#2572: Al-Quran dalam Handset dan Laptop

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah al-Quran yang saya masukkan dalam laptop saya dan handset saya 30 juzuk itu telah dianggap sebagai al-Quran pada handset dan laptop saya dan menyebabkan mesti dalam berwuduk apabila hendak disentuh.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami kemukakan terlebih dahulu definisi dan takrif al-Quran.

Al-Quran pada bahasa mempunyai beberapa makna iaitu mengumpulkan dan menghimpun, dan qiraah bererti menghimpun huruf-huruf dan kata-kata satu dengan yang lain dalam satu ucapan yang tersusun rapi. Quran pada mulanya seperti qiraah, iaitu masdar (infiniti) dari kata qara’a, qiraatan, quranan. Allah SWT berfirman:

إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ ﴿١٧﴾ فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ 

Maksudnya: “Sesunggguhnya atas tanggungan Kamilah mengumpulkannya (di dadamu) dan (membuatmu pandai) membacanya. Apabila Kami telah selesai membacakannya, maka itulah bacaannya itu.”

(Surah al-Qiyamah: 17-18)

Al-Maraghi berkata: “Perkataan qur’anah memberi makna bacaannya, iaitu menetapkan bacaan itu menerusi lisannya.”

Kata qur’anah (قُرْآنَهُ) (bacaannya) pada ayat di atas bererti qiraatuhu (bacaannya/cara membacanya). Jadi, kata itu adalah masdar menurut wazan fu’lan dengan vokal u seperti ghufran dan syukran. Kita dapat mengatakan qara’tuhu, quran, qiraatan wa quranan, ertinya sama saja. Di sini maqru’ (apa yang dibaca) diberi nama quran (bacaan), yakni penamaan maf’ul dengan masdar.

Sedangkan ada istilahnya pula ialah kitab yang diturunkan Allah secara mutawatir kepada Nabi SAW yang bersifat mukjizat di mana mendapat pahala jika dibacanya yang terangkum dari awal surah Fatihah hingga akhir surah al-Nas.

Sebelum kami menjawab persoalan di atas, kami definisikan secara ringkas, handset dan laptop:

  • Handphone / Smartphone 

Telefon pintar atau telefon bijak (bahasa Inggeris: Smartphone) adalah telefon bimbit yang mempunyai ciri pengkomputeran maju dan ketersambungan berbanding dengan telefon bimbit biasa. Telefon pintar membolehkan penggunanya memasang aplikasi canggih di dalamnya berasaskan pelantar telefon seperti Symbian, Android, iOS atau Windows Phone. Ia juga menggunakan sistem pengendalian yang menyediakan satu pelantar untuk pembina aplikasi.

  • Ipad

iPad adalah komputer tablet yang direka dan dibangunkan oleh Apple Inc. iPad menggunakan sistem pengendalian iOS. iPad mempunyai sambungan Wi-Fi dan juga selular. iPad pertama kali dipasarkan pada 3 April 2010. Mula dijual di Malaysia pada 30 November 2010. iPad boleh digunakan untuk mengambil gambar dan video, mendengar muzik, menghantar dan menerima e-mel, dan juga membaca buku elektronik. iPad juga boleh digunakan sebagai alat navigasi GPS, bermain permainan video dan lain-lain dengan memuat turun apps yang boleh didapati di Apps store.

  • Laptop

Komputer riba (dikenal juga dengan istilah notebook/powerbook) ialah komputer peribadi untuk penggunaan secara bimbit. Komputer bimbit (kecil dan dapat dibawa ke mana-mana dengan mudah) adalah integrasi komponen daripada komputer atas meja, termasuk paparan, papan kekunci,peranti petunjuk(dikenali sebagai bantalan sentuh)dan juga pembesar suara ke dalam satu unit. Beratnya sekitar 1 hingga 6 kilogram bergantung pada ukuran, bahan dan spesifikasi. Sumber elektrik berasal dari bateri atau adaptor A/C yang dapat digunakan untuk mengecas bateri dan menghidupkan komputer itu sendiri. Bateri komputer riba pada umumnya dapat bertahan sekitar 1 hingga 6 jam bergantung pada cara pemakaian, spesifikasi dan ukuran bateri. Komputer mudah alih, asalnya berdasarkan monokrome CRT dan selepas itu dibangunkan menjadi komputer riba yang moden. Sebagai komputer mudah alih, ia telah menjadi lebih kecil, ringan, murah, lebih berkuasa dan paparannya lebih besar dan kualitinya juga bertambah. Dengan teknologi yang bertambah baik, penggunaan komputer riba lebih meluas untuk pelbagai tujuan.

Berdasarkan kepada takrifan di atas, maka kami katakan bahawa apabila seseorang membaca al-Quran melalui handphone, ipad, dan juga laptop, ia tidaklah perlu untuk mengambil wudhu’ kerana sifat ipad, handphone dan juga laptop boleh menerima pelbagai perisian dan aplikasi. Ia tidak mengambil hukum al-Quran atau mushaf. Ini kerana takrif al-Quran atau mushaf sebagaimana disebut di atas bersifat khusus. Justeru, kami katakan boleh seseorang membaca al-Quran melalui handphone, dan sebagainya tanpa berwudhu’. Kerana ia tidak termasuk dalam maksud dan makna mushaf sebenar.

Firman Allah SWT:

لَّا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ

Maksudnya: “Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.”

(Surah al-Waqi’ah: 79)

Imam Qurtubi menyebut di dalam kitabnya bahawa para ulama berbeza pendapat dalam hal menyentuh mushaf dalam keadaan tidak berwuduk, jumhur ulama melarang daripada menyentuhnya berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Amru bin Hazm RA. Dan ini merupakan pandangan mazhab Saidina Ali RA, Ibn Mas’ud, Saad bin Abi Waqaz, Said bin Zaid, ‘Ata’, al-Nakhai serta mazhab fuqaha’ daripada Malik dan Syafi’i. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 17/226)

Kami juga berpendapat, jika sekiranya laptop itu atau ipad itu adalah ipad khas al-Quran sebagai mushaf yang tiada hal yang lain, atau aplikasi serta bahan-bahan yang lain kecuali al-Quran semata-mata atau mushaf semata-mata, maka ketika itu, layaklah ia mengambil hukum mushaf.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Bertarikh: 11 Ogos 2023 bersamaan 24 Muharram 1445 H