Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu persoalan. Bolehkah seorang lelaki menindik telinganya? Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Secara umumnya agama Islam melarang penganutnya dalam kalangan lelaki untuk menyerupai wanita melalui pemakaian barang perhiasan yang hanya dikhususkan untuk wanita. Dinyatakan di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa tiada khilaf dalam kalangan fuqaha’ akan pengharaman bagi lelaki menyerupai wanita dari sudut pergerakan badan, kelembutan kata-kata, perhiasan, pakaian dan lain-lain yang khas bagi wanita dari sudut adat dan tabiat. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 11/267).
Hal ini adalah berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَعَنَ الرَّجُلَ يَلْبَسُ لِبْسَةَ الْمَرْأَةِ، وَالْمَرْأَةَ تَلْبَسُ لِبْسَةَ الرَّجُلِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW melaknat seorang lelaki yang memakai pakaian wanita, dan seorang wanita yang memakai pakaian lelaki.”
Riwayat al-Bukhari (5435) dan Ahmad (8309)
Badr al-Din al-‘Aini ketika mengulas hadith di atas menyebutkan, (celaan ini) adalah pada perbuatan orang lelaki menyerupai orang perempuan dari sudut pakaian dan juga perhiasan yang khusus buat orang perempuan seperti memakai serkup kepala, rantai, gelang, gelang kaki, dan juga anting-anting. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 22/41).
Dalam riwayat yang lain, daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat golongan lelaki yang menyerupai orang perempuan dan juga golongan perempuan yang menyerupai orang lelaki.”
Riwayat al-Bukhari (5885)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini menukilkan pendapat al-Tabari yang menyebutkan, tidak boleh bagi orang lelaki untuk menyerupai orang perempuan dari segi pakaian, serta perhiasan yang khusus bagi orang perempuan dan demikian juga sebaliknya (tidak boleh bagi orang perempuan menyerupai orang lelaki). Kemudian, beliau menambah lagi, adapun keadaan atau bentuk pakaian itu adalah berbeza-beza mengikut perbezaan setiap negeri. Boleh jadi sesuatu kaum itu pakaian orang perempuan mereka tidak berbeza dengan pakaian orang lelaki mereka, tetapi orang perempuan dibezakan dengan hijab dan juga pakaian yang bertutup. (Lihat Fath al-Bari, 10/332).
Begitu juga Ibn Hajar al-Haitami turut menyatakan bahawa antara bentuk menyerupai wanita adalah memakai perhiasan yang dikhususkan kepada wanita dan yang dilazimi oleh mereka, seperti gelang tangan dan gelang kaki. Adapun cincin maka diharuskan bagi lelaki memakainya. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/261).
Selain daripada itu, berkenaan hal perhiasan ini juga hendaklah dirujuk kepada ‘uruf dan adat setempat. Ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh Mahmud al-Syalabi, anggota fatwa di Dar al-Ifta’ al-Misriyyah ketika ditanyakan berkenaan seorang lelaki yang memakai rantai perak. Beliau menambah lagi dalam jawapannya, syariat melarang lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki, maka jika lelaki memakai rantai perak yang termasuk dalam masalah perhiasan dan masalah perhiasan pula hendaklah dirujuk kepada adat setempat. Jika adat setempat menunjukkan bahawa lelaki berhias dengan rantai tersebut, manakala wanita pula tidak berhias dengannya, maka pemakaiannya (bagi lelaki) adalah dibenarkan dan tidak mengapa. Akan tetapi jika sudah menjadi kebiasaan bahawa ini adalah sebahagian daripada perhiasan wanita, maka dalam hal ini tidak boleh bagi lelaki untuk berhias dengannya kerana dengan memakainya menjadikan lelaki itu termasuk dalam kalangan mereka yang menyerupai wanita, dan ini adalah diharamkan dan tidak dibenarkan.
Begitu juga Syeikh Muhammad Wisam, anggota fatwa di Dar al-Ifta’ al-Misriyyah turut menyatakan bahawa rantai perak termasuk dalam perhiasan wanita. Oleh itu, orang lelaki tidak boleh memakainya. Lebih-lebih lagi perkara-perkara berkaitan perhiasan ini tidak termasuk dalam akhlak (sifat dan ciri) kaum lelaki. Beliau menegaskan lagi bahawa rantai itu serupa dengan cincin dan jam tangan. Akan tetapi soal pakaian dan perhiasan mesti mengambil kira uruf setempat, adat dan tradisi. Jadi jika seseorang pemuda itu berada dalam lingkungan atau suasana yang mana menurut adat setempatnya lelaki memakai rantai (dan ia bukan perhiasan khusus buat wanita), maka tidak mengapa memakainya. Namun, jika dia berada dalam lingkungan atau suasana yang mana menurut adat setempatnya menolak perkara itu (pemakaian rantai sebagai perhiasan bagi lelaki), maka beliau berpendapat hendaklah dilarang seseorang pemuda itu daripada memakainya. Allah SWT memerintahkan hal tersebut melalui firman-Nya:
خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ
Maksudnya: “Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).”
(Surah al-A‘raf: 199)[1]
Berbalik kepada soalan yang diajukan, pada asasnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada di badan, pakaian atau tempat. Ini berdasarkan beberapa dalil umum yang menunjukkan kesemuanya merupakan kurniaan Allah SWT kepada hamba-Nya yang dijadikan untuk mereka nikmati dan mengambil manfaat dalam kehidupan mereka sama ada daripada pakaian, perhiasan, kegunaan dan keseronokan hidup mereka di dunia. Firman Allah SWT:
هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا
Maksudnya: “Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.”
