Soalan:
Salam Datuk, izinkan saya bertanya, apakah hukum seseorang melakukan akad nikah ketika berada dalam tempoh ‘iddah dan bagaimana sekiranya telah berlaku persetubuhan ? Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah :
وَلَا تَعۡزِمُواْ عُقۡدَةَ ٱلنِّكَاحِ حَتَّىٰ يَبۡلُغَ ٱلۡكِتَٰبُ أَجَلَهُۥۚ
Maksudnya: “Dan jangan kamu melangsungkan akad nikah sehinggalah sampai tempoh yang ditetapkan al-Kitab ( tempoh ‘iddah) ”
(Al-Baqarah : 235)
‘iddah
‘iddah dari sudut bahasa diambil daripada al-Adad, iaitu bilangan untuk disempurnakannya dari sudut penyucian ataupun bilangan bulan.
Dari sudut bahasa pula, nama bagi tempoh yang tertentu yang dilakukan oleh perempuan sebagai pengabdian kepada Allah SWT, ataupun berduka atas pemergian suami, ataupun sebagai penyucian rahim daripada benih suami. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/157)
‘iddah ialah suatu tempoh masa yang dilalui oleh seseorang perempuan selepas perceraian atau kematian suami. Tujuannya untuk memastikan kekosongan rahimnya daripada mengandung dan tempohnya bergantung kepada berapa kali dia mengalami haid. Biasanya, tempoh ‘iddah bagi wanita sesudah cerainya dengan bekas suaminya yang dahulu adalah tiga kali suci kitaran haid sebagaimana firman Allah SWT;
وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ ثَلاثَةَ قُرُوءٍ
Maksudnya: “Wanita-wanita yang ditalak hendaklah menahan diri (menunggu) tiga kali suci.”
(Surah al-Baqarah: 228)
Manakala wanita yang telah kematian suaminya, tempoh ‘iddah adalah selama 4 bulan dan 10 hari.
Firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا ۖ فَإِذَا بَلَغْنَ أَجَلَهُنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا فَعَلْنَ فِي أَنفُسِهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۗ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
Maksudnya: Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis masa iddahnya itu maka tidak ada salahnya bagi kamu mengenai apa yang dilakukan mereka pada dirinya menurut cara yang baik (yang diluluskan oleh Syarak). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.
(Surah al-Baqarah:234)
Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan akad nikah yang dilakukan dalam tempoh ‘iddah adalah tidak sah dan terbatal ini kerana wanita yang diceraikan dan berada dalam tempoh ‘iddah masih lagi dikira isteri kepada suaminya kerana suami berhak untuk merujuk kembali isteri yang diceraikannya sebelum tamatnya tempoh ‘iddah.
Firman Allah SWT:
وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِي ذَٰلِكَ إِنۡ أَرَادُوٓاْ إِصۡلَٰحاۚ
Maksudnya: “Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa idah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai.”
(Surah al-Baqarah: 228)
Al-Qurtubi berkata “para ulama telah bersepakat bahawa seorang lelaki apabila ia menceraikan isterinya yang telah dia setubuhi sama ada talak satu atau dua makai a berhak merujuk Kembali selagi mana masih dalam ‘iddah walaupun tidak disukai isteri’ (Lihat al-Syarh Manhaj al-Salikin Wa Taudih al-Fiqh Fi Al-Din,2/155 )
Ijma’ ulama menyatakan bahawa diharamkan melakukan akad perkahwinan semasa ‘iddah. Ini juga merupakan pendangan daripada Uma, Ibnu Abbas, Mujahid, Qatadah, Sya’bi dan al-Thauri. (Lihat Mausu’ah Ijma’ fi al-Fiqh al-Islami, 3/231)
Al-Syarazi juga menyatakan dalam kitabnya al-Muhazzab bahawa: Tidak dibolehkan untuk berkahwin dengan wanita yang berada dalam ‘iddah. Beliau berdalilkan dengan firman Allah SWT:
وَلَا تَعۡزِمُواْ عُقۡدَةَ ٱلنِّكَاحِ حَتَّىٰ يَبۡلُغَ ٱلۡكِتَٰبُ أَجَلَهُۥۚ
Maksudnya: “Dan jangan kamu melangsungkan aqad nikah sehinggalah sampai tempoh yang ditetapkan al-Kitab ( tempoh ‘iddah) ”
(Surah al-Baqarah : 235)
Yang demikian kata beliau kerana ‘iddah diwajibkan bagi memelihara nasab . Sekiranya kita mengharuskan perkahwinan dalam tempoh ‘iddah maka berlakulah percampuran pada nasab. (Lihat al-Muhazzab,2/445)
Justeru kami katakan perkahwinan yang dilakukan dalam tempoh ‘iddah adalah tidak sah dan wajib dipisahkan oleh hakim. Sekiranya berlaku persetubuhan maka persetubuhan tersebut dikira zina jika diketahui perempuan yang dikahwini itu berada dalam tempoh ‘iddah. Sekiranya tidak diketahui, maka persetubuhan itu dikira persetubuhan yang syubhah.
Ibn Qudamah menyatakan: Tidak dibolehkan berkahwin semasa ‘iddah. Oleh yang demikian persetubuhan yang dilakukan daripada perkahwinan yang batil akan merosakkan nasab dan ia seperti melakukan persetubuhan dengan ajnabi iaitu seperti penzina.(Lihat al-Mughni,11/240)
Dalam isu ini kami nasihati supaya merujuk kepada mahkamah syariah agar permasalahan yang dihadapi dapat diselesaikan kerana kaedah menyebut:
حُكْمُ الْحـَاكِمِ يَرْفَعُ الخِلَافَ
Maksudnya: “Keputusan hakim (yakni pemerintah) mengangkat khilaf.”
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala syariatnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
(Surah al-Furqan :74)
Wallahu a’lam
Bertarikh: 11 Ogos 2023 bersamaan 24 Muharram 1445 H