#2589: Sisa Buah yang Dimakan Haiwan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu soalan. Kawasan rumah saya terlalu banyak kelawar atau keluang, dan ia kadang-kadang memakan buah mata kucing dan buah-buah lain yang saya tanam. Soalan saya, bolehkah saya memakan buah tersebut yang mana tidak habis dimakan oleh kelawar itu? Begitu juga buah yang dimakan oleh tupai? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Terlebih dahulu, kami melihat ia berkaitan dengan perbahasan ulama berkenaan Su’r al-Hayawan (سُؤْرُ الْحَيَوَانِ). Su’r (سُؤْرٌ) ialah lebihan atau sisa daripada makanan atau minuman manusia atau haiwan. Begitu juga Syamsuddin al-Zarkasyi turut menyatakan bahawa su’r (سُؤْرٌ) ialah baki atau lebihan makanan dan minuman haiwan. (Lihat Syarh al-Zarkasyi ‘ala Mukhtasar al-Khiraqi, 1/139). 

Manakala menurut Imam al-Nawawi, maksud fuqaha dengan perkataan mereka, “سُؤْرُ الْحَيَوَانِ طَاهِرٌ أَوْ نَجِسٌ” adalah merujuk kepada air liur haiwan itu dan kelembapan mulutnya. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/172).

Dalam menjawab soalan di atas, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa mazhab kami (mazhab Syafi‘i) berpendapat, lebihan minuman atau makanan kucing adalah suci dan tidak makruh. Demikianlah juga lebihan makanan dan minuman seluruh haiwan seperti kuda, baghal, keldai, haiwan buas, tikus, ular dan cicak. Begitu juga seluruh haiwan yang halal dimakan dagingnya mahupun yang tidak halal dimakan dagingnya, lebihan makanannya dan juga minumannya serta peluhnya adalah suci dan tidak makruh, kecuali anjing dan babi serta haiwan yang lahir daripada kedua-duanya. Pengarang al-Hawi menukilkan seperti mana pendapat mazhab kami daripada Umar bin al-Khattab, Ali, Abu Hurairah, al-Hasan al-Basri, ‘Ata’ dan al-Qasim bin Muhammad.

Manakala Imam Abu Hanifah dan Ibn Abi Laila berpendapat, makruh lebihan makanan dan minuman kucing. Demikian juga Ibn Umar berpendapat ia adalah makruh. Ibn al-Musayyib dan Ibn Sirin berpendapat, dibasuh bekas yang terdapat padanya air liur kucing sebanyak sekali, manakala Tawus pula berpendapat dibasuh sebanyak tujuh kali. Sedangkan jumhur ulama berpendapat, ia tidak makruh sebagaimana pendapat mazhab kami. Imam Abu Hanifah menyatakan bahawa haiwan itu terbahagi kepada empat jenis. Jenis pertama, haiwan yang dimakan dagingnya seperti lembu dan kambing, maka lebihan makanan dan minumannya adalah suci. Jenis kedua, binatang buas seperti singa dan serigala, maka lebihan makanan dan minumannya adalah najis. Jenis ketiga, burung pemburu seperti helang dan falkon, maka lebihan makanan dan minumannya adalah suci melainkan dihukumkan sebagai makruh untuk menggunakannya, begitu juga dengan kucing (makruh hukumnya). Jenis keempat, baghal dan keldai yang diragukan pada lebihan makanan dan minumannya. Maka tidak boleh dihukumkan secara pasti akan kesuciannya mahupun kenajisannya, serta tidak boleh berwuduk dengan lebihan air minumannya. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/172-173).

Seterusnya, di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (24/104), setelah dibawakan pendapat ulama mazhab Syafi‘i, dinyatakan pula bahawa sekiranya salah satu daripada haiwan-haiwan ini (selain babi dan anjing serta haiwan yang lahir daripada kedua-duanya) menjilat suatu makanan, maka harus untuk kita memakan makanan itu tanpa makruh, begitu juga jika ia meminum air, maka harus digunakan air itu untuk berwuduk tanpa dihukumkan sebagai makruh. Di antara hujah ulama yang mengharuskannya adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

 وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksudnya: “Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.

(Surah al-Hajj: 78)

Hal ini kerana menghukumkan sebagai najis lebihan makanan dan minuman haiwan-haiwan itu terdapat suatu keberatan dan kepayahan, serta sukar untuk menjaga atau mengawasi daripada sebahagiannya seperti kucing dan haiwan seumpamanya yang berada di sekitar rumah-rumah.

Kabsyah binti Ka‘ab bin Malik ada meriwayatkan bahawa pada suatu hari Abu Qatadah berada di dalam rumah, lalu dia telah menyediakan baginya sebekas air untuk dijadikan sebagai air wuduk. Kemudian, datang seekor kucing meminum air tersebut. Abu Qatadah membiarkan sahaja kucing itu meminum air daripada bekas tersebut. Kemudian, Abu Qatadah perasan yang Kabsyah memandang kepadanya lalu dia bertanya: “Adakah kamu merasa pelik wahai anak saudaraku?” Kabsyah menjawab: “Ya.”  Lalu Abu Qatadah menjelaskan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ، إِنَّمَا هِيَ مِنَ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ، أَوِ الطَّوَّافَاتِ

Maksudnya: “Sesungguhnya kucing itu tidak najis kerana ia ialah haiwan yang berkeliaran di sekeliling kamu.”

Riwayat al-Tirmizi (92); Abu Daud (75); al-Nasa’i (68) dan Ibn Majah (367)

Adapun babi dan anjing serta haiwan yang lahir daripada kedua-duanya atau salah satu daripadanya, maka lebihan makanan dan minumannya adalah najis. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT: 

فَإِنَّهُ رِجْسٌ

Maksudnya: “Kerana sesungguhnya ia adalah kotor.

(Surah al-An‘am: 145)

Begitu juga berdasarkan sabda Nabi SAW:

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya:Sucinya bekas salah seorang di antara kamu apabila ia (bekas) dijilat anjing adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali dan (basuhan) yang pertama dengan tanah.”

Riwayat Muslim (279)

Dalam riwayat lain datang dengan lafaz: “فلْيُرِقْهُ” iaitu tuanglah (buanglah) lebihan air dijilat oleh anjing itu. Perbuatan membuang air itu termasuk dalam merosakkan harta benda

Hadith ini jelas menunjukkan kepada kenajisan anjing itu. Dalam erti kata lain, jika ia bukan dianggap sebagai najis, sudah tentu tidak diperintahkan untuk menuangnya — yakni membuang baki air daripada sisa minum anjing — kerana perbuatan tersebut termasuk dalam mensia-siakan (membazir) harta. Kalaulah air itu dihukumkan sebagai suci, sudah tentu tidak diperintahkan untuk menuangnya — yakni membuang baki air daripada sisa minum anjing — kerana perbuatan tersebut termasuk dalam mensia-siakan (membazir) harta.

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa lebihan makanan atau buah-buahan yang telah dimakan oleh haiwan selain babi dan anjing seperti kelawar, keluang, tupai dan lain-lain adalah suci dan halal untuk dimakan. Sekalipun begitu keharusan itu adalah selagi mana tidak terdapat padanya tanda-tanda rosak dan masih lagi elok untuk dimakan sehingga tidak memudaratkan pemakannya. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ.

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Riwayat Ibn Majah (925), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9930) dan Ahmad (26602)

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 11 Ogos 2023 bersamaan 24 Muharram 1445 H