#2564: Hukum Asal Bagi Sujud Tilawah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan hukum asal bagi sujud tilawah? Adakah ia wajib atau sunat, apabila seseorang membaca atau mendengar ayat sajadah? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan definisi sujud tilawah.

Sujud tilawah atau sujud sajadah adalah merupakan sujud yang dilakukan ketika seseorang itu membaca atau mendengar ayat sajadah. (Lihat Sujud al-Tilawah wa Ahkamuhu, hlm. 17; al-Ta’rifat al-Fiqhiyyah, hlm. 112)

Sujud tilawah membawa definisi yang sama dengan sujud sajadah. Perbezaan antara keduanya hanyalah, sujud sajadah dilakukan di dalam solat, manakala sujud tilawah dilakukan di luar solat.

Allah SWT berfirman:

قُلْ آمِنُوا بِهِ أَوْ لَا تُؤْمِنُوا ۚ إِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ مِن قَبْلِهِ إِذَا يُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ يَخِرُّونَ لِلْأَذْقَانِ سُجَّدًا

Maksudnya: “Katakan (wahai Muhammad kepada orang-orang yang ingkar itu): “Sama ada kamu beriman kepada al-Quran atau kamu tidak beriman, (tidaklah menjadi hal); kerana sesungguhnya orang-orang ayng diberi ilmu sebelum itu, apabila dibacakan al-Quran kepada mereka, mereka segera tunduk sujud (dalam keadaan hiba dan khusyuk).”

(Surah al-Isra’: 107)

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili berkata: “Sesungguhnya para ulama soleh dari kalangan Ahlul Kitab yang berpegang kepada Kitab Suci mereka dan tidak mengubah atau memesongkannya, jika al-Quran dibacakan kepada mereka, maka mereka akan sujud untuk mengagungkan Allah SWT, bersyukur kepada-Nya atas nikmat yang Dia berikan kepada mereka. Perkataan sujud di dalam ayat di atass diungkapkan dengan lafaz ‘لِلْأَذْقَانِ’(pada janggut-janggut mereka), kerana setiap kali manusia merendahkan kepalanya untuk sujud, maka anggota tubuh yang paling dekat dengan bumi berbanding kening ialah janggut. Ini adalah kinayah daripada ketundukan, kekhusyukan dan rasa takut yang luar biasa kepada Allah SWT.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 8/176)

Amalan ini juga adalah berdasarkan perbuatan Nabi SAW, sepertimana riwayat Ibn ‘Umar R.Anhuma, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْرَأُ الْقُرْآنَ، فَيَقْرَأُ سُورَةً فِيهَا سَجْدَةٌ، فَيَسْجُدُ وَنَسْجُدُ مَعَهُ، حَتَّى مَا يَجِدُ بَعْضُنَا مَوْضِعًا لِمَكَانِ جَبْهَتِهِ.

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW ketika membaca al-Quran dan Baginda membaca surah yang terdapat padanya ayat sajadah, maka Baginda sujud dan kami turut sujud bersama Baginda sehingga tiada bagi kami tempat untuk sujud.”

Riwayat Muslim (575)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa para ulama berbeza pendapat berkenaan perkara ini.

Pendapat Pertama: Sujud Tilawah adalah Sunat Mu’akkad

Ini merupakan pandangan para ulama’ Syafi’iyyah dan Hanabilah, di mana mereka berpendapat bahawa sujud tilawah selepas daripada membaca atau mendengar ayat tilawah ialah sunat mu’akkad (sunat yang sangat dituntut). (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 24/213)

Pandangan ini menyebut bahawa ia bukan suatu ibadah yang wajib kerana Nabi SAW pernah meninggalkan sujud tilawah selepas mendengar surah al-Najm yang mempunyai ayat sajadah di dalamnya. Hal ini berdasarkan riwayat Zaid bin Thabit R.A, katanya:

قَرَأْتُ عَلَى النَبِيّ وَالنَجْم فَلَم يَسْجُد فِيهَا. وَفِي رِوَايَةٍ : فَلَمْ يَسْجُدْ منَّا أَحَدٌ

Maksudnya: “Aku (Zaid bin Thabit R.A) membacakan kepada Rasulullah SAW Surah al-Najm (yang terkandung ayat sajadah di dalamnya), dan Baginda SAW tidak sujud padanya.” Dalam riwayat yang lain menyebut: “Maka tiada seorang pun dalam kalangan kami yang sujud.”

