#2606: Hikmah Pensyariatan Hukuman Potong Tangan Ke Atas Pencuri

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah hikmah potong tangan bagi pencuri sepertimana yang telah disyariatkan?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

(Surah al-Maidah:38)

Abu Bakar al-Jazairi ketika menafsirkan ayat di atas beliau menyatakan: sesiapa yang mencuri harta lebih daripada seperempat dinar atau lebih daripada itu dari harta simpanan yang disimpan, dan dia adalah seorang yang baligh dan berakal, maka dia akan dihadapkan kepada hakim. Yang demikian juga bagi pencuri wanita, maka hukumnya adalah dipotong tangan kanan pencuri itu dari pergelangan tangan, begitu juga dengan tangan pencuri wanita. Hukuman tersebut sebagai balasan atas kezaliman yang telah dilakukan kerana mencuri harta orang lain secara haram. Ini merupakan pembalasan dari Allah SWT bagi mereka dan menjadikan mereka sebagai iktibar agar orang lain tidak mencuri harta orang lain melalui jalan pencurian yang diharamkan. (Lihat Aisar al-tafasir,1/629)

Diriwayatkan daripada  Abu Hurairah R.A, sabda Baginda SAW:

إِذَا سَرَقَ السَّارِقُ فَاقْطَعُوا يَدَهُ، وَإِنْ عَادَ فَاقْطَعُوا رِجْلَهُ، فَإِنْ عَادَ فَاقْطَعُوا يَدَهُ، فَإِنْ عَادَ فَاقْطَعُوا رِجْلَهُ

Maksudnya: “Apabila seorang pencuri mencuri, maka potonglah tangannya. Jika ia mencuri lagi maka potonglah kakinya. Jika ia mencuri lagi, maka potonglah tangannya dan jika ia mencuri lagi maka potonglah kakinya.

Riwayat al-Daraqutni dalam al-Sunan (3392)

Dalil- dalil di atas menunjukkan bahawa hukuman bagi pencuri lelaki ataupun perempuan adalah dipotong tangan. Ia sebagai balasan dari perbuatan mengambil hak orang lain secara batil dan bertujuan memberi pengajaran kepada orang lain supaya tidak melakukan perbuatan haram seperti itu.

Menjawab bagi persoalan di atas, kami katakan mencuri merupakan perbuatan yang ditegah oleh syara’ dan syara’ telah menetapkan hukuman yang berat bagi pencuri lelaki ataupun perempuan. Terdapat banyak larangan dalam al-quran mahupun hadith nabi tentang  mengambil harta orang lain secara batil antaranya ialah  firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah,

(Surah al-Baqarah:188)

Selain itu, Nabi SAW turut bersabda melalui hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah:

كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ، دَمُهُ، وَمَالُهُ، وَعِرْضُهُ

Maksudnya: “Hak setiap muslim ke atas muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) maruahnya, hartanya dan darahnya.”

Riwayat Muslim (2564)

Hadith ini menunjukkan kewajipan seseorang muslim terhadap saudaranya yang lain, iaitu haram ke atasnya untuk menumpahkan darah saudara muslim yang lain dan mencerobohi hartanya seperti mencuri atau merompak atau menipu dalam urusan jual beli. (Lihat al-Adab al-Nabawi, 1/137)

Antara hikmah pensyariatan hukuman hudud bagi pencuri seperti memotong tangan adalah sebagaimana berikut:

  •       Menjaga kemaslahatan umum
  •       Sebagai pengajaran bagi sesiapa yang berniat untuk mencuri harta orang lain
  •       Membersihkan pencuri dari dosa yang telah dilakukan
  •       Menegakkan keamanan dan ketenangan dalam masyarakat serta melindungi harta. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah,3/235)

Telah dinyatakan dalam Mausu’ah al-Ijma’ bahawa: Salah satu tujuan Syariah Islam adalah menjaga harta yang telah Allah jadikan amanah di tangan manusia untuk digunakan dalam ketaatan kepada-Nya dan bagi tujuan mengimarahkan bumiNya  yang dijadikan sebagai tempat untuk menegakkan syariatnya. Oleh kerana itu, Allah menggalakkan  perdagangan secara halal dan mengharamkan segala bentuk keuntungan yang haram  seperti penindasan, kezaliman, dan riba. Yang paling buruk dan paling keji di antara hal tersebut adalah pencurian, kerana itu merupakan perbuatan keji yang mengakibatkan  keamanan terganggu  serta menimbulkan ketakutan di hati orang ramai. Maka Allah menetapkan hukuman bagi  pencuri  yang memenuhi syarat-syarat yang boleh dijatuhkan  hukuman ke atasnya dengan memutuskan tangan kanannya. (Lihat Mausu’ah al-Ijma’ fi Fiqh al-Islami,10/36)

Justeru kami katakan sebagai seorang muslim hendaklah menjauhi perbuatan mencuri kerana perkara tersebut ditegah oleh syara’ dan hukumannya amatlah berat kerana memakan harta orang lain dengan cara yang batil.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan syariatnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 14 Ogos 2023 bersamaan 28 Muharram 1445 H