Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan, apakah hukumnya jika seseorang itu beristinjak dengan air zamzam?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
خَيْرُ مَاءٍ عَلَى وَجْهِ الْأَرْضِ مَاءُ زَمْزَمَ فِيهِ طَعَامٌ مِنَ الطُّعْمِ وَشِفَاءٌ مِنَ السُّقْمِ
Maksudnya: “Sebaik-baik air di atas muka bumi adalah air zamzam, padanya terdapat makanan yang mengenyangkan dan penawar daripada penyakit.”
Riwayat al-Tabarani (11167)
Air zamzam berbeza dengan air biasa yang lain kerana Rasulullah SAW mengatakan bahawa ia merupakan air yang diberkati dan boleh mengenyangkan sesiapa yang meminumnya. Ini sebagaimana hadith daripada Abu Zar R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda :
إِنَّهَا مُبَارَكَةٌ إِنَّهَا طَعَامُ طُعْمٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya ia (air zamzam) air yang penuh dengan keberkatan dan ianya mengandungi makanan yang mengenyangkan.”
Riwayat Muslim (2473)
Oleh kerana ia merupakan air yang diberkati dan dimuliakan, maka timbul persoalan dari sebahagian pihak berkenaan hukum beristinjak menggunakan air zamzam kerana ia satu bentuk kurang adab. Sebelum meneruskan perbincangan, suka untuk kami menyebutkan terlebih dahulu definisi istinjak.
Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, ia merujuk kepada perbuatan membersihkan kemaluan kerana membuang air besar atau air kecil dengan menggunakan air, batu, atau tanah keras.
Ulama’ berselisih pendapat berkenaan masalah istinjak menggunakan air zamzam, hal ini kerana keistimewaan air zamzam itu sendiri yang diperakui oleh Rasulullah SAW.
Al-Munawi menyebutkan, air zamzam merupakan penghulu bagi segala air, air yang paling mulia, paling berharga dan paling disukai oleh manusia. Ia telah digali oleh malaikat Jibril dan diberi minum kepada Nabi Ismail A.S. (Lihat Fayd al-Qadir, 5/404)
Di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah telah disebutkan secara ringkas pandangan-pandangan tersebut, dan ia dibahagikan kepada 3 pandangan:
Pertama: Pandangan ulama’ al-Hanafiyyah, al-Syafi‘iyyah, sebuah riwayat dari Imam Ahmad dan pandangan Ibn Sya‘ban al-Maliki.
- Dibolehkan dan tidak makruh menggunakan air zamzam untuk mengangkat hadas.
- Makruh menggunakan air zamzam untuk membersihkan najis, sebagai menghormati dan memuliakannya.
Kedua: Pandangan ulama’ al-Malikiyyah.
- Boleh dan tidak makruh menggunakan air zamzam secara itlaq untuk mengangkat hadas atau untuk membersihkan najis.
Ketiga: Riwayat lain dari Imam Ahmad.
- Boleh tetapi makruh bahawa makruh menggunakan air zamzam secara itlaq untuk mengangkat hadas atau untuk membersihkan najis.
(Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 39/357)
Mereka yang menghukumkannya sebagai makruh berhujjah dengan riwayat Ibn ‘Abbas R.A. Ia dinukilkan oleh Ibn Kathir menukilkan di dalam al-Bidayah wa al-Nihayah (2/230) Ibn ‘Abbas R.A berkata:
لَا أُحِلُّهَا لِمُغْتَسِلٍ وَهِيَ لِشَارِبٍ حِلٌّ وَبِلٌّ
Maksudnya: “Aku tidak menghalalkannya (Zamzam) bagi siapa yang mandi, ianya halal untuk orang yang hendak minum dan berwudhu’.”
Riwayat Ibn Abi Syaibah (385) dan Abdul Razzaq di dalam al-Musannaf (5/114)
Imam al-Hattab al-Maliki pula ada menukilkan sebuah pandangan dari Muhib al-Din al-Tabari al-Syafi‘i
Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa pada air zamzam itu terdapat suatu penghormatan, maka ditegah untuk beristinjak menggunakannya. Meskipun begitu, sah hukumnya beristinjak dengan air zamzam berdasarkan persepakatan ulama’. (Lihat al-Majmu‘, 2/120)
Ibn Taimiyyah pula berpendapat bahawa makruh hukumnya menggunakan air zamzam untuk beristinjak
Syeikh Abdullah bin Hamid pula menyimpulkan bahawa, boleh beristinjak menggunakan air zamzam kerana ia juga sama seperti air yang lain, bahkan tidak ada nas yang menghalang perkara tersebut. Dan pendapat yang masyhur menurut mazhab al-Hanbali, perbuatan tersebut makruh berdasarkan hadith Ibn ‘Abbas R.A. (Lihat Fatawa Syeikh Abdullah bin Hamid, 1/233)
Kesimpulan
Setelah kami melihat kepada pendapat-pendapat ulama’ serta dalil-dalil mereka, kami menyimpulkan beberapa perkara:
- Pandangan yang dipegang oleh ulama’ al-Syafi‘iyyah, makruh hukumnya beristinjak dengan air zamzam kerana kemuliaan dan kehormatan air tersebut, akan tetapi ia masih sah digunakan kerana ia air yang suci lagi menyucikan sepertimana air mutlak yang lain.
- Untuk keluar daripada khilaf ulama yang memakruhkannya, kami mengesyorkan sekiranya tiada kesukaran dan terdapat air yang lain selain daripada air zamzam, sebaiknya gunakan terlebih dahulu air lain tersebut, khususnya ketika beristinja’ dan membersihkan diri daripada najis.
Kami katakan sementelahan lagi pada zaman sekarang khususnya penduduk Islam dari negara asing yang bukan warga Saudi amat memerlukan air zamzam untuk diminum, maka tidaklah wajar walaupun seseorang itu mempunyai kekayaan yang luar biasa beristinjak dengan air zamzam. Ini kerana ramai yang berhajatkannya untuk minum di samping berdoa agar diberi hajat-hajat mereka. Salah satunya berniat ketika minum air zamzam.
Kami akhiri dengan firman Allah SWT :
إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
Maksudnya: “SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”
(Surah al-Baqarah : 222)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Riwayat Ibn Majah (925), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9930) dan Ahmad (26602)
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 11 Ogos 2023 bersamaan 24 Muharram 1445 H