#2623: Mengeluarkan Mani di Luar Rahim

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya sedang merancang keluarga dengan kaedah mengeluarkan air mani di luar rahim. Adakah perbuatan ini dibenarkan atau tidak?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Perbuatan mengeluarkan air mani diluar rahim ketika melakukan persetubuhan dinamakan ‘azl (العَزْلُ). Ia juga dikenali sebagai senggama terputus atau coitus interruptus. Ia merupakan salah satu alternatif untuk mengelakkan dari kehamilan atas sebab-sebab tertentu seperti menjarakkan umur anak, takutkan kemiskinan dan lain-lain. Hal ini telah berlaku sejak zaman Rasulullah SAW lagi.

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah R.A, katanya:

كُنَّا نَعْزِلُ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ ﷺ وَالْقُرْآنُ يَنْزِلُ

Maksudnya: “Kami melakukan ‘azl pada zaman Nabi SAW dan Al-Quran sedang turun.”

Riwayat al-Bukhari (5207) dan Muslim (1440)

Di dalam riwayat lain pula daripada Jabir bin Abdillah R.A, katanya:

 كُنَّا نَعْزِلُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ فَبَلَغَ ذَلِكَ نَبِيَّ اللَّهِ ﷺ فَلَمْ يَنْهَنَا

Maksudnya: “Kami selalu melakukan ‘azl ketika zaman Rasulullah SAW masih hidup dan Baginda mengetahuinya, tetapi Baginda tidak pernah menghalang kami melakukannya.”

Riwayat al-Bukhari (5207) dan Muslim (1440)

Dapat difahami daripada hadith Jabir bahawa mereka melakukan perkara tersebut pada zaman Rasulullah SAW masih hidup dan semasa al-Quran masih diturunkan, dan yang ingin dimaksudkan adalah perbuatan mereka tersebut tidak dilarang oleh syara‘.

Di dalam riwayat lain menyebutkan dengan jelas sebab mengapa sebahagian sahabat melakukan ‘azl ini. Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, katanya:

ذُكِرَ الْعَزْلُ عِنْدَ النَّبِيِّ ﷺ فَقَالَ:‏ وَمَا ذَاكُمْ‏.‏ قَالُوا الرَّجُلُ تَكُونُ لَهُ الْمَرْأَةُ تُرْضِعُ فَيُصِيبُ مِنْهَا وَيَكْرَهُ أَنْ تَحْمِلَ مِنْهُ وَالرَّجُلُ تَكُونُ لَهُ الأَمَةُ فَيُصِيبُ مِنْهَا وَيَكْرَهُ أَنْ تَحْمِلَ مِنْهُ.‏ قَالَ: فَلاَ عَلَيْكُمْ أَنْ لاَ تَفْعَلُوا ذَاكُمْ فَإِنَّمَا هُوَ الْقَدَرُ

Maksudnya: “Telah diceritakan kepada Nabi SAW tentang ‘azl, lalu Baginda bertanya: ‘Mengapa buat begitu?’ Sahabat berkata: ‘Ada lelaki yang mempunyai isteri yang masih menyususkan anak, maka dia tidak suka jika isterinya mengandung dengan melepaskan air mani dalam rahim. Dan ada lelaki yang mempunyai hamba perempuan, maka dia tidak mahu perbuatannya menyebabkan hamba tersebut mengandung’ Lalu Baginda bersabda: ‘Apa yang baik atas kamu agar kamu tidak melakukannya, sesungguhnya ia (kehamilan) berdasarkan taqdir’.”

Riwayat al-Bukhari (2542) dan Muslim (1438)

Ibn Hajar al-‘Asqalani mengatakan, terdapat isyarat bahawa ada dua sebab dilakukan ‘azl pada zaman tersebut. Pertama, kerana tidak mahukan kelahiran anak dari hamba perempuan, baik kerana atas keinginan sendiri atau agar tidak susah untuk menjual hamba tersebut jika ia memiliki anak. Kedua, kerana tidak mahukan wanita yang sedang menyusui anak mengandung lagi, kerana perkara itu dapat membahayakan kesihatan anak yang menyusu. (Lihat Fath al-Bari, 9/307)

Meskipun ia pernah dilakukan oleh sahabat semasa hayat Rasulullah SAW, tidak bermakna ia merupakan amalan yang digalakkan atau diterima baik oleh Baginda SAW. Ini berdasarkan riwayat lain daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَا عَلَيْكُمْ أَنْ لاَ تَفْعَلُوا، فَإِنَّ اللَّهَ قَدْ كَتَبَ مَنْ هُوَ خَالِقٌ إِلَى يَوْمِ القِيَامَةِ

Maksudnya: “Apa yang baik atas kamu agar kamu tidak melakukannya, kerana Allah telah menulis siapakah yang menjadi Pencipta (bagi setiap sesuatu) sehingga Hari Kiamat.”

