#2601: Tidak Melaksanakan Nazar Disebabkan Telah Lanjut Usia

Soalan:

Salam Dato’ Seri saya ingin bertanya, sekiranya seorang perempuan  itu  berkata : sekiranya Allah SWT menyembuhkanku daripada penyakit maka ke atasku berpuasa 10 hari setiap bulan. Kemudian, telah lanjut usia dan tidak mampu untuk menunaikan puasa nazar tersebut.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ

Maksudnya: “Dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya,”

(Surah al-Hajj:29)

Syeikh al-Syanqiti ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Lafaz suruhan dalam ayat di atas menunjukkan bahawa kewajipan untuk menunaikan nazar kerana lafaz suruhan itu menunjukkan wajib  kecuali terdapat dalil-dalil yang mengubah kewajipan tersebut. (Lihat Adwa’ al-Bayan, 5/718)

Diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia mentaatinya. Dan sesiapa yang bernazar untuk bermaksiat kepadanya maka janganlah dia bermaksiat kepadanya.”

Riwayat Al-Bukhari (6696)

Nazar hanya dibolehkan kepada perkara kebajikan dan sekiranya bernazar perkara haram dan makruh maka tidak sah nazarnya seperti bernazar untuk merogol dan selainnya (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/26).

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan dalam isu ini hendaklah membayar kafarah (denda) bagi sesiapa yang tidak mampu menunaikan nazar disebabkan telah lanjut usia atau sebab-sebab lain. Ini berdasarkan firman Allah SWT :

فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ۚ ذَٰلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ ۚ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ ۚ

Maksudnya: “Maka kafarahnya adalah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah – peliharalah sumpah kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 89)

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma secara mauquf:

وَمَنْ نَذَرَ نَذْرًا لاَ يُطِيقُهُ فَكَفَّارَتُهُ كَفَّارَةُ يَمِينٍ، وَمَنْ نَذَرَ نَذْرًا أَطَاقَهُ فَلْيَفِ بِهِ

Maksudnya: Sesiapa yang bernazar dengan suatu nazar yang tidak mampu dilaksanakannya maka kaffarahnya ialah kaffarah sumpah, sesiapa yang bernazar dengan nazar yang mampu dilaksanakannya, maka hendaklah dia melaksanakan nazar tersebut.”

Riwayat Abu Dawud (3322) dan Ibn Majah (2128)

Denda bagi sesiapa yang tidak mampu melaksanakan nazar adalah sepertimana denda melanggar sumpah(Kafarah Yamin) iaitu memberi 10 orang miskin atau memberi pakaian kepada fakir miskin mengikut uruf setempat atau membebaskan seorang hamba. Sekiranya tidak mampu maka dikehendaki   berpuasa tiga hari.

Oleh yang demikian,  tidak dikenakan kafarah yang berganda dengan berbilangnya bulan seperti yang dinazarkan. Cukup hanya membayar sekali sahaja kafarah tersebut ini kerana nazar tersebut merupakan satu nazar, dan ia tidak digandakan dengan berbilangnya bulan.

Al-Khatib al-Syarbini menyatakan: Sekiranya seorang itu bersumpah dengan semua perkara maka ia dikira satu sumpah. Penggabungan antara lafaz-lafaz tersebut hanya untuk menguatkan sumpah tersebut. Sekiranya dia melanggar sumpah tersebut, tidaklah ia dikenakan kafarah melainkan satu kafarah sahaja. Sekiranya dia berniat setiap lafaz tersebut dengan satu sumpah maka, ia dikira satu sumpah dan dia tidak dikenakan kafah yang berganda melainkan satu kafarah sahaja sepertimana dia bersumpah perbuatan yang sama berulang kali. (Lihat Mughni al-Muhtaj,4/324)

Syeikh Abdullah Bin Humaid dalam fatwanya menyatakan: Jika seseorang tidak mampu berpuasa kerana telah lanjut usia atau disebabkan penyakit yang tidak mungkin sembuh, maka dia harus membayar kafarah yamin sebagai penebusan. Kafarah ini tidak perlu diulangi dengan berulangnya bulan-bulan , tetapi satu kali pembayaran kafarah sudah cukup. Ini kerana nazar hanya dilakukan  sekali dan ia tidak berganda dengan berulangnya bulan. (Lihat Fatawa Syeikh Abdullah Bin Humaid, 3/164)

Justeru kami, katakan disini hendaklah seseorang yang tidak mampu melaksanakan nazar membayar kafarah sepertimana yang telah disebutkan di atas dan suka juga kami nasihati supaya janganlah bernazar sesuatu yang akan menyebabkan kita terbeban untuk melaksanakannya.

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam beragama dan kami akhiri dengan doa :

اللَّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefahaman di dalam agama serta ajarkanlah kepada kami takwilan-takwilan.”

 Wallahua’lam

Bertarikh: 14 Ogos 2023 bersamaan 28 Muharram 1445 H