#2604: Orang Sakit yang Tidak Mampu untuk Meletakkan Dahi Ketika Sujud

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada pertanyaan berkenaan orang sakit yang mampu untuk solat secara sempurna, kecuali pada meletakkan dahinya di tempat sujud kerana sakit. Adakah terdapat cara lain baginya untuk menyempurnakan sujud tersebut? 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sujud dari segi bahasa ialah cenderung atau merendah diri. Manakala dari segi istilah pula ialah suatu perbuatan mengenakan sebahagian dahinya pada tempat sujud. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 1/509)

Sujud merupakan salah satu rukun solat yang wajib dipelihara kesempurnaannya agar solat itu sah dan diterima oleh Allah SWT. Diriwayatkan daripada Ibn  ‘Abbas R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْظُمٍ عَلَى الجَبْهَةِ، وَأَشَارَ بِيَدِهِ عَلَى أَنْفِهِ وَاليَدَيْنِ وَالرُّكْبَتَيْنِ، وَأَطْرَافِ القَدَمَيْنِ وَلاَ نَكْفِتَ الثِّيَابَ وَالشَّعَرَ

Maksudnya: “Aku diperintahkan untuk sujud dengan tujuh tulang (anggota) iaitu dahi, serta Baginda SAW mengisyaratkan dengan tangan pada hidungnya, kedua tapak tangan, kedua lutut dan hujung jari kedua kaki. Dan janganlah menahan pakaian dan rambut.”

Riwayat al-Bukhari (812)

Berkenaan mereka yang sakit dan tidak mampu untuk meletakkan dahinya secara tetap di tempat sujud, maka syara‘ memberikan keringanan kepada mereka untuk sujud sekadar kemampuan mereka sahaja. 

Terdapat juga riwayat yang menekankan soal sujud, dengan meletakkan betul-betul kepala di tempat sujud secara tetap. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَإِذَا سَجَدْتَ فَمَكِّنْ جَبْهَتَكَ، وَلَا تَنقُرْ نَقْرًا

Maksudnya: “Apabila kamu sujud, tetapkanlah dahi kamu dan jangan lakukannya terlalu laju.”

Riwayat Abdul Razzaq (8830), Ibn Hibban (1887) dan al-Tabarani (13566)

Akan tetapi, terdapat sebahagian orang menghadapi kesusahan untuk meletakkan dahi dengan sempurna di tempat sujud atas faktor-faktor tertentu seperti sakit yang terdapat pada mana-mana bahagian wajahnya. Maka ulama’ silam telah membincangkan cara sujud yang boleh dilakukan bagi orang sakit.

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa, orang yang sakit wajib berusaha mendekatkan dahinya dengan tempat sujud semaksimum yang mampu ketika sujud. Beliau menukilkan pandangan Al-Rafi‘i, katanya: “Hingga sahabat-sahabat kami mengatakan, jika dia mampu sujud di atas pipinya atau bahagian tulang kepalanya yang berada di atas dahi, dan dia tahu bahawa jika dia melakukannya, dahi dia akan lebih dekat kepada bumi, maka dia wajib melakukan begitu. Jika dia sujud di atas bantal atau seumpamanya dan mencapai sifat sujud dengan menundukkan kepala dan mengangkat punggungnya (seperti sujud yang sempurna), atau jika dia tidak mampu melebihi itu, sujudnya masih dianggap sah. Inilah yang dipegang oleh amalan Umm Salamah.

Ini berdasarkan riwayat daripada Ummu al-Hasan, katanya:

رَأَيْتُ أُمَّ سَلَمَةَ زَوْجَ النَّبِيِّ ﷺ تَسْجُدُ عَلَى وِسَادَةٍ مِنْ أَدَمٍ مِنْ رَمَدٍ بِهَا

Maksud: “Aku melihat Ummu Salamah, isteri Nabi SAW sujud di atas bantal yang diperbuat daripada adam (kulit yang disumbatkan ke dalamnya sabut pokok kurma) kerana sakit mata yang dialaminya.”

Riwayat al-Baihaqi (4356)

Akan tetapi hadith tersebut juga bertentangan dengan sebuah riwayat yang dinilai sahih oleh al-Albani, daripada Abdullah bin ‘Umar R.A, katanya:

عَادَ رَسُولُ اللهِ ﷺ رَجُلًا مِنْ أَصْحَابِهِ مَرِيضًا وَأَنَا مَعَهُ فَدَخَلَ عَلَيْهِ وَهُوَ يُصَلِّي عَلَى عُودٍ فَوَضَعَ جَبْهَتَهُ عَلَى العُودِ فَأَوْمَأَ إِلَيْهِ فَطَرَحَ العُودَ وَأَخَذَ وِسَادَةً. فَقَالَ رَسُولُ اللهِ ﷺ: 

دَعْهَا عَنْكَ إِنِ اسْتَطَعْتَ أَنْ تَسْجُدَ عَلَى الْأَرْضِ وَإِلَّا فَأَوْمِ إِيْمَاءً وَاجْعَلْ سُجُودَكَ أَخْفَضُ مِنْ رُكُوعِكَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melawat seorang sahabatnya yang sakit, dan aku bersamanya. Baginda melihat sahabat itu bersolat (yakni bersujud) atas kayu lalu, ketika dia menunduk untuk sujud, Baginda mengambilnya (kayu) dan mencampaknya. Sahabat itu mengambil bantal pula dan bersolat atas bantal itu lalu Baginda tetap mengambilnya dan mencampaknya, seraya bersabda:

‘Solatlah kamu (yakni sujudlah) di atas bumi sekiranya kamu mampu. Jika tidak mampu, maka tundukkanlah kepala (untuk rukuk dan sujud), dan jadilah sujud kamu lebih rendah daripada rukuk’.”

