#2595: Mengucup Hajar al-Aswad

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada terbaca berkenaan perbuataan mengucup dan mengusap Hajar al-Aswad sebagai perbuataan yang bercanggah dengan seruan Islam untuk mengesakan Allah SWT. Adakah ini benar?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Mempelajari sesuatu hanya pada luaran sahaja adalah sebahagian daripada penyakit yang dialami oleh para penuntut ilmu.Sikap ini menimbulkan kesan buruk seperti terburu-buru mengeluarkan hukum sebelum mendalaminya secara teliti Malah sikap ini menyebabkan mereka mengabaikan rujukan yang sepatutnya dilakukan kepada pihak yang lebih arif.

Benarlah kata-kata berikut:

Sesungguhnya golongan yang menimbulkan keraguan dalam agama adalah sama ada orang-orang yang jahil, ataupun penuntut ilmu yang sebahagian daripada maklumat itu menjadi isu besar dalam fikiran mereka. Dengan itu, mereka menimbulkan keraguan terhadap isu seperti menyentuh Hajar al-Aswad serta menolak hadith-hadith tentangnya dengan mudah. Ini adalah kesesatan yang jelas dan kelalaian daripada hakikat ilmu dan agama:

Tabiat ilmu bermaksud mengembalikan inti pati agama itu kepada kaedah-kaedahnya. Contohnya, ilmu hadith yang mempunyai kaedah dan usulnya yang ditetapkan oleh para ulama hadith. Ketetapan ini bertujuan mengenal pasti hadith-hadith yang dapat diterima dan yang sebaliknya. Para ulama hadith melaksanakan tanggungjawab ini dengan amanah dan teliti sesuai dengan kemampuan mereka. Mereka juga mengerahkan usaha-usaha yang hebat dalam menyaring hadith-hadith Nabi SAW dan menyampaikannya kepada kita semua. Oleh itu, kita akan menyatakan nilai kedudukan sebahagian daripada hadith yang mereka laporkan tentang Hajar al-Aswad:

Imam Al-Bukhari merekodkan, Ibnu Umar RA melaporkan bahawa beliau pernah ditanya tentang perbuatan menyentuh Hajar al-Aswad. Lalu beliau mengatakan: “Saya pernah melihat Rasulullah SAW menyentuh dan menciumnya.”

Imam Al-Bukhari dan Muslim merekodkan, Nafi’ melaporkan, “Saya pernah melihat Ibnu Umar menyentuh Hajar al-Aswad dengan tangannya dan kemudian beliau mengucup tangan itu. Lalu beliau (Ibnu Umar) menyatakan, Saya tidak pernah meninggalkan perbuatan ini sejak saya melihat Rasulullah saw. melakukannya,”

Saidina Umar RA melaporkan bahawa beliau mengucup Hajar al-Aswad lalu mengatakan:

“Sesungguhnya saya tahu bahawa kamu hanya batu yang tidak mampu mampu memberi mudarat mahupun manfaat. Jikalau tidak kerana saya pernah melihat Rasulullah SAW mengucupmu, saya pasti tidak mengucupmu.”

Direkodkan oleh Imam Al-Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Daud, An-Nasaie, At-Tirmidzi, dan Ibnu Majah

Imam al-Tabari pernah mengatakan, Saidina Umar berkata sedemikian kerana orang ramai ketika itu baru melepasi tempoh penyembahan berhala. Maka beliau bimbang orang-orang jahil menyangka perbuatan menyentuh batu tersebut adalah sebahagian daripada konsep mengagungkan batu-batu seperti mana perbuatan orang Arab pada zaman jahiliah.

Saidina Umar RA, mahu menyatakan kepada orang ramai bahawa perbuatan menyentuh Hajar al-Aswad adalah disebabkan menuruti perbuatan Rasulullah SAW. Bukan disebabkan batu itu mampu memberi mudarat dan manfaat seperti mana kepercayaan orang pada zaman jahiliah yang menyembah berhala. Hadith-hadith yang dinyatakan ini adalah ucapan-ucapan yang sahih dan kuat. Tiada seorang pun ulama salaf dan khalaf yang mengkritiknya.

