#2585: Hukum Fatwa Siapa yang Bercakap dengan Ucapan yang Boleh Membawa kepada Kufur

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum fatwa siapa yang bercakap dengan ucapan yang boleh membawa kepada kufur?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 وَلَا تَقُولُوا لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هَٰذَا حَلَالٌ وَهَٰذَا حَرَامٌ لِّتَفْتَرُوا عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ لَا يُفْلِحُونَ

Maksudnya: Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: “Ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya.

(Surah al-Nahl: 116)

Pengarang al-Kasysyaf berkata: Jangan kamu berkata ini halal dan ini haram berdasarkan sifat lidah kamu yang dusta. Dengan maksud lain, jangan kamu mengharamkan atau menghalalkan semata-mata ucapan lidah kamu yang keluar dari mulut kamu tanpa ada sebarang hujah. (Lihat Tafsir al-Kasyaf, 2/598)

Menjawab persoalan di atas, apabila mufti diminta fatwa, pada sesiapa yang memberi ucapan mahupun tulisan yang membawa kepada kufur, seperti dia berkata: 

  • “Aku lebih benar daripada Nabi Muhammad bin Abdullah.”
  • Atau, “Solat ini hanyalah main-main.”
  • Atau, “Menunaikan ibadat Haji adalah sia-sia belaka.”
  • Atau, “Sebahagian qasidah oleh penyair lebih baik daripada al-Quran al-Karim.”
  • Dan seumpamanya

Ketika itu, wajib ke atas Mufti, janganlah dia segera dengan memberi ucapan, “Ini adalah halal darah atau keharusan membunuh, atau wajib ke atasnya dibunuh.” Sebaliknya hendaklah dia berkata: Jika sabit ke atasnya demikian itu, dengan bukti atau iqrar, hendaklah pihak pemerintah memintanya bertaubat. Jika dia bertaubat, maka diterimanya taubatnya. Sebaliknya jika dia enggan dan berterusan tanpa mahu bertaubat, maka berhak dibunuh dan boleh dilakukan dengannya begian, begian, begian, di samping hendaklah mengerasi amaran ke atasnya dalam perkara tersebut. (Lihat al-Fatwa: Nasy’atuha wa Tatawwuruha oleh Dr. Syeikh Husain Muhammad Mallah, hlm. 693)

Sebaliknya, jika Mufti diminta fatwa terhadap siapa yang bercakap di mana ucapannya itu boleh diandaikan dengan beberapa andaian, sebahagiannya menjadi dan sebahagiannya tidak, maka sewajarnya tidak dijawab, sebaliknya hendaklah dia berkata: Ditanya hal ini daripada apa yang dikehendaki daripada ucapan tersebut. Jika dia menghendaki begian, maka jawabnya belgian. Sebaliknya jika dia menghendaki begian maka hukumnya seperti begian. (Lihat al-Faqih wa al-Mutafaqqih oleh al-Khatib al-Baghdadi, 2/190; Adab al-Mufti wa al-Mustafti oleh Ibn al-Salah, hlm. 142; Adab al-Fatwa wa al-Mufti oleh Imam al-Nawawi, hlm. 52-53 dan Sifat al-Fatwa wa al-Mufti oleh Ibn Hamdan, hlm. 61)

Kami katakan, mengingkari perkara ma’lum min al-din bi al-darurah (المَعْلُومِ مِنَ الدِّينِ بِالضَّرُورَة) boleh membawa kepada kufur. Justeru, wajib kepada kita berhati-hati dalam mengungkapkan dalam hal tersebut. 

Justeru, ihtiyat dan berhati-hati dalam memberi pendapat dan fatwa terutamanya dalam isu kekufuran adalah amat-amat diperlukan agar tidak terjerumus dalam nas hadith Nabi SAW: Daripada Abu Zar R.A, bahawasanya beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

لاَ يَرْمِي رَجُلٌ رَجُلًا بِالفُسُوقِ، وَلاَ يَرْمِيهِ بِالكُفْرِ، إِلَّا ارْتَدَّتْ عَلَيْهِ، إِنْ لَمْ يَكُنْ صَاحِبُهُ كَذَلِكَ

Maksudnya: “Tidaklah seseorang lelaki menuduh seorang lelaki yang lain dengan kefasiqan, dan tidak pula menuduhnya dengan kekufuran, melainkan akan kembali kepadanya (tuduhan-tuduhan itu), jika orang yang dituduh itu tidaklah seperti itu.”

Riwayat al-Bukhari (6045)

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah, mudah-mudahan Allah kurniakan kepada kita kebaikan dalam hidup, taufik dan hidayah. Amin

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Bertarikh: 11 Ogos 2023 bersamaan 24 Muharram 1445 H