Riwayat al-Bukhari (1072), Muslim (577), Abu Daud (1404), al-Tirmizi (576), al-Nasa’ie (960), Ahmad (21623) dan al-Daraqutni (1527)

Pendapat Kedua: Sujud Tilawah adalah Wajib

Ini merupakan pandangan para ulama’ Hanafiyyah yang menyatakan bahawa sujud tilawah dan apa yang menggantikannya seperti memberi isyarat padanya adalah wajib. Mereka berdalilkan dengan hadith:

السَجْدَةُ عَلَى مَن سَمِعَهَا

Maksudnya: “Sujud itu (hendaklah dilakukan) ke atas sesiapa yang mendengarnya (ayat sajadah).”

Lafaz ‘عَلَى’ pada hadith di atas, ditafsirkan dengan membawa erti wajib. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 24/214)

Selain itu, mereka juga berdalilkan dengan hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا قَرَأَ ابْنُ آدَمَ السَجْدَةَ فَسَجَدَ اعْتَزَلَ الشَيْطَانُ يَبْكِي يَقُولُ: يَا وَيْلَه أمِرَ ابْنُ آدَمَ بِالسُجُودِ فَسَجَدَ فَلَهُ الجَنَّة وَ أُمِرْتُ بالسُجُودِ فَأَبَيْتُ فَلِي الناَّر

Maksudnya: “Jika seorang anak Adam membaca ayat al-Sajdah, kemudian dia sujud, maka Syaitan akan melarikan diri dan menangis sambil berkata, “Celakalah aku, anak Adam disuruh untuk sujud, dan dia sujud dengan patuh dan baginya syurga. Tetapi aku diperintahkan untuk sujud dan aku enggan, maka bagiku Neraka.”

Riwayat Muslim (81)

Menerusi dalil di atas, ada tiga perkara yang menyebabkan para ulama’ Hanafiyyah mewajib sujud tilawah dalam ayat-ayat sajadah, iaitu:

  • Kata perintah yang jelas menyuruh umat Islam agar sujud kepada Allah SWT.
  • Celaan terhadap golongan kafir yang enggan sujud kepada Allah SWT.
  • Perbuatan para Nabi dan golongan beriman yang melaksanakan perintah Allah SWT. Manakala mengikut perbuatan para Nabi yang melaksanakan perintah Allah SWT merupakan satu kewajiban. (Lihat Fatawa Syar’iyyah wa Buhuth Islamiyyah, 1/288)

Meskipun begitu, jika keadaan tidak memungkinkan, maka boleh menangguhkannya pada masa yang lain. Disebut bahawa kewajiban tersebut tidaklah wajib dengan segera, setelah mendengar atau membaca ayat sajdah tersebut, sebaliknya diharuskan untuk menangguhkannya ke waktu yang lain, jika sekiranya terdapat kesukaran seperti tempat yang tidak sesuai, atau berada dalam keadaan hadas dan sebagainya. (Lihat Fatawa Syar’iyyah wa Buhuth Islamiyyah, 1/288)

Penutup

Alhamdulillah, budaya membaca al-Quran adalah ibadat yang amat dituntut. Seboleh-bolehnya bersifat harian dan marilah sama-sama kita menjadi pembaca yang mentadabbur al-Quran.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Bertarikh: 11 Ogos 2023 bersamaan 24 Muharram 1445 H