Bahkan lebih daripada itu, sunnah perbuatan ini dilakukan sejak generasi zaman Rasulullah saw. sehingga ke hari ini tanpa diingkari oleh sesiapa pun. Maka isu ini sudah menjadi ijmak umat Islam. Kita juga tahu umat Islam tidak berijmak terhadap perkara yang sesat. Hujah ini sahaja sudah cukup kuat berbanding setiap hadith yang pernah dilaporkan. Malah ia lebih kuat berbanding setiap pandangan yang diutarakan.

Ini adalah pandangan daripada sudut ilmiah. Manakala pandangan daripada sudut agama pula, semua orang yang beriman yakin dan tahu bahawa isu ini termasuk dalam topik beriman pada perkara-perkara ghaib (daripada sudut kepercayaan). Bahkan beriman untuk tunduk dan patuh kepada suruhan Allah (daripada sudut perbuatan). Ini adalah makna bagi lafaz agama dan lafaz ibadat.

Menurut aspek agama, Islam tidak lekang daripada konsep pengabdian semata-mata, walaupun ia adalah agama yang paling sedikit dalam memfokuskan aspek ini. Terutamanya dalam ibadat haji yang mengandungi banyak amalan yang berkonsepkan pengabdian semata-mata. Antaranya adalah mengucup Hajar al-Aswad. Hikmah perkara-perkara berkonsepkan pengabdian ini dapat diterima akal sekalipun sebahagian daripada maknanya tidak dapat difahami. Secara umumnya, hikmah di sebaliknya adalah pelaksanaan tanggungjawab itu sendiri. la adalah ujian daripada Allah SWT. kepada hamba-hamba-Nya supaya dapat dikenal pasti, siapakah yang menuruti Rasulullah SAW. dan siapakah yang berpaling daripadanya.

Perkara-perkara yang berkonsepkan pengabdian ini dapat menyerlahkan pengabdian sebenar kepada Allah SWT. daripada pengabdian yang palsu dan pura-pura. Ketika seorang hamba yang soleh mendapat perintah daripada Allah SWT, dia akan menjawab dengan lafaz yang sama seperti mana jawapan Rasulullah SAW. dan orang-orang yang beriman, iaitu: “Kami dengar dan kami patuh.”

Manakala hamba yang ingkar terhadap Tuhannya akan menjawab dengan jawapan golongan Yahudi, iaitu: “Kami dengar, tetapi kami ingkar.”

Sekiranya hikmah untuk setiap tanggungjawab yang digalas oleh seorang hamba itu diketahui oleh akal secara umum dan terperinci, maka tatkala dia melaksanakan tanggungjawab tersebut, dia hanya melakukannya atas dasar kepatuhan kepada akal terlebih dahulu, dan kemudian barulah disusuli dengan ketaatannya kepada Tuhannya. Memadailah bagi seorang Muslim yang ketika itu sedang bertawaf di sekeliling Kaabah ataupun menyentuh hajarulaswad meyakini bahawa bangunan tersebut dan segala yang terdapat di dalamnya adalah kesan peninggalan Nabi Ibrahim AS.

Siapakah Nabi Ibrahim AS? Ya, baginda adalah individu yang membinasakan berhala-berhala: Baginda juga adalah Rasul yang menyampaikan seruan tauhid dan bapa bagi ajaran yang lurus dan toleransi ini, Allah SWT mengatakan:

إِنَّ إِبْرَاهِيمَ كَانَ أُمَّةً قَانِتَا لِلَّهِ حَنِيفًا وَلَمْ يَكُ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Ibrahim adalah satu umat yang tunduk kepada Allah, dan berdiri teguh di atas dasar tauhid dan dia tidak pernah menjadi daripada orang-orang yang Musyrik.”

(Surah An-Nahl: 120)

(Lihat Fatwa Kontemporari Dr Yusuf al-Qaradhawi, 1/2/296-300)

Sesungguhnya, Hajar al-Aswad mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Walaupun begitu, apabila kita berinteraksi dengannya ikutlah apa yang dikatakan oleh Saidina Umar iaitu dengan melihat tindakan Rasulullah SAW. Inilah yang sepatutnya dilakukan oleh umat Islam. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Riwayat Ibn Majah (925), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9930) dan Ahmad (26602)

Bertarikh: 11 Ogos 2023 bersamaan 24 Muharram 1445 H