#2614: Maksud Hal

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah yang dikatakan atau dimaksudkan dengan hal?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ ۚ وَذَٰلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ

Maksudnya: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Ugama yang benar.

Surah al-Bayyinah (5)

Hal pada pengertian tasawuf ialah sesuatu keadaan yang lahir pada hati tanpa diusahakan dan disengajakan seperti rasa sedih, sukacita qabad, basat dan sebagainya.

Ibn Khaldun berkata:

“Para murid yang sedang melalui proses mujahadah dan ibadah khususnya, mereka akan berhasil memiliki ‘ahwal yang tertentu. Hal daripada Ahwal yang sedemikian sama ada ia terjadi dalam bentuk ibadah yang mantap, berkekalan hingga mencapai ke tahap ‘maqam, atau jika ‘Hal’ daripada ‘Ahwal’ itu tidak lahir dalam bentuk ibadah, mungkin ia akan lahir sebagai sifat pada jiwa, maka lahirlah rasa dukacita atau gembira, cergas atau sebagainya.” (Lihat Soal Jawab A-Z Tentang Tasawuf, hlm. 64)

Kami kemukakan di sini beberapa takrif hal antaranya:

  • Imam al-Junaid rahimahullah berkata, “Hal ialah sesuatu yang turun kepada hati-hati dan dia bukan bersifat kekal.”
  • al-Qashani pula berkata, “Hal ialah yang datang kepada hati semata-mata kurniaan tanpa sebarang usaha seperti dukacita, takut, sukacita, perasaan rindu yang boleh hilang dengan zahirnya sifat nafsu.”
  • Al-Jurjani berkata, “Hal pada bahasa ialah kesudahan yang lalu dan permulaan yang akan datang. Hal di sisi ahli haq makna yang datang pada hati tanpa sebarang buat-buat.”
  • al-Sahrawardi berkata, “Hal dinamakan hal kerana dia berubah-ubah.”

Dengan sebab itu kami katakan, apabila seseorang hamba mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan amalan yang soleh di samping makrifah dengan keimanan yang sebenar maka halnya boleh jadi akan naik dengan tinggi. Kadang-kadang para sahabah R.Anhum merasa dekat dengan Allah SWT apabila mereka dapat beramal dan merasakan kebesaran-Nya. Ketika itu halnya meningkat dengan rasa takut di samping gembira dan sukacita.

Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita ketaqwaan dan kebaikan dalam hidup. Amin. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Bertarikh: 14 Ogos 2023 bersamaan 28 Muharram 1445 H