#2600: Berjabat Tangan Selepas Solat Asar dan Solat Subuh

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum berjabat tangan selepas solat asar dan subuh?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Islam merupakan sebuah agama yang amat menitikberatkan adab-adab dalam pergaulan sesama manusia sama ada Islam dan bukan Islam. Antara adab-adab dan akhlak yang terpuji yang diajarkan oleh Islam adalah berjabat tangan  ketika bertemu. Terdapat sebuah hadith yang menunjukkan kelebihan perbuatan bersalaman, seperti yang diriwayatkan daripada al-Bara’, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمَيْنِ يَلْتَقِيَانِ، فَيَتَصَافَحَانِ، إِلَّا غُفِرَ لَهُمَا قَبْلَ أَنْ يَتَفَرَّقَا

Maksudnya: “Tidaklah ada dua orang muslim itu apabila bertemu, lalu bersalamanan, melainkan akan diampunkan dosa keduanya sebelum mereka berpisah.” 

Riwayat Ahmad (18547)

Berjabat tangan pada asalnya merupakan perbuatan yang disunatkan apabila berlakunya pertemuan antara dua orang atau lebih. Bahkan Imam al-Nawawi menukilkan persepakatan ulama’ tentang sunnah berjabat tangan apabila bertemu dengan orang lain. (Lihat al-Majmu‘, 4/633)

Ini thabit berdasarkan riwayat daripada Qatadah, dia bertanya kepada Anas bin Malik R.A:

أَكَانَتِ الْمُصَافَحَةُ فِي أَصْحَابِ النَّبِيِّ ﷺ؟ قَالَ: نَعَمْ

Maksudnya: “Adakah berjabat tangan (ketika berjumpa) itu merupakan perkara yang dilakukan oleh para sahabat Rasulullah SAW? Beliau (Anas) menjawab: ‘Ya’.”

Riwayat al-Bukhari (6263)

Ibn Battal menyebutkan, berjabat tangan itu merupakan perbuatan yang baik menurut kebanyakan ulama’, dan ini adalah salah satu perbuatan yang mewujudkan persahabatan dan memupuk kasih sayang. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 9/44)

Berjabat Tangan Selepas Solat Asar dan Solat Subuh

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, masalah ini pernah dibincangkan oleh beberapa ulama’ silam dan ulama’ moden sama ada  secara khusus tentang berjabat tangan selepas solat Asar dan solat Subuh, atau secara umum berjabat tangan selepas mana-mana solat. 

Imam al-Nawawi menukilkan kalam Abu Muhammad al-‘Izz bin Abdul Salam tentang isu berjabat tangan selepas solat Subuh dan solat Asar, katanya: “Ia merupakan perbuatan bida‘ah yang diharuskan, dan tidaklah ia dihukumkan sebagai makruh atau sunat… Dan pendapat yang dipilih adalah, jika seseorang itu berjabat tangan dengan orang yang turut bersamanya (telah berjumpa) sebelum mula solat, maka hukumnya harus seperti yang kami katakan. Dan jika dia berjabat tangan dengan orang yang tidak bersamanya (belum berjumpa) sebelum solat, maka hukumnya sunat kerana berjabat tangan ketika bertemu itu merupakan sunnah menurut persepakatan ulama’ berdasarkan hadith-hadith yang sahih tentang berjabat tangan.” (Lihat al-Majmu‘, 3/488)

Dinukilkan oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani, bahawa Imam al-Nawawi mengatakan: “Hukum asal berjabat tangan itu sunnah, dan dalam keadaan orang ramai tidak cakna tentang sunnah tersebut pada sesetengah keadaan tidaklah menjadikan ianya terkeluar dari perbuatan yang disunatkan.” (Lihat Fath al-Bari, 11/55)

Syeikh Abdullah bin Hamid pula menyimpulkan bahawa, pada zahir kalam Imam al-Izz bin Abdul Salam perbuatan ini diharuskan, dan pada zahir kalam Imam al-Nawawi perbuatan ini adalah sunnah. Dan begitulah perbuatan tersebut harus untuk dilakukan seperti selepas selesai pengajian dan yang seumpama dengannya dari perbuatan-perbuatan baik. (Lihat Fatawa Syeikh Abdullah bin Hamid, 1/315)