Riwayat al-Baihaqi dalam Ma‘rifah al-Sunan wa al-Athar (1083)

Maka diharmonikan kedua-dua hadith ini sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Baihaqi, ini kerana berkemungkinan bantal tersebut ditinggikan dan diletakkan terlalu tinggi daripada permukaan bumi. (Lihat Ma‘rifah al-Sunan wa al-Athar, 3/224)

Sekiranya bantal tersebut rendah, maka boleh diletakkan bantal sebagai lapik bagi mengurangkan sakit selagimana kesempurnaan sujud dengan mendekatkan dahi dengan tempat sujud itu boleh tercapai. Al-Khatib al-Syirbini menukilkan daripada Imam al-Baijuri, katanya: “Sekiranya seseorang itu mampu bersujud atas suatu seumpamanya bantal yang dia letakkan di bawah dahinya beserta tankis (mencapai sifat sujud dengan menundukkan kepala dan mengangkat punggungnya seperti sujud yang sempurna), maka wajib dia lakukannya kerana dapat menghasilkan bentuk sujud dengan demikian itu. Sekiranya sujud yang dilakukan itu tidak mendapat tankis, maka tidak boleh dia sujud di atas bantal oleh kerana hilangnya bentuk sujud. Bahkan, cukup baginya melakukan apa yang dia mampu dengan menunduk.” (Lihat Hasyiah al-Baijuri ‘ala Fath al-Qarib, 1/293)

Imam al-Ramli pula menyebutkan, sekiranya orang bersolat itu hanya mampu untuk rukuk sahaja (tanpa sujud seperti biasa), maka dia perlu mengulangi rukuk bagi sujud. Dan barangsiapa yang mampu untuk menambah (turun) lebih (bawah) daripada kadar kesempurnaan rukuk maka hendaklah dia menambah tunduk itu bagi sujud. Ini kerana mewujudkan perbezaan (antara rukuk dan sujud) itu wajib bagi orang yang berkemampuan melakukannya sekalipun dia tidak mampu sujud (seperti biasa). Sekiranya dia mampu sujud dengan bahagian hadapan kepalanya, atau dengan pelipisnya, dan itulah bentuk yang yang menjadikan (kepalanya) lebih rapat ke tempat sujud maka dia wajib melakukannya. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 1/469)

5

Rajah pertama: Rukuk dalam keadaan duduk atas kerusi.

6

Rajah kedua: Sujud dalam keadaan duduk atas kerusi yang mampu tunduk lebih.

7

Rajah ketiga: Sujud dalam keadaan duduk atas kerusi yang tidak mampu tunduk lebih – sama seperti tunduk untuk rukuk.

Syara‘ juga tidak menurunkan sesuatu syariat melainkan mengikut kadar kemampuan manusia, dan manusia dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan ibadah sesuai dengan kemampuan dirinya. Allah SWT berfirman:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”

(Surah al-Taghabun: 16)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan yang telah kami bawakan, kami katakan bahawa bagi mereka yang tidak mampu bersujud dengan sempurna, dia mempunyai 3 pilihan bagi membolehkan dia bersujud dengan cara mendekatkan dahi dengan tempat sujud:

  • Meletakkan lapik bagi mengurangkan sakit ketika sujud.
  • Menundukkan badan lebih sedikit dari keadaan rukuk.
  • Jika masih tidak mampu, cukup sekadar menundukkan badan seperti rukuk.

Suka juga untuk kami tegaskan di sini, hendaklah kita semua memahami fiqh solat dengan sebenarnya mengikut neraca syariah Islamiyyah yang tepat dan sahih. Akan tetapi ianya perlulah menepati syarat-syarat serta ketetapan yang telah disebutkan. Perkara yang utama adalah perlaksanaan solat tersebut mengikut apa yang telah dinyatakan oleh syara‘ serta apa yang telah diajarkan oleh para fuqaha’ dan ulama’ dalam memberikan solusi yang berkaitan dengan isu ini.

Semoga pencerahan ini dapat memberikan kefahaman serta merungkaikan kekeliruan kepada kita semua. Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah SWT supaya menerima segala amalan soleh yang kita lakukan serta menggolongkan kita di kalangan hamba-Nya yang beriman. Amin.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 14 Ogos 2023 bersamaan 28 Muharram 1445 H