Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya terkeliru, mana yang lebih afdhal antara ibadat yang kita lakukan secara sembunyi atau secara terang-terangan?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Dalam menjawab persoalan ini, kami katakan ibadat secara terang-terangan jika merupakan perintah seperti solat Jumaat, solat berjemaah, menunaikan ibadat haji, azan, iqamah, dan beberapa jenis ibadat yang lain adalah afdhal dilakukan secara terang-terangan kerana ia merupakan syiar yang disyariaatkan oleh Allah SWT.
Begitu juga, jika di sana mempunyai maksud yang lain seperti sedekah secara berterang-terangan untuk menggalakkan khalayak masyarakat juga bersedekah maka ketika itu, sedekah secara terang-terangan adalah lebih afhdal kerana ia telah menunjukkan sunnah yang baik.
Sebaliknya, jika sedekah itu tidak ada yang lain maka secara sembunyi adalah lebih afdhal. Samalah juga seperti solat witir yang dianggap seafdhal solat-solat sunat kerana ia dilakukan pada akhir malam dan ketika itu lebih tersembunyi kerana ramai orang tidur dan biasanya dilakukan di dalam bilik atau di rumah masing-masing.
Maka, makin jauh dan larut malam solat witir itu lebih afdhal. Inilah hujah bagi mereka yang menyatakan ibadat secara sembunyi jauh lebih afdhal daripada ibadat secara terang-terangan. Semoga Allah SWT jadikan kita melakukan ibadat semata-mata kerana-Nya dengan penuh keikhlasan. Amin. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”
Bertarikh: 15 Ogos 2023 bersamaan 29 Muharram 1445 H