#2605: Suami dan Tanggungjawab Suami Dalam Pengurusan Mengkafankan Isteri

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah suami mengkafankan jenazah isterinya dan tanggungjawab siapakah dalam menyediakan kain kafan tersebut?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Memandikan dan mengkafankan jenazah adalah suatu kewajipan yang diletakkan di dalam fardhu kifayah. Hal ini bermakna, kewajipan itu wajib ke atas masyarakat di sesuatu tempat, dan kewajipan itu hanya akan terangkat atau dikira selesai apabila sebahagian daripada masyarakat menunaikan tanggungjawab tersebut.

Kewajipan memandikan jenazah dan mengkafankannya ini berasal daripada arahan Nabi SAW ketika berlakunya tragedi seorang lelaki yang mati akibat terjatuh daripada unta, maka diseru untuk dimandikan jenazahnya, sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma:

اغْسِلُوهُ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ, وَكَفِّنُوهُ فِي ثَوْبَيْنِ

Maksudnya: “Mandikanlah dia dengan air yang dicampur daun bidara dan kafanilah dengan dua helai kain”

Riwayat al-Bukhari (1850) dan Muslim (1206)

Selain itu, dalil yang menunjukkan kewajipan memandikan dan mengkafankan jenazah dapat dilihat ketika mana kewafatan puteri Nabi SAW, Saidatina Zainab. Ketika itu, Baginda SAW mengajarkan kaifiat-kaifiat atau tatacara pemandian jenazah. Hal ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Umm Attiyyah al-Ansorriyah, katanya:

دَخَلَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَنَحْنُ نَغْسِلُ ابْنَتَهُ فَقَالَ ‏”‏ اغْسِلْنَهَا ثَلاَثًا أَوْ خَمْسًا أَوْ أَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ، وَاجْعَلْنَ فِي الآخِرَةِ كَافُورًا، فَإِذَا فَرَغْتُنَّ فَآذِنَّنِي ‏”‏‏.‏ فَلَمَّا فَرَغْنَا آذَنَّاهُ، فَأَلْقَى إِلَيْنَا حِقْوَهُ فَقَالَ ‏”‏ أَشْعِرْنَهَا إِيَّاهُ ‏.‏

Maksudnya: Rasulullah SAW telah masuk kepada kami ketika mana kami memandikan jenazah puteri baginda, lalu Baginda bersabda: “ Mandikan dia dengan tiga kali, atau lima atau lebih daripada otu, dengan air dan bidara kemudian letakkan bersama kapur barus pada mandian yang akhir. Apabila kamu selesai, maklumkan kepadaku” setelah kami selesai kami memaklumkan kepada Baginda SAW dan memberikan kain kepada kami, dan bersabda “kafankan dia dengan dengan sarung ini”

Riwayat Muslim (939)

Hukum Suami Mengkafankan Isterinya

Dalam menjawab persoalan ini, dalam isu seorang lelaki memandikan dan mengkafankan jenazah isterinya, para fuqaha’ berbeza pandangan berkenaannya, tetapi jumhur fuqaha menyatakan bahawa harus suami memandikan jenazah isterinya sebagaimana yang diriwayatkan bahawa Saidina Ali R.A memandikan jasad Fatimah R.Anha. Begitu juga terdapat riwayat daripada Nabi SAW yang menunjukkan bahawa seorang suami boleh memandikan dan mengkafankan jasad isterinya, Hal ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Umm al-Mu’minin A’isyah R.Anha, katanya:

 رَجَعَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم مِنَ الْبَقِيعِ فَوَجَدَنِي وَأَنَا أَجِدُ صُدَاعًا فِي رَأْسِي وَأَنَا أَقُولُ وَارَأْسَاهُ فَقَالَ ‏”بَلْ أَنَا يَا عَائِشَةُ وَارَأْسَاهُ”‏‏.‏ ثُمَّ قَالَ ‏”‏مَا ضَرَّكِ لَوْ مِتِّ قَبْلِي فَقُمْتُ عَلَيْكِ فَغَسَّلْتُكِ وَكَفَّنْتُكِ وَصَلَّيْتُ عَلَيْكِ وَدَفَنْتُكِ

Maksudnya: Rasulullah S.A.W telah pulang daripada al-Baqi’ dan baginda menemui aku dalam keadaan sakit kepala, lalu aku mengatakan: Alangkah sakitnya kepalaku. Maka baginda bersabda: Bahkan aku, alangkah sakit kepalaku wahai A’isyah. Kemudian sabda baginda: Tidak menjadi masalah buatmu, sekiranya kamu mati sebelum aku nescayalah aku sendiri yang akan menguruskan jenazahmu, aku mandikan kamu, kafankan kamu, solatkan ke atas jenazahmu, dan kebumikan kamu.

