#2583: Kisah Puteri Parsi Dikahwinkan dengan Anak Para Sahabat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri.  Selepas kejatuhan kerajaan Parsi, terdapat tiga puteri yang cantik. Benarkah ia dikahwini oleh anak-anak sahabat? 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Setelah tumbangnya kerajaan Parsi, antara tawanan ialah tiga orang puteri Kisra. Mereka cukup cantik sehingga ramai yang ingin memilikinya. Saidina Umar ketika itu telah membuat satu arahan bahawa dari keturunan bangsawan atau pembesar Parsi sesuai jika dikahwinkan dengan anak-anak para sahabat yang kanan. 

Maka, Muhammad bin Abu Bakar telah berkahwin dengan salah seorang darinya. Begitu juga, Abdullah bin Umar telah berkahwin yang akhirnya melahirkan Salim dan seorang lagi iaitu al-Husain bin Ali telah berkahwin dengan puteri Kisra dan hasilnya lahirlah Ali Zainal Abidin yang digelar sebagai al-Sajjad. 

Ini berdasarkan kitab Rabi’ al-Abrar, di mana pengarangnya al-Zamakhsyari berkata: “Pada zaman dahulu, kaum Quraisy tidak berminat dengan Ummu Walad sehinggalah tiga orang anak lahir daripada mereka, dan menjadi orang yang terbaik pada zamannya, iaitu: ‘Ali bin al-Husain, al-Qasim bin Muhammad dan Salim bin Abdillah. Kisah ini berlaku apabila dibawa kepada Umar R.A akan puteri-puteri Yazdegerd bin Syahriyar bin Kisra sebagai tawanan perang. Beliau ingin menjual mereka semua. Lalu ‘Ali berkata kepadanya: “Sesungguhnya puteri-puteri Raja tidak boleh dijual, akan tetapi bebaskanlah mereka.” Kemudian ‘Umar memberikan harga kepada mereka dan membahagikan mereka kepada al-Husain bin ‘Ali, Muhammad bin Abi Bakr al-Siddiq dan Abdullah bin ‘Umar.” (Lihat Rabi’ al-Abrar, 3/350) 

Walaupun tidak ada sanad yang dipercayai, antara ahli sejarah yang menukilkannya ialah Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah 12/479, al-Safadi dalam al-Wafiy bil al-Wafayat 20/270 dan al-Yafi’e dalam Mir’ah al-Jinan 1/151.

Kami katakan, Islam memuliakan golongan bangsawan dan golongan yang mulia dengan ilmu serta kedudukannya apabila mereka memeluk Islam juga akan dimuliakan. Benarlah sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:

وَالنَّاسُ مَعَادِنُ، خِيَارُهُمْ فِي الْجَاهِلِيَّةِ خِيَارُهُمْ فِي الإِسْلاَمِ إِذَا فَقِهُوا

Maksudnya: “Manusia itu adalah umpama barang-barang galian seperti barang galian emas dan perak. Sebaik-baik mereka di zaman kejahilan dulu juga akan menjadi sebaik-baik manusia setelah mengikut Islam jika mereka memahami Islam itu.” 

Riwayat Bukhari (3495) dan Muslim (2526)

Bertarikh: 11 Ogos 2023 bersamaan 24 Muharram 1445 H