#2565: Sujud Tilawah Apabila Mendengar Bacaan al-Quran dari Televisyen

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah wajib untuk sujud tilawah disebabkan bacaan al-Quran yang didengarinya daripada televisyen?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami jelaskan terlebih dahulu maksud sujud tilawah.

Sujud tilawah atau sujud sajadah adalah merupakan sujud yang dilakukan ketika seseorang itu membaca atau mendengar ayat sajadah. (Lihat Sujud al-Tilawah wa Ahkamuhu, hlm. 17; al-Ta’rifat al-Fiqhiyyah, hlm. 112)

Sujud tilawah membawa definisi yang sama dengan sujud sajadah. Perbezaan antara keduanya hanyalah, sujud sajadah dilakukan di dalam solat, manakala sujud tilawah dilakukan di luar solat.

Amalan ini adalah berdasarkan perbuatan Nabi SAW, sepertimana riwayat Ibn ‘Umar R.Anhuma, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْرَأُ الْقُرْآنَ، فَيَقْرَأُ سُورَةً فِيهَا سَجْدَةٌ، فَيَسْجُدُ وَنَسْجُدُ مَعَهُ، حَتَّى مَا يَجِدُ بَعْضُنَا مَوْضِعًا لِمَكَانِ جَبْهَتِهِ.

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW ketika membaca al-Quran dan Baginda membaca surah yang terdapat padanya ayat sajadah, maka Baginda sujud dan kami turut sujud bersama Baginda sehingga tiada bagi kami tempat untuk sujud.”

Riwayat Muslim (575)

Berkenaan isu solat tilawah ini, kami ada bahaskan juga dalam artikel sebelum ini:

  • #1431: Bacaan ketika Sujud Tilawah
  • # Hukum Asal Bagi Sujud Tilawah
  • #2122: Kenapa Dibacakan Dengan Lafaz “سَجدَ وجهي للَّذي خلقَهُ وصوَّرَهُ وشقَّ سمعَهُ وبصرَهُ بِحَولِهِ وقوَّتِهِ” Dalam Sujud Tilawah?
  • #1340: Jemaah Wanita Tidak Sujud Sajadah Ketika Tarawih

Dalam menjawab persoalan di atas, jika memungkinkannya untuk sujud tilawah, maka sunat baginya untuk sujud berdasarkan pendapat jumhur. 

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebut: “Sujud tilawah adalah wajib menurut Hanafiyyah dan sunat menurut jumhur. Sujud ini dilakukan oleh setiap orang yang membaca atau mendengar bacaan orang lain, apabila memungkinkan untuk sujud. 

Jika tidak, hendaklah dia membaca: 

سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ. 

Inilah menurut jumhur dan menurut Hanafiyyah, sujud sajadah wajib bagi seseorang hingga dia melaksanakannya meskipun pada waktu yang lain. Sujud tilawah dilakukan sebanyak jumlah disebutkan bacaan yang menyebabkan sujud, dan cukup melakukannya dengan satu sujud jika pembaca mengulanginya di dalam satu majlis. (Lihat Fatawa Mu’asirah oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili, hlm. 16)

Syeikh Hasanain Makhluf dalam fatwanya menyebut: “Mendengar ayat sajdah daripada radio dan televisyen juga sama seperti mendengar bacaan daripada orang yang membacanya, meskipun kedudukan yang jauh melalui alat pembesar suara. Tidak ada beza antara perkara tersebut dengan mendengar bacaan daripada orang yang berada di belakang dinding, penghadang daripada kayu atau kaca, atau daripada jarak yang jauh menggunakan pembesar suara. Semua perkara tersebut, hendaklah sujud apabila mendengar bacaannya daripada pembaca (mengikut pandangan ulama’ Hanafiyyah), begitu juga melalui radio dan televisyen. (Lihat Fatawa Syar’iyyah wa Buhuth Islamiyyah, 1/289)

Penutup

Mendengar al-Quran merupakan salah satu daripada ibadat yang dituntut. Benarlah firman Allah SWT:

‏ وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: “Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.”

(Surah al-A’raf: 204)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Bertarikh: 11 Ogos 2023 bersamaan 24 Muharram 1445 H