#2584: Suami Menggantung Gambar Arwah Isteri Sehingga Isteri Barunya Kemurungan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri.  Saya telah berkahwin dengan seorang duda kematian isteri mempunyai 5 org anak dan tinggal bersama mereka. Setiap sudut tergantung gambar mesra suami dan arwah isteri sehingga saya tertekan kemurungan. Selain gambar, banyak hal rumah yang tidak boleh saya buat sesuka hati, sedangkan saya yang urus suami, rumah dan makan minum mereka. Akhirnya saya kemurungan. Suami tidak mahu menurunkan gambar tersebut atas alasan menjaga hati anak, walaupun saya telah disahkan doktor psikiatri mengalami kemurungan. Adakah benar tindakan suami saya terhadap saya?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 وَلَا تَيْأَسُوا مِن رَّوْحِ اللَّهِ ۖ إِنَّهُ لَا يَيْأَسُ مِن رَّوْحِ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir.”

(Surah Yusuf: 87)

Al-Tabari menjelaskan: “Yakni Allah berfirman bahawa janganlah seseorang itu berputus asa daripada (mengharapkan) jalan keluar daripada-Nya, rahmat-Nya, dan janganlah dia bertindak memutuskan harapan kepada-Nya, melainkan orang-orang kafir yakni kaum yang membantah kemampuan Allah untuk menciptakan apa yang Dia kehendaki.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 12/232)

 

Definisi Kemurungan

Kemurungan adalah gangguan perasaan seseorang yang menyebabkan seseorang itu merasa sedih yang berpanjangan, keletihan dan tiada tenaga, cepat marah, hilang minat dalam aktiviti harian dan sebagainya. Penyakit ini boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja tanpa mengira jantina, umur atau bangsa.

Kemurungan suatu perkara yang tidak boleh dipandang remeh kerana ia boleh membawa kepada bunuh diri. Menurut sumber daripada Polis Diraja Malaysia, terdapat peningkatan dalam kes bunuh diri yang dilaporkan pada tahun 2020 iaitu sebanyak 631 kes berbanding 609 kes pada tahun 2019. Sehingga Mac 2021, sejumlah 336 kes bunuh diri telah dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia. (Lihat Portal Kementerian Kesihatan Malaysia)[1]

Antara perubahan kepada seseorang yang mengalami kemurungan ialah mula mengasingkan diri, putus harapan, tiada selera makan dan masalah tidur. Kaedah untuk merawat masalah kemurungan ini adalah:

Antaranya:

  1. Dekatkan diri dengan Allah seperti solat malam, membaca al-Quran dan seumpamanya.
  2. Amalkan cara hidup sihat.
  3. Bercakap dengan seseorang yang dipercayai.
  4. Dapatkan khidmat professional.
  5. Elakkan pengambilan alkohol atau dadah. (Lihat Portal Jabatan Kesihatan Negeri Perlis)[2]

 

Berbalik kepada persoalan di atas, kami nyatakan dalam isu ini sebenarnya ia kembali kepada perbincangan yang baik diantara suami dan isteri.  Kami membahagikan nasihat ini kepada dua:

Nasihat Kepada Suami

Sebagai seorang suami, sudah semestinya kita sedih apabila orang yang disayangi meninggal dunia. Namun, apabila kita telah membina kehidupan yang baru, maka sebaiknya perkara yang lepas kita simpan diingatan dan teruskan kehidupan baru (move on). Begitu juga, sebagai seorang suami yang baik, kita mestilah menjaga hati isteri dengan baik. Hal ini kerana Allah SWT telah berfirman:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ فَإِن كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللَّهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا

Maksudnya: Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).

(Surah an-Nisa’: 19)

Justeru, kami mengesyorkan untuk saudara menyimpan gambar-gambar tersebut di dalam satu album / kotak sebagai kenangan arwah. Hal ini bukan sahaja dapat menjaga hati isteri saudara yang baru, malah gambar berkenaan dapat disimpan dengan baik. Begitu juga, berkenaan dengan penyakit kemurungan isteri saudara, rawatilah dia agar kehidupan rumah tangga saudara kembali bahagia hingga ke syurga.

Kami juga telah menjawab beberapa kali yang terkait dengan menggantung gambar sama ada gambar keluarga atau apa-apa gambar orang mahupun haiwan maka hendaklah dielakkan dengan sebaik mungkin. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW:

 لاَ تَدْخُلُ الْمَلاَئِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلاَ صُورَةٌ

Maksudnya: “Malaikat tidak masuk di dalam rumah yang ada anjing dan gambar.”

Riwayat al-Nasa’ie (4282)

Nasihat Kepada Isteri

Sepertimana yang telah kami sebutkan sebelum ini, sebaiknya perkara ini dibawa bincang bersama. Hal ini agar masalah ini dapat diselesaikan dengan baik dan tidak berpanjangan. Selain itu, kami nasihatkan saudari untuk banyak bersabar kerana di awal perkahwinan itu, ialah awal perkenalan yang sebenar. Apabila duduk sebumbung, ketika itu kita akan lebih memahami hati budi masing-masing. Maka, apabila situasi ini dapat diatasi dengan baik, maka terdirilah rumah tangga yang utuh lagi bahagia. Sabda Nabi SAW:

 إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا، دَخَلَتْ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الجَنَّةِ شِئْتِ

Maksudnya: “Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, puasa pada bulannya (Ramadhan), menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang anda kehendaki”.

Riwayat Ibn Hibban (4163)

 Akhir kalam, di sini kami mengesyorkan beberapa langkah yang mungkin boleh diambil dan diamalkan:

Pertama, lazimi solat berjemaah bersama pasangan dan anak-anak, begitu juga kerapkan hadir ke masjid untuk solat.

Kedua, hadirlah majlis ilmu dengan membawa pasangan dan anak-anak sekurang-kurangnya seminggu sekali dan jika boleh dikerapkan lagi baik.

Ketiga, hindarilah bersengketa dan bergaduh kerana ia merosakkan hati dan mengeruhkan keadaan di samping menjadikan ketidaktenangan jiwa. Silap-silap membawa kepada stres yang melampau dan tekanan jiwa serta perasaan termasuklah penyakit seperti anxiety

Keempat, banyakkan zikrullah dan berdoa serta munajat. Antaranya dengan melazimikan diri dalam membaca al-Mathurat sebagai wirid dan zikir harian pada waktu pagi dan petang. InsyaAllah, akan berlaku sinar kebahagiaan dalam kehidupan puan jika dapat dilaksanakan apa yang kami nyatakan. 

Kelima, sentiasalah beristighfar dan bertaubat kepada Allah SWT kerana dengannya akan membuka pintu kebaikan dalam rumah tangga dan juga kehidupan. 

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

 

[1] https://covid-19.moh.gov.my/semasa-kkm/2021/06/mhpss-kesihatan-mental-dan-sokongan-psikososial-ketika-pandemik-covid-19

[2]https://jknperlis.moh.gov.my/v3/index.php/info-kesihatan/233-cara-mengatasi-kemurungan

Bertarikh: 11 Ogos 2023 bersamaan 24 Muharram 1445 H