Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada dua soalan.
- Apakah hukum meletakan buku yasin atau menyusun buku yasin tersebut seperti buku biasa dan adakah buku yasin tersebut boleh di pegang tanpa mengambil wuduk atas alasan buku yasin itu ada ayat terjemah dalam bahasa malaysia sedangkan surah yasin itu adalah ayat al-quran?
- Adakah buku yasin dengan terjemah bahasa malaysia itu,adakah sama kita meletak atau menyusun secara menegak?
Jawapan:
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Membaca al-Quran merupakan amalan yang sangat dituntut di dalam Islam. Begitu juga, akan diberi pelbagai ganjaran dan kelebihan bagi sesiapa yang membaca al-Quran sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Muhammad bi Ka’ab al-Qurazi menyebut, aku mendengar daripada Abdullah bin Mas’ud RA berkata, Nabi SAW bersabda:
مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ
Maksudnya: Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitabullah (al-Quran) maka baginya satu kebaikan.
Riwayat al-Tirmizi (2910)
Berbalik kepada soalan di atas, kami telah menjawab isu ini di dalam artikel sebelum ini:
#848 Memegang Tafsir al-Quran Tanpa Wudhu’[1]
Maka, secara ringkasnya kami nyatakan dibolehkan untuk memegang tafsir al-Quran/ buku yasin tanpa wuduk. Namun, mestilah tafsirnya itu melebihi kandungan ayat al-Quran dan pendapat ini juga sesuai dengan pendapat yang sahih di sisi mazhab Syafi`e. Menyentuh tafsir seperti ini tidaklah mengurangkan pengagungan terhadap al-Quran. Adapun yang terbaiknya adalah dengan berwuduk. Berkenaan meletak buku yasin secara menegak, kami berpendapat tidak menjadi masalah untuk meletakkannya secara menegak mahupun tidak, namun bagi menghormati ayat-ayat suci al-Quran, maka letaklah ia ditempat yang tinggi dan bersih. Imam al-Nawawi ada menyebut:
أَجْمَعَ المُسْلِمُونَ عَلَى وُجُوبِ صِيَانَةِ المصحف وَاحْتِرَامِهِ
Maksudnya: Seluruh orang Islam telah bersepakat ke atas kewajipan memelihara mushaf (al-Quran) dan menghormatinya. (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamlatil Quran, hlm. 164, 190)
Begitu juga, al-Bujairimi telah menyebut:
وَ يَحْرُمُ وَضْعُ الْمُصْحَفِ عَلَى اْلأَرْضِ بَلْ لاَ بُدَّ مِنْ رَفْعِهِ عُرْفاً وَلَوْ قَلِيْلاً
Maksudnya: Haram hukumnya meletakkan mushaf di lantai, akan tetapi Mushaf tersebut harus diangkat, meskipun hanya sedikit. (Lihat Tuhfatul Habib ‘ala Syarh al-Minhaj, 1/555)
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
[1] https://maktabahalbakri.com/847-memegang-tafsir-al-quran-tanpa-wudhu/#_ftn1
Bertarikh: 9 Ogos 2023 bersamaan 22 Muharram 1445 H