#2578: Kewujudan Jabal Qaf

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan, apa itu Jabal Qaf dan benarkah ia wujud di dunia ini?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

ق ۚ وَالْقُرْآنِ الْمَجِيدِ

Maksudnya: “Qaf. Demi Al-Quran yang melimpah-limpah kemuliaan dan kebaikannya (bahawa sesungguhnya Muhammad adalah Rasul yang diutus memberi peringatan dan amaran).”

(Surah Qaf: 1)

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas berkata: “Dinukilkan daripada sebahagian Salaf bahawa yang dimaksudkan dengan Qaf itu adalah gunung yang mengelilingi seluruh pelusuk bumi, ia dinamakan sebagai Gunung Qaf. Wallahu a‘lam, seakan-akan ia suatu khurafat yang sebahagian orang ambil dari Bani Israil apabila mereka tahu bahawa tidak menjadi masalah untuk mengambil riwayat dari Bani Israil berkenaan sesuatu yang tidak dikatakan benar atau dusta. Pada pendapatku, perkara yang menyerupai ini merupakan rekaan sebahagian golongan Zindiq.” 

Ibn Kathir dalam pada itu mengiktiraf kesahihan lafaz yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Abdullah bin ‘Amr dan Jabir bin Abdullah R.Anhum, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 حَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلَا حَرَجَ

Maksudnya: “Dan ceritakanlah (apa yang kalian dengar) dari Bani Israil, dan itu tidak apa (dosa).”

Riwayat al-Bukhari (3461), Abu Dawud (3662), Ahmad (10134) dan al-Tirmizi (2669)

Akan tetapi, keharusan itu hanya pada perkara yang dibolehkan oleh akal (untuk berfikir tentangnya). Manakala pada perkara yang mustahil bagi akal (untuk berfikir tentangnya) dan dihukumkannya sebagai batil, dan berkemungkinan besar Bani Israil itu berdusta, maka bukanlah perkara-perkara ini yang diharuskan.

Kemudian, beliau membawa beberapa tafsiran lain bagi Qaf (ق), antaranya:

  • Ia merupakan salah satu daripada nama-nama Allah SWT, ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma.
  • Ia merupakan salah satu daripada huruf hijaiyyah, ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Mujahid.
  • Ia juga ditafsirkan sebagai: “Demi Allah, perkara tersebut telah diselesaikan”, dan pada firman Allah SWT tersebut terdapat hazaf (perkataan yang dibuang). Akan tetapi pada tafsiran ini terdapat perbincangan, kerana tidak boleh mendakwa adanya hazaf pada sesuatu kecuali dengan adanya bukti. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/367-368) 

Al-Qurtubi menukilkan daripada Ibn Zaid, ‘Ikrimah dan al-Dahhak berkenaan tafsiran Qaf (ق): Ia merupakan gunung daripada zamrud hijau yang mengelilingi seluruh pelusuk bumi, sehingga langit kelihatan kehijauan kerananya. Dan beginilah yang diriwayatkan oleh Abu al-Jauza’ daripada Abdullah bin ‘Abbas. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 17/2)

Akan tetapi, riwayat dari jalur Abdullah bin ‘Abbas ini dikritik oleh ilmuan hadith kerana pada sanadnya berlaku inqita‘. Ibn Kathir menukilkan riwayat sebuah athar yang dinilai ganjil dan tidak sahih, daripada Abu Muhammad Abdul Rahman bin Abi Hatim al-Razi, daripada bapanya, daripada Muhammad bin Ismail al-Makhzumi, daripada Laith bin Abi Sulaim, daripada Mujahid, daripada Ibn ‘Abbas R.A, katanya:

خَلَقَ اللهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى مِنْ وَرَاءِ هَذِهِ الأَرْضِ بَحْرًا مُحِيطًا بِهَا، ثُمَّ خَلَقَ مِنْ وَرَاءِ ذَلِكَ البَحْرِ جَبَلًا يُقَالُ لَهُ (ق)، السَّمَاءُ الدُّنْيَا مَرْفُوفَةٌ عَلَيْهِ، ثُمَّ خَلَقَ اللهُ تَعَالَى مِنْ وَرَاءِ ذَلِكَ الْجَبَلِ أَرْضًا مِثْلَ تِلْكَ الْأَرْضِ سَبْعَ مَرَّاتٍ، ثُمَّ خَلَقَ مِنْ وَرَاءِ ذَلِكَ بَحْرًا مُحِيطًا بِهَا، ثُمَّ خَلَقَ مِنْ وَرَاءِ ذَلِكَ جَبَلًا يُقَالُ لَهُ (ق)، السَّمَاءُ الثَّانِيَةُ مَرْفُوفَةٌ عَلَيْهِ، حَتَّى عَدَّ سَبْعَ أَرْضِينَ وَسَبْعَةَ أَبْحُرٍ وَسَبْعَةَ أَجْبلٍ وَسَبْعَ سَمَوَاتٍ، قَالَ وَذَلِكَ فِي قَوْلِهِ تَعَالَى: ﴿وَالْبَحْرُ يَمُدُّهُ مِنْ بَعْدِهِ سَبْعَةُ أَبْحُرٍ﴾ 

Maksudnya: “Allah yang Maha Suci dan Maha Tinggi menciptakan dari belakang satu lapisan bumi ini lautan yang mengelilinginya. Kemudian, Dia menciptakan dari belakang laut itu gunung yang disebut ‘Qaf’, langit dunia diletakkan di atasnya. Kemudian Allah yang Maha Tinggi menciptakan dari belakang gunung itu satu lagi lapisan bumi yang serupa dengan lapisan pertama sebanyak tujuh kali lipat. Kemudian, Dia menciptakan dari belakang lapisan bumi itu lautan yang mengelilinginya. Kemudian, Dia menciptakan dari belakang lautan itu gunung yang disebut (Qaf), langit kedua diletakkan di atasnya. Hal ini terus berlanjut hingga mencapai tujuh lapisan bumi, tujuh lautan, tujuh gunung, dan tujuh langit. Ini terdapat dalam firman-Nya yang Maha Tinggi: ‘Dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu’.” (Lihat  Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/368)

Al-Qarafi juga menafikan kewujudan gunung Qaf ini dengan mengatakan bahawa riwayat tentangnya adalah batil (tidak benar). Hal ini kerana  manusia telah mengelilingi lautan samudera, akan tetapi mereka tidak pula menjumpai apa-apa gunung seperti yang digambarkan sebelum menelusuri lautan. Jika ada yang mendakwa bahawa gunung ini terletak selepas lautan samudera, maka ia juga batil, kerana tidak ada yang pernah menempuhi keseluruhan lautan tersebut kerana ianya amat sukar. Maka dari mana mereka mengetahui (akan kewujudan) gunung ini? Sedangkan tidak warid daripada al-Sunnah satu pun tentangnya setakat yang diketahui, maka tidak boleh untuk mempercayai sesuatu yang tiada dalil. (Lihat al-Yawaqit fi Ahkam al-Mawaqit, hlm. 83)

Muhammad al-Tahir Ibn ‘Asyur  mengkritik pandangan ini dengan berkata, mereka melebih-lebih ketika menggambarkan gunung itu dengan apa yang diisi oleh imaginasi yang diiringi dengan penelitian yang sedikit, pada perkara yang mereka dapati ianya ganjil (tidak diketahui oleh ulama’). Ini termasuk di antara khayalan yang telah bercampur dengan kata-kata bangsa Timur kuno. Dan ini juga kerana kurangnya kefahaman sebahagian orang tentang ilmu geografi bumi serta imajinasi mereka mengenainya sebagai kawasan-kawasan yang terbentang, dengan beberapa pembahagian yang mengelilingi setiap bagian darinya dengan lautan dan gunung. Dan kalau tidak kerana para ulama’ tafsir menyebutkan tentang kisah ini, para ilmuan seharusnya berhenti dari menyibukkan diri bercerita tentangnya. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 26/276)

Yahya bin Ziyad al-Farra’ pula mengatakan, sekiranya benar ia merupakan nama gunung, maka ia seakan berada di tempat marfu‘ (perlu dibariskan dengan baris depan). Oleh itu, perlu dieja dengan lengkap agar boleh diletakkan baris depan dan tidak boleh dieja dengan huruf hija’iyyah sahaja. (Lihat Ma‘ani al-Quran, 3/75)

Jelas berdasarkan kritikan-kritikan di atas bahawa kisah tentang kewujudan gunung Qaf ini berkemungkinan besar tidak benar. Kebanyakan ulama’ memilih untuk tawaqquf (meninggalkan daripada memberi pendapat) terhadap tafsiran bagi ayat-ayat al-Quran yang menyerupai ayat ini. 