Riwayat Ahmad (25950), al-Nasaie di dalam al-Sunan al-Kubra (7080) dan Ibn Majah  (1465), Syeikh Syuaib al-Arnout di dalam Takhrij Syarh al-Sunnan (5/309) menyatakan hadith ini Qawiy (kuat)

Berdasarkan kepada hadith di atas, jelas menunjukkan bahawa Nabi SAW sendiri yang akan memandikan dan mengkafankan isteri baginda iaitu Aisyah R.Anha sekiranya beliau pergi dahulu meninggal dunia sebelum Nabi SAW. Ini merupakan isyarat yang menggambarkan keharusan seorang suami memandikan dan mengkafankan jenazah isterinya.

Adakah Menyediakan Kain Kafan merupakan Kewajipan Suami?

Dalam hal ini, Mazhab Abu Hanifah, al-Syafi’iyyah, pendapat dalam mazhab Maliki, dan riwayat daripada mazhab Ahmad bahawa suami wajib menyediakan kafan untuk isterinya. Imam al-Nawawi berkata: “Apabila isteri meninggal dunia, adakah suami wajib menyediakan kain kafan? Terdapat dua pendapat dan pendapat yang paling sahih antara keduanya di sisi jumhur ulama’ dalam mazhab al-Syafi’i ialah diwajibkan ke atas suami untuk menyediakannya. (Lihat al-Majmu’, 5/148)

Syeikh Abdullah bin Hamid telah memilih pendapat bahawa wajib bagi suami untuk menyediakan kain kafan isterinya. Syeikh tersebut menyatakan dalam penjelasannya mengenai perkara yang dinyatakan dalam kitab al-Raudh al-Murabba’: ‘Suami wajib menanggung kain kafan isterinya, walaupun dia kaya.’ Ini adalah menurut Mazhab Hanbali, kerana suami memberi nafkah kepada isterinya semasa hidupnya sebagai ganti nikmat yang diperoleh daripadanya. Oleh itu, nafkah itu sebagai gantian pula, dan jika isteri meninggal dunia, nikmat tersebut terputus, maka tidak wajib bagi suami untuk menanggung kain kafannya, tetapi tugas penyediaan kain kafan tersebut dilakukan oleh ahli keluarganya, dan ini adalah pandangan yang jarang berlaku. Adapun pendapat majoriti ulama, mereka berpendapat bahawa suami wajib menanggung kain kafan isterinya, walaupun hubungan perkahwinan dan nikmat sudah terputus. Hal ini kerana kesan perkahwinan itu masih ada, maka dia hendaklah memandikan jenazah isterinya, dan isteri pula memandikan jenazahnya, serta menunggu tempoh ‘iddah selama empat bulan dan sepuluh hari, ini adalah baki daripada perkahwinan itu. Maka demikian juga, wajib baginya menanggung kain kafan isterinya, memberikan upah untuk penggalian kubur, memandikan jenazah, dan perkara seumpamanya. Inilah pandangan majoriti dan ia memiliki landasan yang kukuh, kerana kesan perkahwinan masih ada, maka wajiblah baginya menanggung kain kafan isterinya.” (Lihat Ikhtiyarat Syeikh Abdullah bin Hamid wa Ara’ahu al-Fiqhiyah, 2/72-73) 

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa harus dan dibolehkan bagi seorang suami untuk memandikan dan mengkafankan jenazah isterinyanya dan begitu juga seorang isteri boleh memandikan dan mengkafankan jenazah suaminya. Hal ini kerana tidak terdapat nas yang melarang dalam isu ini, menjadikan hukumnya kekal kepada hukum asal iaitu harus. Selain itu, dari sudut kewajipan penyediaan kain kafan isteri adalah menjadi tanggungjawab suami berdasarkan hujjah yang kami katakan di atas.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 14 Ogos 2023 bersamaan 28 Muharram 1445 H