَعَانِي إِلَى نِكَاحِهَا وَتَزَوُّجِهَا فَتَزَوَّجْتُهَا

Maksudnya: “Aku melamar seorang hamba wanita, maka aku selalu menghendap (sembunyi-sembunyi) untuk melihat dia hingga aku melihat secukupnya apa yang membuatkan aku mahu mengahwininya.”

Riwayat Abu Dawud (2082) dan Ahmad (14626)

Melihat Pasangan yang Dilamar dengan Cara Bertukar-tukar Gambar

Melihat kepada kemajuan teknologi yang semakin lama semakin berkembang, terdapat medium lain yang membolehkan kita melihat seseorang sekalipun tanpa berjumpanya secara berdepan, seperti melihat individu tersebut dalam bentuk gambar.

Pada asasnya, keharusan untuk melihat individu yang ingin dikahwini adalah berbentuk umum dan tidak dikhususkan oleh mana-mana dalil. Oleh yang demikian, jika ingin diqiaskan dengan keharusan melihat secara berdepan, maka lebih awla -yakni utama- untuk diharuskan melihat dalam bentuk gambar sahaja kerana ianya lebih selamat dari berlakunya ikhtilat antara lelaki dan wanita.

Barangkali timbulnya persoalan sekiranya pernikahan antara lelaki dan wanita yang saling bertukar gambar itu tidak diteruskan, berkemungkinan gambar yang dikongsikan tersebut boleh tersebar pada khalayak umum dengan tujuan yang tidak baik atas faktor-faktor tertentu seperti iri hati, kecewa, dan benci. Hal ini dikhuatiri akan membawa kepada mudarat yang besar, kerana banyak perkara yang tidak diingi boleh berlaku dengan tersebarnya gambar peribadi tersebut.

Maka, kami mengambil langkah berhati-hati dengan mencadangkan beberapa syarat ketika berlakunya pertukaran gambar tersebut:

  • Gambar tersebut ditunjukkan sendiri oleh wali kepada wanita tersebut, atau mana-mana individu yang dipercayai bahawa dia seorang yang amanah.
  • Lelaki atau perempuan yang saling bertukar gambar tersebut tidak dibenarkan untuk menyimpan gambar tersebut sekiranya perkahwinan tidak diteruskan, bahkan wajib untuk kedua-dua mereka memadamkannya.
  • Kedua-duanya mestilah berjanji untuk berlaku adil dan amanah apabila membuat pertukaran gambar agar ianya tidak disebarkan kepada orang lain.
  • Gambar tersebut mestilah dalam keadaan menutup aurat secara sempurna sepertimana yang telah ditetapkan oleh syara‘. Jika gambar yang dikongsikan itu mendedahkan aurat, maka ia diharamkan.

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ، وَلَا الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ

Maksudnya: “Janganlah seorang lelaki melihat aurat lelaki lain, dan seorang perempuan melihat aurat perempuan lain.” 

Riwayat Muslim (338)

  • Tidak menjadikan pertukaran gambar antara lelaki dan perempuan ini sebagai pilihan pertama, kerana boleh jadi ia berlaku tanpa pemantauan wali kepada wanita tersebut. Adapun lamaran yang biasa dilakukan mengikut uruf Malaysia dengan saling berkunjungan ke rumah dan melihat secara berdepan, maka sudah pasti ia berlaku dengan kehadiran mahram bagi kedua-dua pihak atau salah satunya.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Abbas R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لا يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بامْرَأَةٍ إلّا مع ذِي مَحْرَمٍ

Maksudnya: “Tidak boleh untuk seorang lelaki itu berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengan perempuan itu mahramnya.”

Riwayat al-Bukhari (5233) dan Muslim (1341)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan di atas, difahami bahawa saling bertukar gambar untuk tujuan melamar dan bertunang adalah diharuskan. Akan tetapi, jika dikhuatiri perbuatan tersebut akan membawa kepada keburukan atau mudarat pada mana-mana pihak, maka sebaiknya dielakkan. Adapun perbuatan bertukar-tukar gambar tanpa tujuan yang betul serta bercanggah dengan hukum syara‘, maka hukumnya adalah haram.

Langkah terbaik bagi mereka yang ingin bersuai kenal dengan kaedah bertukar gambar adalah dengan mencari orang ketiga yang bertindak sebagai pemantau, ia bertujuan untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku, dan sebaiknya jika individu tersebut adalah mahram kepada wanita tersebut atau sesiapa sahaja yang amanah dan boleh dipercayai. 

Meskipun begitu, kami menasihatkan agar berkenalanlah secara bersemuka kerana menilai seseorang secara berdepan adalah lebih baik dari sekadar melihat gambar. Bahkan kita sendiri dapat melihat secara terus akhlak dan cara pergaulan seseorang itu jika perkenalan dilakukan secara bersemuka. Ini juga dapat mengelakkan diri dari menjadi mangsa scammer perkahwinan yang semakin lama semakin berleluasa.

Semoga, apa-apa usaha yang kita lakukan untuk memilih jalan terbaik ini, mendapat keredhaan Allah SWT dan keberkatan apabila membina rumahtangga.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 9 Ogos 2023 bersamaan 22 Muharram 1445 H