#2566: Darah yang Keluar Setelah Menggugurkan Kandungan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah darah yang keluar setelah menggugurkan kandungan dianggap sebagai darah nifas?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami jelaskan terlebih dahulu maksud darah nifas.

Pada asasnya, darah nifas ialah darah yang keluar selepas bersalin. Tempoh minimum nifas ialah sekelip mata (لَحْظَة). Kadang-kadang ia berterusan hingga beberapa hari dan biasanya hingga 40 hari. Manakala tempoh maksimumnya pula ialah 60 hari. Berdasarkan kajian Imam al-Syafi’i, darah yang keluar melebihi tempoh tersebut adalah darah penyakit. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/82)

Justeru, tempoh nifas yang kebiasaan adalah 40 hari. Manakala tempoh maksimumnya adalah 60 hari, dan tempoh minimumnya adalah sedetik. Kata Ibn Hajar al-Haitami: “Kadar yang lebih sesuai bagi tempoh minimum (nifas) ialah sedetik. Dan sebanyak-banyak nifas ialah 60 hari, dan kebiasaan tempoh nifas ialah 40 hari.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 1/413)

Nifas juga dijelaskan sebagai darah yang keluar selepas kosong kesemua rahim daripada kandungan, meskipun yang keluar itu dalam bentuk ‘alaqah (segumpal darah) atau mudghah (segumpal daging), dan sebelum berlalu sekurang-kurang suci (selepas kelahiran), iaitu selama 15 hari. Jika seseorang melihat darah selepas kelahiran setelah selang masa 15 hari ke atas, maka ia tidak dianggap sebagai nifas. (Lihat Hasyiyah al-Qalyubi, 1/112)

Nifas berlaku sebelum berlalu 15 hari daripada kelahiran. Ibn Hajar al-Haitami menyebut: “Nifas berlaku sebelum berlalunya tempoh 15 hari (dari kelahiran).” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 1/383)

Berkenaan isu menggugurkan kandungan ini, kami ada bahaskan dalam artikel sebelum ini:

  • #1700: Gugurkan Janin Kerana Miskin
  • #344 Gugurkan Janin Sebab Sibuk Bekerja

Dalam menjawab persoalan di atas, jika telah kelihatan tanda-tanda pembentukan pada janin, maka darah tersebut dianggap sebagai nifas.

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebut: “Ya, menurut Hanafiyyah, darah tersebut dianggap sebagai nifas apabila nampak tanda-tanda pembentukan pada janin, seperti kelihatannya bentuk tangan, kaki, rambut, kuku dan sebagainya. Namun, apabila belum nampak tanda-tanda pembentukan, maka tidak dianggap sebagai darah nifas dan baginya tidak berlaku hukum nifas, akan tetapi ia seperti mustahadhah. Wajib baginya melaksanakan solat dengan terlebih dahulu berwudhu’ pada setiap solat fardhu dan sah melaksanakan puasa.” (Lihat Fatawa Mu’asirah oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili, hlm. 9)

Penutup

Amat baik bagi wanita mempelajari fiqh al-haidh dan istihadah, termasuklah nifas agar mereka sentiasa memahami hukum darah yang keluar. Ini akan menyebabkan mereka faham berkenaan dengan ibadat solat mereka dan puasa mereka. Dengan itu, mereka tidaklah terhairan dan tercengang. 

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 11 Ogos 2023 bersamaan 24 Muharram 1445 H