#2603: Meninggalkan Solat Jumaat Kerana Menjaga Kedai

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Kawan saya bekerja di sebuah kedai serbaneka, dan hanya seorang sahaja yang bekerja pada sesi bekerja tersebut, pengurus kedai memberitahu bahawa kalau bekerja seorang sahaja, tidak perlu pergi menunaikan solat jumaat. Soalan saya, 1. Adakah permasalahan ini boleh diqiyaskan seperti keadaan pengawal keselamatan? 2. Sekiranya tidak, adakah boleh bagi dia melawan kata pengurusnya untuk pergi menunaikan solat jumaat?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat).

(Surah al-Jumu‘ah: 9)

Diriwayatkan daripada Tariq bin Syaibah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ

Maksudnya: Solat Jumaat adalah tanggungjawab yang wajib atas setiap lelaki Muslim untuk didirikan secara berjemaah, kecuali hamba yang dimiliki oleh tuannya, perempuan, kanak-kanak dan orang yang sakit.” 

(Riwayat Abu Daud (1067))

Solat Jumaat diwajibkan kepada mereka yang memenuhi tujuh syarat berikut, iaitu:

  •         Beragama Islam
  •         Baligh
  •         Berakal
  •         Merdeka (bebas) sepenuhnya.
  •         Lelaki
  •         Sihat tubuh badan.
  •         Bermukim di tempat solat Jumaat didirikan.

Sekiranya seseorang itu telah cukup ketujuh-tujuh syarat ini, maka diwajibkan solat Jumaat ke atas dirinya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/200-201 dan  Matla’ al-Badrain (disusun oleh PMWP), 1/159)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan setiap lelaki yang mencukupi syarat-syarat yang telah dinyatakan di atas adalah wajib baginya menunaikan solat jumaat melainkan terdapat keadaan-keadaan yang diharuskan untuk meninggalkan solat jumaat seperti sakit, berada dalam ketakutan atau sedang bermusafir kerana menunaikan solat jumaat merupakan fardhu ain ke atas setiap  lelaki muslim.

Diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَمِعَ النِّدَاءَ فَلَمْ يَأْتِهِ فَلاَ صَلاَةَ لَهُ إِلاَّ مِنْ عُذْرٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang mendengar seruan azan kemudian tidak mendatanginya (pergi ke masjid) maka tidak sempurna solatnya, melainkan disebabkan keuzuran.”

Riwayat Ibn Majah (793)

Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyebut, yang bermaksud,“Dan setiap keuzuran yang sama tahap kesusahannya dengan kesusahan akibat sakit, dianggap juga sebagai uzur yang dikiaskan dengan sakit yang dinaskan ke atasnya. Justeru, tidak wajib Jumaat ke atas orang yang berasa takut ke atas dirinya atau hartanya.” (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’I, 1/497)

Dalam isu ini kami katakan tidak dibolehkan meninggalkan solat jumaat semata-mata untuk meneruskan perniagaan kerana terdapat larangan meninggalkan jual beli ketika Jumaat sebagaimana firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

(Surah al-Jumu’ah:9)

Ibnu Kathir menjelaskan ketika menafsirkan ayat “وَذَرُوا الْبَيْعَ” beliau berkata : bersegeralah kamu beralih untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli apabila diseru untuk mengerjakan solat. Oleh kerana itu, para ulama’ sepakat mengharamkan jual beli yang dilakukan setelah dikumandangkan azan yang kedua. (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim,4/316)

Para fuqaha juga berpandangan bahawa ayat tersebut menyatakan pengharaman terhadap melakukan urusan jual beli dan lain-lain seumpamanya (seperti akan nikah dan akad sewa menyewa) setelah dikumandangkan azan kedua solat jumaat kerana boleh melalaikan daripada menumpukan solat jumaat. (Lihat  Mausuah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah 9/223, dan  Bidayah al-Muhtaj, 1/391)

Dalam isu ini tidak boleh diqiyaskan dengan pengawal keselamatan  kerana mereka diberi keharusan meninggalkan solat jumaat  bagi menjalankan tugas-tugas  menjaga keamanan dan mereka termasuk dalam kategori uzur syar’ie yang dibenarkan untuk meninggalkan solat jumat.

Ahli Jawatankuasa Lajnah Daimah li al-Ifta’ ketika ditanya berkenaan hal ini, mereka menjawab: “Hukum asal solat Jumaat adalah wajib bagi setiap individu akan tetapi jika wujud uzur syarak ke atas orang yang wajib ke atasnya solat Jumaat seperti dia bertugas dengan tanggungjawab secara langsung berkait tugasan menjaga keamanan umat dan menjaga kepentingan mereka, menuntut dia menjalankan tugasnya saat solat Jumaat seperti keadaan petugas keselamatan, penjaga trafik, operator telefon dan seumpamanya. Keadaan mereka tidak kurang uzurnya berbanding mereka yang takut kerosakan menimpa nyawanya dan hartanya, yakni mereka yang disebut oleh ulama sebagai mendapat keuzuran meninggalkan Jumaat dan berjemaah selama mana berterusan uzur terbabit. Tetapi ini tidak menghilangkan kefarduan solat Zuhur, maka wajib atasnya untuk bersolat pada waktunya, dan selagi boleh hendaklah secara berjemaah kerana wajib hal itu seperti mana lima solat fardhu yang lain.” (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 18/188)

Justeru kami katakan berbincanglah dengan cara yang baik dengan pihak pengurusan dan terangkan kepada mereka kewajipan solat jumaat bagi setiap lelaki muslim agar perintah Allah SWT dapat dilaksanakan dengan baik. Kami cadangkan juga untuk menutup seketika kedai tersebut sekiranya kedai tersebut merupakan hak milik muslim atau boleh digantikan dengan pekerja perempuan atau  pekerja yang non muslim. Suka juga untuk kami ingatkan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا طَاعَةَ لِمَخْلُوقٍ فِي مَعْصِيَةِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: “Tiada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Allah Azza wa Jalla.”

Riwayat Ahmad (1095)

Begitu juga hadith yang lain yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةٍ، إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Tiada ketaatan pada perkara maksiat, sesungguhnya taat itu pada perkara yang makruf (baik).”

Riwayat al-Bukhari (7257) dan Muslim (1840)

Semoga Allah mengurniakan kepada kita kekuatan iman dan kefahaman yang jelas dalam  melaksanakan segala tuntutannya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 14 Ogos 2023 bersamaan 28 Muharram 1445 H