Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Sebagaimana yang kita tahu, kebanyakan filem memerlukan para pelakon untuk bersentuhan sesama ajnabi dan mendedahkan aurat mereka. Apakah hukum seseorang yang tidak mahu menyokong filem sebegitu tapi dia mahu mengambil manfaat daripada filem tersebut (pengajaran, informasi dan sejarah), lalu dia menontonnya secara cetak rompak?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”
(Surah al-Baqarah: 188)
Ayat di atas boleh difahami bahawa, janganlah sebahagian daripada kamu memakan (mengambil) harta sebahagian yang lain dengan cara yang batil seperti sumpah yang dusta, merampas, mencuri, rasuah, riba dan lain-lain. Selain itu, janganlah kamu menyampaikan hujah-hujah yang batil kepada hakim bagi tujuan memakan harta segolongan manusia dengan cara yang salah sedangkan kamu tahu perkara itu adalah haram ke atas kamu (melakukannya). (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 29)
Berkenaan isu cetak rompak, kami telah jawab di dalam artikel berikut:
#2010: Menonton Filem Cetak Rompak[1]
#2043: Menonton Filem Cetak Rompak Bagi Orang Bukan Islam[2]
Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan tidak menjadi masalah untuk menonton filem-filem sebegitu untuk mendapatkan informasi, namun mestilah secara lazimnya ia bukan filem yang berunsur seks dan mendatangkan syahwat. Manakala dalam hal menonton filem cetak rompak, kami nyatakan hukum menonton filem yang mempunyai hak cipta secara cetak rompak adalah haram. Hal ini kerana ia merupakan hak cipta orang lain dan boleh disabitkan di bawah Seksyen 41 (3) Akta Hak Cipta 1987 yang mana jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun,” Namun, jika sekiranya pemilik filem berkenaan membenarkannya bagi tujuan promosi dan seumpamanya, maka hukumnya adalah dibolehkan.
Kami nasihatkan kepada khalayak masyarakat dan diri kami agar memilih filem-filem yang baik untuk ditonton. Inilah sebaik-baiknya dan sepatutnya. Mengambil iktibar dan inspirasi daripada filem yang baik juga memberi kesan yang baik dalam kehidupan kita
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
[1] https://maktabahalbakri.com/2010-menonton-filem-cetak-rompak/
[2] https://maktabahalbakri.com/2044-menonton-filem-cetak-rompak-bagi-orang-bukan-islam/
Bertarikh: 14 Ogos 2023 bersamaan 28 Muharram 1445 H