(Surah al-Baqarah: 29)
Termasuk dalam perhiasan tersebut adalah menindik di telinga. Namun, keharusan tersebut hanyalah bagi kaum perempuan, manakala bagi lelaki perbuatan menindik adalah haram.
Mengenai hal ini, Imam al-Bukhari ada meriwayatkan hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa:
أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم صَلَّى يَوْمَ الْعِيدِ رَكْعَتَيْنِ، لَمْ يُصَلِّ قَبْلَهَا وَلاَ بَعْدَهَا ثُمَّ أَتَى النِّسَاءَ وَمَعَهُ بِلاَلٌ فَأَمَرَهُنَّ بِالصَّدَقَةِ، فَجَعَلَتِ الْمَرْأَةُ تُلْقِي قُرْطَهَا
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW selepas melakukan solat sunat hari raya sebanyak dua rakaat, Baginda tidak melakukan solat sunat sebelum dan selepasnya, kemudian Baginda pergi menemui golongan wanita bersama Bilal, lalu Baginda memerintahkan mereka (wanita-wanita tersebut) untuk bersedekah, sehingga terdapat dalam kalangan mereka yang memberi anting-anting mereka.”
Riwayat al-Bukhari (5883)
Al-Hafiz Ibn Hajar Al-‘Asqalani dalam syarahannya terhadap hadith di atas menunjukkan bahawa adalah diharuskan untuk memakai perhiasan telinga atau anting-anting bagi perempuan. (Lihat Fathul al-Bari, 10/408). Sebagaimana yang kita ketahui, pemakaian anting-anting adalah melibatkan perbuatan menindik sebelumnya. Jika anting-anting diharuskan untuk dipakai, maka perbuatan menindik telinga juga adalah diharuskan bagi kaum perempuan.
Dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah dinyatakan, jumhur ulama berpendapat harus hukum menindik bayi perempuan dengan tujuan perhiasan. Ini kerana kebanyakan para wanita di zaman Nabi SAW menindik telinga mereka dan Baginda SAW tidak melarangnya. Ini seperti yang digambarkan di dalam hadith Ibn Abbas di atas. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 11/272).
Begitu juga dalam ruangan yang lain, dinyatakan ulama mazhab Syafi‘i berbeza pendapat mengenai hukum menindik bayi yang baru dilahirkan bagi tujuan menggantung perhiasan emas di telinganya dan seumpamanya. Sebahagian mereka berpendapat, ia adalah diharuskan, manakala sebahagian lagi berpendapat, ia adalah disunatkan. Mereka membezakan di antara bayi lelaki dan bayi perempuan. Perbuatan menindik bagi bayi lelaki adalah diharamkan dan bagi bayi perempuan pula adalah diharuskan. Namun, Imam al-Ghazali dan ulama selainnya menyatakan, aku tidak mengetahui adanya rukhsah (kelonggaran) dalam perbuatan menindik telinga bayi perempuan bagi tujuan menggantung perhiasan emas atau seumpamanya kerana perkara itu adalah luka yang menyakitkan dan boleh dikenakan qisas. Maka ia tidak diharuskan melainkan adanya keperluan penting seperti fasdu (phlebotomy/bloodletting), berbekam dan khitan. membawa kepada kesakitan melainkan dengan tujuan perubatan, berbekam dan khitan. Sedangkan berhias dengan perhiasan itu bukanlah satu perkara yang penting. Maka hal ini sekalipun sudah menjadi suatu perkara yang biasa, ia tetap haram dan melarangnya adalah wajib. Menyewakannya juga tidak sah dan upah yang diterima atasnya adalah haram. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 39/349).
Selain itu, Ahmad al-Malibari menukilkan dalam hasyiahnya berkenaan gurunya menyatakan harus bagi bayi perempuan menindik telinga dan bukannya bagi bayi lelaki. Ini kerana uruf bagi bayi perempuan diketahui haknya untuk memakai perhiasan pada dirinya sama ada di zaman dahulu atau sekarang (Lihat Fath al-Mu‘in bi Syarh Qurrah al-’Ain, 1/592)
Kesimpulannya
Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa keharusan menindik di telinga hanyalah bagi kaum wanita kerana itu termasuk dalam perhiasan yang khusus buat mereka sejak berzaman lagi dan ia diharamkan bagi lelaki (menindik) kerana perbuatan tersebut menyerupai perhiasan wanita. Islam melaknat golongan lelaki yang menyerupai orang perempuan dan juga golongan perempuan yang menyerupai orang lelaki.
Lebih-lebih lagi, adat dan uruf setempat menunjukkan bahawa ia bukanlah perhiasan yang turut dipakai oleh kaum lelaki. Berbeza halnya dengan jam tangan, cincin dan seumpamanya kerana perkara-perkara itu bukanlah perhiasan yang hanya khusus buat kaum wanita. Justeru, pemakaiannya adalah diharuskan bagi kaum lelaki dan tidak dianggap menyerupai kaum wanita kerana ia adalah perhiasan bagi kedua-dua golongan (lelaki dan perempuan).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Wallahu a‘lam.
[1] Lihat https://www.elbalad.news/4522909. Diakses pada 11 Julai 2023.
Bertarikh: 9 Ogos 2023 bersamaan 22 Muharram 1445 H