#2609: Talak Yang Diwakilkan Kepada Seseorang

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, adakah dibolehkan untuk mewakilkan seseorang untuk melafazkan talak dan adakah sah talak yang diwakilkan  tersebut ? Terima Kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ

Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”

Surah al-Baqarah (229)

Ayat ini  bersifat umum tanpa membezakan talak secara langsung   (التنجيز)  mahupun  tidak langsung tergantung (التعليق ). Oleh itu, suami berhak menjatuhkan talak ke atas isterinya sebagaimana yang dikehendaki sama ada segera atau disandarkan pada masa akan datang (ta’liq) sama ada bentuk sumpah dan sebagainya.( Lihat : al-Fiqh al-Islami Wa Adilatuhu (7/447)

Secara umumnya, talak itu hukumnya halal iaitu dibolehkan untuk melakukannya, namun perbuatan itu dianggap makruh. Ini bermakna syariat mengizinkan talak, namun barang siapa yang meninggalkan atau berusaha menjauhi perkara yang makruh akan mendapat pahala. Sabda Nabi Muhammad SAW :

أَبْغَضُ الْحَلاَلِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى الطَّلاَقُ

Maksudnya: Perkara halal yang amat dibenci oleh Allah ialah talak.”

Riwayat Abu Daud (2178), Ibn Majah (2018), al-Hakim (2/197) 

Menjawab bagi persoalan di atas, kami katakan dibolehkan bagi suami mewakilkan orang lain untuk mentalakkan isterinya. Yang demikian juga merupakan kesepakatan ulama dari Mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’ie  dan Hanbali.

Contoh lafaz talak secara wakil adalah seperti suami mewakilkan seorang untuk menjatuhkan talak kepada isterinya dengan berkata: Aku wakilkan engkau untuk menjatuhkan talak ke atas isteriku. Apabila wakil telah menerima akad wakalah tersebut kemudian dia berkata kepada isteri kepada orang yang telah mewakilkannya : Kamu telah jatuh talak maka terjatuhlah talak tersebut.

Imam al-Nawawi menyatakan dalam kitabnya Minhaj : Sah perwakilan kedua-dua pihak dalam berjual beli, memberi dan menerima hadiah, tempahan, pajak gadai, nikah, talak, fasakh, mengutip hutang dan setiap perkara yang melibatkan akad. (Lihat Minhaj al-Tolibin, hlm.134)

Al-Buhuti juga menyatakan: Sekiranya suami mewakilkan isterinya untuk melafazkan talak  maka perwakilan tersebut adalah sah seperti dia menjatuhkan talak ke atas dirinya mewakili suaminya. Yang demikian kerana sahnya mewakilakan isteri untuk menjatuhkan talak ke atas isteri yang lain begitu juga ke atas dirinya. Sekiranya seseorang mewakilkan seseorang untuk menjatuhkan talak ke atas isterinya dengan lafaz umum maka bagi wakil tidak boleh melafazkannya melainkan dengan talak satu kerana suruhan yang bersifat umum itu meliputi yang paling sedikit kecuali orang yang mewakilkan itu mewakilkannya lebih dari satu. (Lihat Kasyaf al-Qina’ 12/194)

Ibnu al-Muflih menyebutkan bahawa: Keharusan mewakilkan seseorang untuk melakukan akad nikah menunjukkan keharusan juga baginya untuk mewakilkan dan membubarkan perkahwinan.(Lihat al-Mubdi’, 4/237)

Justeru dalam isu ini kami katakan, seseorang itu boleh untuk mewakilkan seseorang untuk melafazkan talak kepada isterinya kerana  perbuatan wakil itu sama seperti perbuatan orang yang mewakilkannya. Oleh yang demikian, talak yang diwakilkan kepada seseorang itu adalah dikira jatuh dan sah.

Suka juga untuk kami nasihati supaya jangan mengambil ringan tentang talak kerana nabi Muhammad SAW ada berpesan dalam sabdanya:

ثَلَاثٌ جَدُّهنَّ جَدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جَدٌّ: النِكَاحُ، وَالطَلَاقُ، وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: “Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya juga dianggap bersungguh-sungguh: nikah, cerai, rujuk semula.”

Riwayat Abu Daud (2194)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa

(Surah al-Furqan:74)

Bertarikh: 14 Ogos 2023 bersamaan 28 Muharram 1445 H