#2619: Solat Jamak Kerana Mesyuarat Syarikat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada pertanyaan berhubung dengan solat jamak’ qasar. Saya telah menghadiri beberapa siri mesyuarat dan rundingan mewakili organisasi saya di luar negara di mana kadang-kala sesi mesyuarat / rundingan ini mengambil masa lebih daripada seminggu. Hal ini tidak membolehkan saya untuk jama’ dan qasar solat di mana saya telah dikira bermukim. Terjadinya permasalahan apabila sesi mesyuarat itu melangkaui 2 waktu solat dan saya tidak boleh meninggalkan mesyuarat kerana menjadi satu-satunya wakil organisasi di dalam mesyuarat tersebut dan boleh menyebabkan beberapa perkara penting tidak dapat disampaikan di dalam mesyuarat dan juga terlepas beberapa perkara utama yang mampu menjejaskan kepentingan organisasi saya. Hal yang sama terjadi pada hari Jumaat di mana mesyuarat turut diadakan ketika waktu tersebut. adakah saya boleh untuk meneruskan solat jama’ untuk waktu tertentu sahaja disebabkan permasalahan ini? sebagai contoh hanya jama’ solat zuhur dan asar sahaja berikutan mesyuarat diadakan pada waktu tersebut dan magrib dan isyak solat seperti biasa.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pada asasnya, solat secara jamak mahupun secara qasar termasuk dalam bentuk rukhsah atau kemudahan yang diberikan kepada orang yang bermusafir ketika bersolat. Justeru, dia boleh melakukan solat yang 4 rakaat, iaitu Zuhur, Asar dan Isyak dengan 2 rakaat sahaja. Begitu juga dia boleh menghimpunkan (secara jamak) dua solat ketika menunaikannya iaitu antara solat Zuhur dan Asar dan antara solat Maghrib dan Isyak. Di antara dalil disyariatkan qasar ialah firman Allah SWT:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang.

(Surah al-Nisa’: 101)

Berkenaan jamak dan qasar ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#1640: Hari Apa Boleh Jamak Jika Musafir Dua Minggu?[1]

#1704: Jamak Qasar bagi Orang yang Musafir untuk Kursus Seminggu[2]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan jika seseorang telah berazam untuk tinggal di tempat yang dia akan pergi selama empat hari atau lebih, maka ia bermaksud dia telah bermukim di tempat itu. Maka, sebaik sahaja dia sampai di tempat tersebut, statusnya dikira sebagai orang bermukim dan bukan lagi bermusafir. Menurut pengarang al-Fiqh al-Manhaji, apabila berniat menetap selama empat hari (atau lebih), maka jadilah tempat yang dituju itu seolah-olah negerinya atau tempat tinggalnya yang tetap. Oleh itu dia tidak harus bersolat qasar lagi di situ dan haknya untuk bersolat qasar kekal semasa dalam perjalanan sahaja. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/186). Oleh itu, saudara wajib mendirikan solat secara sempurna seperti biasa.

Kami mengesyorkan sebagai seorang Islam yang peka kepada solat, maka bolehlah waktu seperti anda pergi ke tandas atau berehat sekejap untuk solat yang saya yakin boleh dilakukan dengan sebaik mungkin. Jika seseorang ingin mentaati Allah SWT sudah pasti ada jalannya.

Semoga kita semua termasuk dalam golongan yang mendirikan solat. Marilah sama-sama kita berdoa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

 

[1] https://maktabahalbakri.com/1640-hari-apa-boleh-jamak-jika-musafir-dua-minggu/

[2] https://maktabahalbakri.com/1707-jamak-qasar-bagi-orang-yang-musafir-untuk-kursus-seminggu/

Bertarikh: 14 Ogos 2023 bersamaan 28 Muharram 1445 H