Syeikh Abdul ‘Aziz Ibn Bazz juga menyebutkan, sunat bersalaman apabila bertemu di masjid atau ketika dalam saf solat, dan jika dua orang itu belum bersalaman sebelum solat, maka bersalamlah selepas solat agar dapat melakukan sunnah yang agung ini. Dan perbuatan tersebut boleh mengeratkan hubungan kasih serta menghapuskan permusuhan. Namun, jika seseorang tidak bersalaman dengannya sebelum solat wajib, maka dibolehkan baginya untuk bersalaman setelah selesai solat dan setelah membaca zikir yang dianjurkan. (Lihat Majmu‘ Fatawa, 11/200)

Mereka yang mengharuskan perbuatan ini berhujjah dengan umum hadith yang menyebutkan kelebihan 2 muslim yang saling berjabat tangan apabila bertemu. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan diriwayatkan daripada al-Barra’ bin ‘Azib R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمَيْنِ يَتَلَاقَيَانِ فَيَتَصَافَحَانِ إِلَّا تَحَاتَّتْ عَنْهُمَا ذُنُوبُهُمَا كَمَا يَتَحَاتُّ عَنْ الشَّجَرَةِ وَرَقُهَا

Maksudnya: “Tidaklah ada dua orang muslim itu apabila bertemu, lalu bersalamanan, melainkan akan gugur dosa keduanya sepertimana gugur daun-daun daripada pokok.”

Riwayat al-Baihaqi (8954)

Al-Safarini pula menukilkan pandangan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah tentang isu ini, beliau  mengatakan secara umum bahawa berjabat tangan selepas solat itu adalah perbuatan bidaah yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW dan tidak ada seorang pun ulama’ yang mengatakan perbuatan itu adalah sunnah. (Lihat Ghiza’ al-Albab, 1/328)

Kesimpulan

Melihat kepada perbincangan yang kami bawakan di atas, kami simpulkan bahawa terdapat beberapa pandangan mengenai masalah ini:

  • Hukumnya harus: Ini kerana tidak ada dalil khusus tentang berjabat tangan selepas solat Asar dan Subuh, akan tetapi perbuatan tersebut diharuskan kerana hadith umum tentang berjabat tangan.
  • Hukumnya sunat: Ini kerana  umum hadith yang menggalakkan umat Islam untuk berjabat tangan apabila berjumpa, dan tersebut tidak mengkhususkan mana-mana waktu yang digalakkan atau waktu yang dilarang.
  • Hukumnya haram: Ini kerana mengkhususkan sesuatu perbuatan pada waktu-waktu tertentu memerlukan kepada dalil yang thabit daripada syara‘.

Berdasarkan perbincangan di atas dan umum lafaz hadith yang menyebutkan kelebihan orang muslim yang berjabat tangan ketika bertemu muslim yang lain, serta kekuatan hujjah yang dibawakan, kami cenderung memilih pandangan yang mengatakan berjabat tangan selepas solat adalah sunat, dengan syarat ianya tidak dikhususkan dengan sengaja hanya pada waktu-waktu tertentu. 

Adapun mengkhususkannya berjabat tangan selepas solat Subuh atau Asar, dan mempercayai bahawa padanya terdapat fadhilat yang khusus, maka ia memerlukan dalil yang sahih daripada syara‘. 

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ ارْزُقْنَا اتِّبَاعَ سُنَّةِ نَبِيِّكَ مُحَمَّدٍ ﷺ وَشَفَاعَتَهُ وَأَوْرِدْنَا حَوْضَهُ وَارْزُقْنَا مُرَافَقَتَهُ فِي الْفِرْدَوْسِ الْأَعْلَى

Maksudnya: “Ya Allah, rezekikanlah kami untuk mengikuti sunnah Nabi Muhammad SAW, dan rezekikanlah kami mendapat syafaatnya, dan berilah kami minum dari telaganya, dan rezekikan kami mendampinginya di syurga Firdaus yang tertinggi.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 11 Ogos 2023 bersamaan 24 Muharram 1445 H