#2563: Li’an Boleh Terbubar Perkahwinan

Soalan:

Assalamualaikum Dato Seri saya ingin bertanya adakah terbubar perkahwinan dengan tuduhan zina yang dilontarkan oleh suami dan dili’ankannya di hadapan hakim? Terima Kasih

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Al-Li’an dari sudut  berasal dari kalimah arab   لاَعَنَ-يَلَاعِنُ yang membawa maksud buang dan menjauhkan contohnya seperti “لَعَنَهُ الله ” iaitu Allah SWT membuang dan menjauhkannya.

Dari segi syara’ pula li’an bermaksud : Sementara dari segi syara’, li’an bermaksud perkataan-perkataan yang dijadikan hujah oleh suami yang terpaksa menuduh isterinya kerana mencemari rumahtangga dan menyebabkan `aib kepada suami. Perkataan tertentu ini dinamakan li’an kerana ia mengandungi perkataan al-La’nu (اللَّعْنُ). Begitu juga kerana suami isteri yang berli’an akan berjauhan antara satu sama lain. (Lihat Fiqh al Manhaji, 4/150)

Dalil Li’an

Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يَرْمُونَ أَزْوَاجَهُمْ وَلَمْ يَكُن لَّهُمْ شُهَدَاءُ إِلَّا أَنفُسُهُمْ فَشَهَادَةُ أَحَدِهِمْ أَرْبَعُ شَهَادَاتٍ بِاللَّهِ ۙ إِنَّهُ لَمِنَ الصَّادِقِينَ ‎﴿٦﴾‏ وَالْخَامِسَةُ أَنَّ لَعْنَتَ اللَّهِ عَلَيْهِ إِن كَانَ مِنَ الْكَاذِبِينَ

Maksudnya: Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar; – (6) Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari orang-orang yang dusta.

(Surah al-Nur:6-7)

Begitu juga hadith, daripada Sahl bin Sa’d RA bahawa:

أَنَّ رَجُلاً مِنَ الأَنْصَارِ جَاءَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ رَجُلاً وَجَدَ مَعَ امْرَأَتِهِ رَجُلاً، أَيَقْتُلُهُ أَمْ كَيْفَ يَفْعَلُ؟ فَأَنْزَلَ اللَّهُ فِي شَأْنِهِ مَا ذَكَرَ فِي الْقُرْآنِ مِنْ أَمْرِ الْمُتَلاَعِنَيْنِ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: قَدْ قَضَى اللَّهُ فِيكَ وَفِي امْرَأَتِكَ. قَالَ: فَتَلاَعَنَا فِي الْمَسْجِدِ وَأَنَا شَاهِدٌ

Maksudnya: “Seorang lelaki daripada kaum Ansar telah menemui Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah! Apakah pendapatmu jika seseorang mendapati isterinya bersama-sama lelaki lain? Adakah perlu dibunuh lelaki itu atau bagaimana?” Maka Allah menurunkan ayat al-Quran berkenaan dengan masalahnya tentang perkara li’an. Nabi SAW bersabda: “Allah telah menurunkan hukum tentang engkau dan isteri engkau.” Sahl bin Sa’ad berkata: “Lelaki Ansar dan isterinya pun melakukan li’an di dalam masjid dan aku menyaksikannya.”

Riwayat al-Bukhari (5003) dan Muslim (1492)

Menjawab bagi persoalan di atas, kami katakan telah terbubarnya ikatan perkahwinan antara suami dan isteri disebabkan oleh tuduhan zina  yang dilontarkan oleh suami  atau suami menafikan zuriat dan mereka berdua telah selesai melafazkan li’an dihadapan hakim. Ini juga merupakan pandangan Jumhur Ulama daripada mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali.

Diriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW berkata kepada dua orang yang saling melaknat:

حِسَابُكُمَا عَلَى اللهِ أَحَدُكُمَا كَاذبٌ، لَا سبيلَ لَكَ عَلَيهَا

Maksudnya: Hisab kalian ada pada Allah, salah seorang di antara kalian berdusta. Engkau tidak memiliki kekuasaan atas dirinya.

Riwayat Abu Daud(2257)

Dalam riwayat lain yang diriwayatkan juga daripada Ibn Umar beliau berkata :

 لاَعَنَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم بَيْنَ رَجُلٍ وَامْرَأَةٍ مِنَ الأَنْصَارِ، وَفَرَّقَ بَيْنَهُمَا‏

Maksudnya: Nabi SAW pernah meli’an antara seorang lelaki dengan wanita Ansar lalu beliau memisahkan antara kedua-duanya.

Riwayat Bukhari(5314) dan Muslim (1494)

Ibn Hajar al-Haitami menyatakan: Terbubarnya ikatan perkahwinan dan diharamkan baginya berkahwin untuk selama-lamanya sekiranya dia telah meli’an  isterinya walaupun dia menipu tentang hal tersebut, dilepaskan dari hukuman hudud dan dikenakan hukuman ke atas sisterinya.  (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm.251)

Ibn al-Muflih menyebut dalam kitabnya al-Mubdi’ bahawa: Telah thabitnya pembubaran perkahwinan setelah mereka berdua selesai melafazkan li’an. Pandangan ini telah dipilih oleh Abu Bakar. Ibnu Umar juga menyatakan: Pembubaran itu tidak terhasil  melainkan hakim membubarkan ikatan kedua-duanya, (Lihat al-Mubdi’ Fi Syarh al-Muqni’,7/58)

Justeru setelah meneliti pandangan para fuqaha kami katakan sesiapa telah melakukan lia’n (sumpah laknat) maka telah terbubarlah ikatan perkahwinan. Proses lia’n ini hendaklah dilakukan dihadapan hakim dan disaksikan oleh khalayak ramai kemudian hakim akan membubarkan perkahwinan tersebut.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan syariatnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 9 Ogos 2023 bersamaan 22 Muharram 1445 H