Soalan:
Salam Dato seri saya ingin bertanya, adakah anak susu wajib memberi nafkah kepada ibu susuannya ?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Nafkah dari segi bahasa mengeluarkan, iaitu pembiayaan belanja seseorang terhadap ahli keluarganya. Manakala dari segi syarak ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Ia di namakan Nafaqah kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu.( Lihat: Hasyiyah al-Bajuri ala Ibn Qasim Halabi Fatoni, 2/185, al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/274)
Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut, nafaqah bermaksud semua keperluan asas manusia, seperti makanan, minuman, pakaian dan juga tempat tinggal. Ia dinamakan nafaqah kerana ia dikeluarkan atau dihabiskan untuk tujuan keperluan asas tersebut.( Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/101)
Pada asalnya, para ulama’ menyebut bahawa furu’ (seperti anak-anak) wajib memberi nafaqah kepada usul, iaitu bapa, ibu, datuk, nenek dan ke atas. Antara dalilnya adalah firman Allah SWT:
وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا
Maksudnya: “Dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.”
(Surah Luqman: 15)
Begitu juga firman Allah SWT:
وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا
Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.”
(Surah al-Isra’: 23)
Dalam kedua-dua ayat ini, perintah bergaul dengan baik dan berbuat baik kepada kedua ibu bapa oleh anak-anak tidak dapat dilaksanakan kecuali mereka mengambil tanggungjawab memberi nafaqah kepada mereka berdua ketika diperlukan.( Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/110)
Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan, anak susuan tidak diwajibkan untuk memberi nafkah kepada ibu susuannya kerana hubungan antara anak susuan dan ibu susuan bukanlah hubungan nasab seperti keluarga kandung. Tambahan lagi anak susuan tidak boleh menjadi wali pernikahan dan tidak boleh mewarisi apa-apa daripada ibu susuannya. Syariat hanya menetapkan beberapa hukum berkaitan dengan hubungan susuan seperti diharamkan berkahwin dan diharuskan melihat apa yang diharamkan oleh ajnabi. Selain daripada itu, syariat tidak mewajibkan apa-apa taklif ke atas anak dan ibu susuan.
Dar al-Ifta’ Urduniyyah menyatakan : Anak susuan tidak dituntut untuk menafkahi ibu susuannya tetapi sebagai balasan kebaikan, seseorang itu hendaklah berbuat baik kepada ibu susuannya, pengasuhnya dan saudara-saudara susuan.[1]
Syaikh Nuh Ali Salman yang merupakan mufti Jordan menyatakan : Salah satu hikmah pada perkara ini adalah bahawa susuan tidak dijadikan sebab untuk mewajibkan nafkah atau mewarisi harta. Sekiranya diwajibkan hal yang sedemikian nescaya wanita akan menolak untuk menyusukan anak supaya anak tersebut tidak mewarisinya dan tidak diwajibkan nafkah ke atasnya. Kesan dari susuan hanyalah berlaku dalam larangan pernikahan dan perkara yang berkaitan seperti batas aurat dan sebagainya.
Begitu juga fatwa yang dikeluarkan oleh Syeikh Abdullah Bin Humaid beliau menyatakan: Seorang anak yang disusui tidak diwajibkan untuk memberi nafkah kepada ibu susunya, dan tidak ada hubungan wali seperti perkahwinan dan seumpamanya di antara mereka. Selain itu, anak yang disusui tidak dapat mewarisi ibu susunya, dan ibu susu juga tidak dapat mewarisi anak yang disusuinya. Namun, hukum haram antara mereka berlaku melalui susuan yang diakui oleh syara’. Dalam situasi ini, ia dianggap seperti anak sendiri dalam hal bermusafir denggannya, bersendirian dengan ibu susuan dan aadik beradik susuannya. Oleh kerana itu, tidak dibenarkan bagi mereka untuk menikah dengan adik beradik susuan. Hubungan susuan ini adalah seperti hubungan nasab. (Lihat Fatawa Syeikh Abdullah Bin Humaid,3/104)
Justeru kami katakan dalam isu ini anak susuan tidak diwajibkan untuk menafkahi ibu susuannya namun, berbakti kepada ibu susuan adalah perkara yang dianjurkan oleh syara’ sebagai membalas kebaikan . Yang demikian juga sepertimana yang dicontohi oleh Rasulullah SAW yang berbuat baik kepada ibu susuannya.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita ilmu dan kefahaman yang tepat dalam melaksanakan titah perintah-Nya. Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Wallahu a’lam.
[1] https://www.aliftaa.jo/Question3.aspx?QuestionId=2424
Diakses pada 3 Ogos 2023
Bertarikh: 11 Ogos 2023 bersamaan 24 Muharram 1445 H