Dan Abu Sa‘id juga berkata:

لَيْسَتْ نَفْسٌ مَخْلُوقَةٌ إِلَّا اللَّهُ خَالِقُهَا

Maksudnya: “Tiada suatu nyawa pun yang diciptakan melainkan Allahlah Penciptanya.”

Riwayat al-Bukhari (7809)

Diriwayatkan juga daripada Sa‘id al-Khudri R.A bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ كُلِّ الْمَاءِ يَكُونُ الْوَلَدُ، وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ خَلْقَ شَيْءٍ لَمْ يَمْنَعْهُ شَيْءٌ

Maksudnya: “Tidak semua air mani itu diperlukan untuk menjadi seorang bayi.  Dan apabila Allah ingin  menciptakan sesuatu, tiada apa yang dapat menghalang-Nya.”

Riwayat Muslim (1438)

Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, Rasulullah SAW tidak melarang secara jelas perbuatan ‘azl itu, akan tetapi Baginda SAW memberi isyarat bahawa sebaiknya perbuatan tersebut ditinggalkan kerana ianya tidak mendatangkan apa-apa faedah. Allah SWT Maha berkuasa menciptakan anak tersebut. (Lihat Fath al-Bari, 9/307)

Berdasarkan dalil-dalil yang kami bawakan, dapat disimpulkan bahawa hukum mengeluarkan air mani di luar rahim ini adalah dibolehkan, akan tetapi ia seharusnya disertai dengan alasan yang munasabah dn tidak bertentangan dengan hukum syara‘.

Imam al-Ghazali juga menyebutkan bahawa hukumnya harus atas faktor ekonomi, kesihatan isteri, dan kecantikan isteri bagi tujuan kasih sayang berpanjangan antara pasangan untuk mengelakkan penceraian. Adapun faktor yang tidak boleh diterima dan berdosa seperti takut untuk mendapat anak perempuan adalah diharamkan. (Lihat Ihya’ Ulum al-Din, 2/52)

Persidangan Majma’ al-Fiqh al-Islami di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Kuwait pada 1-6 Jumadil Akhir 1409 H bersamaan 15 Disember 1988 M telah memutuskan bahawa ‘azl dibolehkan untuk mengawal secara sementara kemampuan reproduksi dengan tujuan menjarakkan antara tempoh-tempoh kehamilan, atau menghentikan bagi tempoh tertentu, jika terdapat keperluan yang diambil kira oleh syara‘, berdasarkan persetujuan dan keredaan daripada perbincangan antara kedua pasangan yang sah, dengan syarat kaedah kawalan untuk tidak mendatangkan mudharat, berdasarkan kaedah yang tepat dengan syariat, dan tidak menzalimi kandungan yang sedia ada. (Lihat Majallah al-Majma’ Siri 4, 1/73)

Kesimpulan

Perbuatan mengeluarkan air mani di luar rahim ini adalah dibolehkan jika mempunyai sebab-sebab yang kuat dan mencapai salah satu dari maqasid syariah yang lima; menjaga agama, menjaga nyawa, menjaga akal, menjaga keturunan, dan menjaga harta. 

Akan tetapi jika perbuatan tersebut dilakukan kerana takut jatuh miskin atau disempitkan rezeki, maka ini bertentangan dengan kehendak syara‘ kerana menyerupai amalan Jahiliyyah yang membunuh anak-anak mereka kerana takut miskin. Sedangkan Allah SWT telah berfirman:

وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلَاقٍ ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُمْ ۚ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kemiskinan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu.”

(Surah al-Isra’: 31)

Dan juga firman Allah SWT:

وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُم مِّنْ إِمْلَاقٍ ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ ۖ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kemiskinan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka.”

(Surah al-An‘am: 151)

Ketahuilah bahawa rezeki itu milik Allah SWT, dan perancangan keluarga kerana takutkan kemiskinan merupakan salah satu bentuk berburuk sangka kepada Allah SWT. Maka yang sepatutnya bagi seseorang mu’min itu bertawakal kepada Allah kerana Dia lah sebaik-baik pemberi rezeki kepada sesiapa sahaja yang diingini. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

قُلْ إِنَّ رَبِّي يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَن يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ وَيَقْدِرُ لَهُ ۚ وَمَا أَنفَقْتُم مِّن شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ ۖ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ 

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hamba-Nya, dan Ia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik Pemberi rezeki’.”

(Surah Saba’: 39)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 15 Ogos 2023 bersamaan 29 Muharram 1445 H