#2577: Mengabaikan Nafkah Batin Terhadap Isteri

Soalan:

Assalamualaikum Dato Seri saya ingin bertanya, apakah hukum suami yang selalu mengabaikan nafkah batin dan tidak melayani isteri ?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ

Maksudnya : Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.

( Surah al-Baqarah ayat 187)

Dalam Kitab Tafsir Ibn Katsir,Ibn Abbas menyatakan  maksud  yang dikehendaki dari ayat di atas “mereka adalah ketenangan bagi kalian dan kalian pun adalah ketenangan bagi mereka”. Manakala dalam tafsir at-Thabari mengatakan bahawa maksud ayat ini adalah berkumpulnya dua jasad menjadi satu “bersetubuh”. (3/490)

Diriwayatkan daripada  Abdullah Ibn Amru bahwa nabi SAW telah bersabda:

إِنَّ لِرَبَّكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَإِنَّ لِبَدَنِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَإِنَّ لِأَهْلِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَإِنَّ لِزَوْرِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، فَأَعْطِ كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقٌّ

Maksudnya : “Sesungguhnya untuk Tuhan kamu terdapatnya hak, dan untuk badan kamu terdapatnya hak, dan untuk keluarga kamu terdapatnya hak, dan untuk isteri kamu terdapatnya hak dan berikanlah setiap yang hak itu haknya.

 Riwayat al-Bukhari ( 6139) 

Ibn Battal ketika mensyarahkan hadith ini beliau menyatakan bahawa: ” Dalam bab ini disebutkan hak isteri terhadap suami. Seorang suami seharusnya  tidak menumpukan  dirinya dalam ibadah semata-mata hingga dia mengabaikan hak keluarganya dari memberikan  nafkah batin  dan nafkah-nafkah yang sepatutnya diberikan kepadanya. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 7/320).

Dalil-dalil di atas menunjukkan bahawa suami diwajibkan melayani isteri dengan baik dengan menunaikan hak yang wajib ke atasnya iaitu memberikan nafkah zahir dan batin. Berdosa bagi suami yang tidak menunaikan tanggungjwab terhadap isteri dalam menafkahinya baik nafkah zahir atau batin.

Menjawab bagi persoalan di atas, kami katakan apabila terjalinnya hubungan perkahwinan suami dan isteri mempunyai hak masing-masing yang perlu ditunaikan. Bagi suami tanggungjawabnya adalah menunaikan nafkah zahir dan batin kepada isteri.Ini kerana syara’ telah mewajibkan hal tersebut ke atas suami sebagaimana yang telah dinyatakan dalam nas  yang telah dinyatakan di atas.    Selain itu wajib ke atas suami melayani isteri dengan cara yang  baik dan antara pergaulan yang baik adalah melakukan hubungan intim bersamanya.

Firman Allah SWT:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.

(Surah Al-Nisa’:19)

Syaikh Islam Ibnu Taimiyyah menyatakan: “Suami hendaklah mengauli isterinya (melakukan hubungan kelamin) dengan cara yang  baik, dan itu adalah haknya yang paling besar bahkan lebih besar dari memberinya makan. Kadar kewajipan dalam hal tersebut adalah berdasarkan keperluan dan kemampuannya. (Lihat Majmu’ al-Fatawa,32/271 )

Bahkan ada pandangan yang menyatakan bahawa hedaklah mendatangi isteri setiap empat malam sekali. Ini berdasarkan apa yang telah dinyatakan oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulum al-Din bahawa : hendaklah  mendatangi isteri  setiap empat malam sekali, kerana ia lebih adil . Oleh yang demikian disebabkan jumlah wanita yang harus dikahwini adalah empat (iaitu batas maksimum yang dibenarkan), jadi penangguhan sehingga had ini adalah dibenarkan. Ya, ia boleh ditambah atau dikurangkan mengikut keperluannya. (Lihat Ihya’ ‘Ulum al-Din, 2/50)

Justeru kami katakan, Jika suami meninggalkan hubungan kelamin dengan isterinya yang boleh memudaratkan isteri dengan tindakan ini, maka isteri berhak untuk meminta perceraian daripada suaminya. Hal ini berlaku jika suami dengan sengaja meninggalkan hubungan kelamin tanpa alasan yang dibenarkan. Oleh itu, kami nasihati kepada para suami supaya jalankan tanggungjawab dengan sebaiknya dan jaganlah mengabaikannya kerana tanggungjawab itu amanah yang akan dipersoalkan di akhirat kelak.

Firman Allah SWT :

وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ ۖ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْئُولًا

Maksudnya: “Dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.”

(Surah al-Isra’: 34)

Semoga Allah memberikan kefahaman abg baik dalam melaksanakan syariatnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 11 Ogos 2023 bersamaan 24 Muharram 1445 H