#2621: Perkahwinan Yang Disembunyikan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, apakah hukum menyembunyikan perkahwinan dengan mengadakan majlis secara tertutup? Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أعِلنوا النكاحَ واضرِبوا عليه بالغِربالِ أي الدُّفَّ

Maksudnya: Umumkanlah perkahwinan dan pukullah rebana.”

Riwayat Ibnu Majah(1795)

Hadith ini menunjukkan perintah untuk mengumumkan perkahwinan dan juga suruhan untuk memukul rebana kerana dengan memukulnya pengunguman tersebut lebih sampai dengan syarat tidak diiringi dengan perkara-perkara yang diharamkan seperti nyanyian dengan suara yang kuat oleh perempuan dan  didengari oleh kebanyakan tetangga atau nyanyian yang mengandungi kata-kata yanng merangsangkan nafsu (Lihat Taudih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram,5/259)  

Syaikh Abdullah Bin Soleh al-Fauzan menyatakan: Hadith ini menunjukkan bahawa kewajipan mengumumkan perkahwinan. Yang demikian bagi bertujuan menzahirkan kegembiraan dan membezakan antara nikah secara terang terangan dan nikah secara rahsia. (Lihat Minhah al-Allam,7/219)

Begitu juga dengan hadith yang diriwayatkan daripada Ummu Salmah bahwa Rasulullah bersabda :

أظْهِرُوا النكاحَ، وأَخْفُوا الخِطْبَةَ.

Maksudnya: Zahirkan (iklankan) pernikahan dan sembunyikan pertunangan.”

Riwayat al-Imam al-Dailami di dalam Musnad al-Firdaus sebagaimana dalam al-Jami’ al-Saghir (1127).  Hadith ini dinilai Dhaif sebagaimana yang disebut oleh al-Suyuti dalam al-Jami’ al-Saghir (1122) dan juga pengarang Dha’if al-Jami’ (922)

Menjawab bagi persoalan di atas, kami katakan mengumumkan perkawinan merupakan perkara yang telah disyariatkan dan hukumnya adalah sunnah.  Ini juga merupakan pandangan dari kalangan mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’e dan Hanbali.

Al-Damiri dalam kitabnya al-Najmu al-Wahhaj menyatakan: Tidak disyaratkan di sisi kami mengumumkan perkahwinan bahkan hukumnya adalah sunnah iaitu dengan dihadiri oleh orang-orang yang soleh sebagai tambahan kepada saksi. (Lihat al-Najmu al-Wahhaj, 7/56)

Al-Buhuti dalam isu ini beliau menyatakan: “Disunatkan mengumumkan, iaitu menzahirkan perkahwinan, dan mengiringinya dengan alat muzik seperti pukulan rebana tanpa disertakan penyanyi wanita atau suara yang tinggi didengari darinya. (Lihat Kasyaf al-Qina’, 5/183)

Terdapat beberapa faedah dan manfaat dalam mengumumkan perkahwinan antaranya ialah seperti berikut:

  • Menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran  dengan mengumumka perkahwinan
  • Ia membezakan antara perkahwinan dan zina kerana zina berlaku secara rahsia dan tersembunyi maka dengan mengumumnya dapat membezakan antara zina yang haram dan nikah yang halal.
  • Menegaskan bahawa pernikahan merupakan fitrah yang disyariatkan oleh syara’ serta  Allah menjadikan perkahwinan ini sebagai suatu adat kebiasaan bagi makhluk.
  • Sebagai dorongan dan contoh kepada yang lain. Sekiranya diumumkan perkahwinan tersebut mereka akan mengikuti dan mencontohinya dengan bernikah juga.
  • Dengan mengumumkan perkahwinan, seseorang mungkin akan mengetahui tentang hubungan susuan  suami atau  isteri. Jika perkahwinan ini diumumkan dan jelas, maka kesalahan daripada perkahwinan yang lain dapat dielakkan. (Lihat Fath Zi al-Jalali Wa al-Ikram, 4/468)

Justeru kami katakan perkahwinan yang dilakukan secara sembunyi adalah menyalahi sunah Baginda SAW kerana Baginda memerintahkan kepada kita supaya  mengumumkan perkahwinan yang dilakukan sebagai menzahirkan kesyukuruan, kegembiraan serta mengelak dari timbulnya sebarang fitnah.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan marilah kita sama-sama melazimi doa: 

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan :74)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 14 Ogos 2023 bersamaan 28 Muharram 1445 H