Dr. Hikmat Basyir Yasin menyebutkan bahawa majoriti ulama’ seperti Khulafa’ al-Rasyidun dan para sahabat yang lain serta para tabi‘in telah bertawaqquf daripada menafsirkan ayat-ayat seperti ini, bahkan tidak thabit bahawa Rasulullah SAW menafsirkannya. Maka lebih baik kita katakan, Allah SWT lebih tahu tentang maksud ayat tersebut. (Lihat al-Sahih al-Masbur, 1/94)

Al-Lajnah al-Ifta’ juga menyimpulkan, disebutkan beberapa huruf di permulaan beberapa surah yang hanya diketahui oleh Allah, dan ini sebagai bukti mukjizat al-Quran. Dan makhluk terlalu lemah untuk menyangkal ayat tersebut dengan mendatangkan yang serupa dengannya. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 4/179)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan para ilmuan Islam yang kami bawakan di atas, kami dapati bahawa kisah tentang gunung Qaf ini adalah kisah yang dikritik ramai. Hal ini berdasarkan sebab-sebab yang berikut:

  • Sekiranya benar gunung tersebut wujud, pasti sudah ada yang menyaksikannya dengan mata. Akan tetapi, pancaindera dan penglihatan menjadi bukti bahawa ianya tidak wujud.
  • Sebahagian ulama’ menegaskan bahawa riwayat tentang kisah gunung ini diambil dari Bani Israil, yang disebut sebagai Israiliyyat.
  • Jika benar Qaf tersebut adalah nama bagi sebuah gunung, maka ia kata nama khas yang perlu dieja dengan lengkap, kerana berada di permulaan ayat dan perlu dibariskan dengan baris depan seperti (قَافُ). Dan ia tidak boleh dieja dengan satu huruf hija’iyyah sahaja seperti (ق).

Mempelajari dan meneliti setiap tafsiran yang dibawakan oleh ulama’ sangatlah bermanfaat bagi orang Islam agar dapat bertambah kecintaan kita terhadap agama Allah SWT. Memilih kecenderungan kepada mana-mana tafsiran ulama’ pula memerlukan dalil dan bukti yang kukuh agar kita tidak tergelincir memilih riwayat Israiliyyat yang tidak sahih. Maka, kami melihat pandangan yang lebih kuat mengatakan bahawa riwayat tentang gunung Qaf ini tidak sahih dan diragui kewujudannya. Kami berpendapat, selagi mana status riwayat ini bertaraf maudhu’, kami memilih untuk bertawaqquf mengenai kewujudan gunung Qaf ini sebagaimana pendekatan yang diambil oleh para Salaf.

Kami akhiri dengan doa:

الّلَهُمَ ارْحَمْنَا بِالْقُرْآن، واجْعَلْهُ لَنَا إمَامَاً وَنُوْرَاً وَهُدَىً ورحمةً الّلَهُمَ ذَكِّرْنَا مِنْهُ مَا نسيْنَا، وَعَلِّمْنَا مِنْهُ مَا جَهِلْنَا وَارْزُقْنَا تِلَاوَتَهُ آنَاءَ اللَّيْلِ وَأطْرَافَ الْنَهَار واجْعَلهُ لَنَا حُجَّةٌ يَا ربَّ الْعَالَمِيْن

Maksudnya: “Ya Allah rahmatilah kami dengan al-Quran, dan jadikanlah ia sebagai imam, cahaya, petunjuk, serta rahmat bagi kami. Ya Allah ingatkanlah kami daripadanya apa yang telah kami dilupakan, dan ajarkan kami darinya apa yang kami jahil serta rezekikanlah kami untuk membacanya siang dan malam, dan jadikanlah ia sebagai hujjah kepada kami wahai Tuhan sekalian alam.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 11 Ogos 2023 bersamaan 24 Muharram 1445 H