Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah saya dapatkan sedikit pencerahan, mengapa Allah SWT mengangkat darjat seorang suami melebihi isteri? Bukankah Islam datang untuk memberikan keadilan kepada lelaki dan wanita?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Adil menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat didefinisikan sebagai meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul.
Keadilan merupakan salah satu nilai yang sangat besar dalam Islam, yang diperintahkan oleh Allah SWT untuk kita berpegang teguh dengan nilai tersebut dan diamalkan. Di dalam Al-Quran, terdapat banyak ayat yang mendorong umat Islam untuk berlaku adil. Antaranya sepertimana firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya.”
(Surah al-Nahl: 90)
Antara bentuk keadilan itu sendiri adalah Allah SWT mengangkat darjat seorang suami kerana banyaknya tanggungjawab yang harus dipikul olehnya. Kesemua perkara ini adalah keistimewaan yang syara‘ sendiri telah tetapkan kerana lelaki mempunyai keupayaan fizikal dan mental yang berbeza dengan kaum wanita. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT:
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ ۚ فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللَّهُ ۚ
Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang wanita, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”
(Surah al-Nisa’: 34)
Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, lelaki adalah penjaga bagi wanita. Dia adalah penyelia, ketuanya, pemimpin, dan orang yang membetulkannya jikalau dia menyimpang. Hal ini kerana lelaki lebih utama daripada wanita, dan lelaki lebih baik (keputusannya) daripada perempuan; dan oleh kerana itu, kenabian dikhususkan kepada lelaki dan begitu juga pemerintahan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/256)
Ini sebagaimana diriwayatkan daripada Abdul Rahman bin Abi Bakrah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
لَنْ يُفْلِحَ قَوْمٌ ولَّوْا أمْرَهُمُ امْرَأَةً
Maksudnya: “Tidak berbahagia sesuatu kaum yang melantik seorang wanita untuk mengetuai urusan mereka.”
Riwayat al-Bukhari (4425)
Imam al-Baidhawi mengatakan, para lelaki mempunyai tanggungjawab ke atas para wanita seperti mana tanggungjawab pemimpin terhadap rakyat. (Lihat Anwar al-Tanzil, 2/72)
Ibn al-Jauzi pula menyebutkan bahawa, lelaki memiliki keutamaan ke atas wanita dan kelebihan dari segi kemampuan berfikir, pembahagian hak dalam pewarisan, rampasan perang, solat Jumaat, solat berjemaah, kepemimpinan, pemerintahan, jihad, serta diberikan kuasa talak, dan hal-hal lainnya. (Lihat Zad al-Masir, 1/401)
Akan tetapi, tidaklah ketinggian darjat ini diberikan secara semberono tanpa apa-apa tanggungjawab yang perlu dipikul. Bahkan darjat ini adalah darjat tanggungjawab sebelum menjadi darjat kehormatan, ia disertakan dengan tanggungjawab besar untuk menguruskan keluarga. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌ ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Maksudnya: “Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajiban yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syara‘); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas wanita (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
(Surah al-Baqarah: 228)
Oleh itu, ketinggian darjat yang disebutkan ini bukanlah bermakna suami itu lebih mulia di sisi Allah SWT berbanding isteri, dan bukan juga bermakna dia mempunyai status yang tinggi atau dia dianggap makhluk yang lebih baik. Bahkan ketaqwaan dan keimanan seseorang itu yang menentukan siap yang lebih baik di sisi Allah SWT. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ
Maksudnya: “ Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).”
(Surah al-Hujurat: 13)
Kesimpulan
Kesimpulannya, sebagai seorang ketua keluarga, suami mempunyai kewajiban untuk berlaku adil terhadap isteri dan ahli keluarganya, oleh yang demikian Allah SWT meninggikan martabatnya. Kegagalan menggalas tanggungjawab tersebut boleh memberikan kesan yang besar dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Maka tidaklah diangkat darjat seorang suami itu melainkan ianya bersesuaian dengan tanggungjawab besar yang perlu dipikul. Inilah definisi keadilan yang sebenar, iaitu meletakkan sesuatu itu sesuai pada tempatnya.
Akan tetapi, perlu diingati bahawa ketinggian darjat ini bukanlah tiket untuk seorang suami menzalimi isterinya atau memperlakukannya sesuka hati. Maka kami menasihatkan sepertimana yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah dan Abdullah bin ‘Umar R.Anhum, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
اتَّقُوا الظُّلْمَ، فإنّ الظُّلْمَ ظُلُماتٌ يَومَ القِيامَةِ
Maksudnya: “Elakkan daripada penindasan kerana penindasan akan menyebabkan kegelapan yang amat pada hari kiamat.”
Riwayat Muslim (2578)
Semoga dengan sedikit pencerahan ini, kita akan lebih menghargai pasangan kita yang pastinya mempunyai tanggungjawab masing-masing, serta saling hormat menghormati dan menghargai antara satu sama lain.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
(Surah al-Furqan:74)
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 14 Ogos 2023 bersamaan 28 Muharram 1445 H