#2582: Gelang Raja Parsi Dipakaikan kepada Suraqah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan tentang kisah Suraqah yang dipakaikan gelang Raja Parsi ?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami pernah membahaskan tentang Suraqah dalam artikel sebelum ini, iaitu: #2413: Kisah Suraqah bin Malik Mengejar Nabi SAW

Berkenaan kisah ‘Umar R.A memakaikan gelang Kisra, maka tidak diriwayatkan dalam al-Sahih, akan tetapi ia diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Dala’il al-Nubuwwah.

Al-Hafiz Abu Bakar al-Baihaqi berkata dalam Dala’il al-Nubuwwah: Abdullah bin Yusuf al-Asbahani mengkhabarkan kepada kami, Abu Sa’id bin al-A’rabi menyampaikan kepada kami, katanya: Aku dapati di dalam kitabku dengan tulisan tanganku daripada Abu Dawud, bahawa Muhammad bin ‘Ubaid menyampaikan kepada kami, Hammad menyampaikan kepada kami, Yunus menyampaikan kepada kami, daripada al-Hasan, katanya:

 أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أُتِيَ بِفَرْوَةِ كِسْرَى فَوُضِعَتْ بَيْنَ يَدَيْهِ وَفِي الْقَوْمِ سُرَاقَةُ بْنُ مَالِكِ بْنِ جُعْشُمٍ قَالَ: فَأَلْقَى إِلَيْهِ سِوَارَيْ كِسْرَى بْنِ هُرْمُزَ فَجَعَلَهُمَا فِي يَدَيْهِ فَبَلَغَا مَنْكِبَيْهِ فَلَمَّا رَآهُمَا فِي يَدَيْ سُرَاقَةَ قَالَ: الْحَمْدُ لِلَّهِ- سِوَارَيْ كِسْرَى بْنِ هُرْمُزَ فِي يَدِ سُرَاقَةَ بْنِ مَالِكِ بْنِ جُعْشُمٍ أَعْرَابِيٌّ مِنْ بَنِي مُدْلِجٍ وَذَكَرَ الْحَدِيثَ.

Maksudnya: Bahawa ‘Umar bin al-Khattab R.A telah dibawakan dengan pakaian dari bulu binatang Kisra, dan diletakkan di hadapannya, dan di kalangan orang ramai terdapat Suraqah bin Malik bin Ju’syum, katanya: Maka dia menyerahkan dua gelang Kisra bin Hurmuz, lalu dia meletakkan di tangannya, sehingga sampai ke bahunya. Apabila dia melihat kedua-duanya di tangan Suraqah, dia pun berkata: “Alhamdulillah. Gelang Kisra pada tangan Suraqah bin Malik bin Ju’syum, seorang A’rabi dari Bani Mudlij. Lalu dia menyebut hadith tersebut. (Lihat Dala’il al-Nubuwwah, 6/325)

Ibn Kathir berkata: Diriwayatkan kepada kami bahawa ‘Umar telah memakaikan pakaian Kisra kepada Suraqah bin Malik bin Ju’syum, ketua Bani Mudlij R.A.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 10/17)

Adapun secara khusus berkenaan janji Nabi SAW untuk memakaikan dua gelang itu, Ibn Hajar telah menyebutkan dalam kitabnya, al-Isabah tentang janji yang mulia itu daripada al-Hasan secara mursal, katanya:

أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لِسُرَاقَةَ بْنِ مَالِكٍ: كَيْفَ بِكَ إِذَا لَبِسْتَ سِوَارَيْ كِسْرَى؟ قَالَ: فَلَمَّا أُتِيَ عُمَرُ بِسِوَارَيْ كِسْرَى وَمِنْطَقَتِهِ وَتَاجِهِ دَعَا سُرَاقَةَ بْنَ مَالِكٍ فَأَلْبَسَهُ إِيَّاهُمَا، وَكَانَ سُرَاقَةُ رَجُلا أَزَبَّ كَثِيرَ شَعْرِ السَّاعِدَيْنِ، وَقَالَ لَهُ: ارْفَعْ يَدَيْكَ. فَقَالَ: اللَّهُ أَكْبَرُ، الْحَمْدُ للَّه الَّذِي سَلَبَهُمَا كِسْرَى ابْنَ هُرْمُزَ، وَأَلْبَسَهُمَا سُرَاقَةَ بْنَ مَالِكِ بْنِ جُعْشُمٍ الأَعْرَابِيّ.

Maksudnya: Ibn ‘Uyainah berkata, daripada Israel Abi Musa, daripada al-Hasan, bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada Suraqah bin Malik: “Bagaimana jika kamu memakai gelang Kisra?” Dia berkata: “Apabila ‘Umar dibawakan gelang Kisra, berserta pengikat pinggang dan mahkotanya, lalu dia memanggil Suraqah dan memakaikan kepadanya. Suraqah adalah seorang lelaki yang banyak bulu pada lengannya. Lalu dia berkata kepadanya: Angkat tanganmu dan ucapkanlah: Segala puji bagi Allah yang telah mencabut kedua-duanya dari Kisra bin Hurmuz dan memakaikan kedua-duanya kepada Suraqah al-A’rabi. (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 3/36)

Ibn ‘Abd al-Bar menyebut dalam kitabnya al-Isti’ab, bahawa diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW sempat berkata kepada Suraqah bin Malik:

كَيْفَ بِكَ إِذَا لَبِسْتَ سِوَارَيْ كِسْرَى؟ قَالَ: فَلَمَّا أُتِيَ عُمَرُ بِسِوَارَيْ كِسْرَى وَمِنْطَقَتِهِ وَتَاجِهِ دَعَا سُرَاقَةَ بْنَ مَالِكٍ فَأَلْبَسَهُ إِيَّاهُمَا، وَكَانَ سُرَاقَةُ رَجُلا أَزَبَّ كَثِيرَ شَعْرِ السَّاعِدَيْنِ، وَقَالَ لَهُ: ارْفَعْ يَدَيْكَ. فَقَالَ: اللَّهُ أَكْبَرُ، الْحَمْدُ للَّه الَّذِي سَلَبَهُمَا كِسْرَى ابْنَ هُرْمُزَ الَّذِي كَانَ يَقُولُ: أَنَا رَبُّ النَّاسِ، وَأَلْبَسَهُمَا سُرَاقَةَ بْنَ مَالِكِ بْنِ جُعْشُمٍ أَعْرَابِيٌّ رَجُلٌ مِنْ بَنِي مُدْلِجٍ، 

Maksudnya: “Bagaimana jika engkau mengenakan dua gelang milik Kisra?”  Kemudian, tatkala Umar bin al-Khattab (menjawat jawatan sebagai Khalifah), dan dikirimkan kepada Umar dua gelang Kisra, pengikat pinggangnya dan mahkotanya, lalu Umar memanggil Suraqah dan memakaikannya kepadanya. Kata Umar kepada Suraqah: “Angkatlah kedua-dua tanganmu! Dan ucapkanlah, ‘Allahu akbar!’ Segala puji hanya bagi Allah yang telah mengambilnya dari Kisra bin Hurmuz yang menyatakan dia adalah tuhan manusia, lalu Allah pakaikan kepada Suraqah bin Malik bin Ju’syum, seorang Badwi dari Bani Mudlij.” (Lihat al-Isti’ab fi Ma’rifah al-Ashab, 2/581)

Sesungguhnya, Saidina Umar bin al-Khattab R.A telah melakarkan kejayaan dan kegemilangan Islam dengan pembukaan dua empayar dunia, Rom dan Parsi. Kejayaannya cukup manis kerana dapat mentahqiqkan doa Rasulullah SAW terhadap kerajaan Parsi. Sebagaimana maharajanya Kisra telah mengoyak surat Nabi, maka Nabi SAW berdoa agar kerajaannya dikoyakkan. Maka ia terjadi pada zaman Saidina Umar bin al-Khattab. Benarlah firman Allah SWT:

 قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاءُ وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ‎

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Surah Ali Imran: 26

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Lihat Nafahat al-Minbar al-Makki, 1/137)

Bertarikh: 11 Ogos 2023 bersamaan 24 Muharram 1445 H