Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh tafsirkan kami surah al-Naml ayat 35?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Ayat-ayat berkenaan kisah oleh ratu negeri Saba ini bermula dengan penjelasan yang diberikan olehnya yang mana beliau disebut sebagai Ratu Balqis, di hadapan pembesar-pembesar kaumnya tentang situasi yang mereka sedang hadapi melalui kemunculan surat Nabi Sulaiman A.S. Tindakan untuk memahami situasi merupakan langkah pertama untuk penyelesaian masalah. Maka mesyuarat pun diadakan oleh ratu negeri Saba’ bersama dengan pembesar-pembesar negeri untuk mengambil tindakan yang sepatutnya terhadap situasi yang mereka sedang hadapi. Ia ditunjukkan bagaimana ratu tersebut menimbang pandangan para pembesar dan membaca risiko yang bakal dihadapi oleh seluruh negeri jika berlaku peperangan. Ratu Balqis ingin menggunakan cara diplomasi untuk menyelesaikan masalah. Dalam masa yang sama beliau berminat untuk memastikan; adakah pihak yang menghantar surat tersebut benar-benar seorang nabi atau hanya seorang raja yang mahukan habuan dunia. (Lihat al-Tafsir al-Maudhu‘i li Suwar al-Quran al-Karim, 6/451)
Justeru, beliau bercadang memberikan hadiah kepada Nabi Sulaiman A.S untuk tujuan tersebut. Ternyata, ayat-ayat seterusnya menunjukkan kehebatan kerajaan Nabi Sulaiman A.S dan ketegasan dalam menyampaikan dakwah tauhid, dengan jawapan bahawa hadiah tersebut tiada tandingan berbanding kurniaan Allah SWT kepadanya berupa pemerintahan dan kenabian. Kelebihan ini ternyata lebih baik berbanding hadiah yang dipersembahkan kepadanya. Nabi Sulaiman A.S menunjukkan mukjizat seperti mengalihkan singgahsana, mengubah reka bentuknya dan istana kaca yang menakjubkan bagi membuktikan kerasulannya. Ini juga mengukuhkan apa yang dinyatakan dalam ayat 36 Surah al-Naml tentang keluasan dan kehebatan kerajaannya. Peranan manusia dan jin dalam kerajaan Nabi Sulaiman A.S juga diberikan perhatian untuk menunjukkan kemajuan kerajaan yang berasaskan tauhid. Pendapat yang paling masyhur, lelaki yang disifatkan sebagai memiliki ilmu daripada kitab (hikmah) adalah salah seorang daripada penolong kanan Nabi Sulaiman A.S atau dalam pada hari ini disebut sebagai menteri. Walau bagaimanapun sebahagian ahli tafsir mengatakan lelaki tersebut adalah Nabi Sulaiman A.S sendiri dan ucapannya itu adalah ditujukan kepada jin Ifrit dengan tujuan untuk merendahkan kemampuannya. (Lihat al-Muharrar al-Wajiz oleh Ibn ‘Atiyah, 4/261)
Ratu negeri Saba’ menjawab soalan yang diajukan oleh Nabi Sulaiman A.S dengan pintar dan bijaksana. Beliau faham tujuan Nabi Sulaiman A.S adalah untuk memperlihatkan bukti kerasulannya melalui mukjizat. Beliau menyatakan sebenarnya dirinya bersama kaumnya telah lama mengetahui kebenaran Nabi Sulaiman A.S melalui beberapa tanda seperti perutusan burung Hudhud, surat Nabi Sulaiman A.S dan reaksi Baginda terhadap hadiah yang dipersembahkan. Justeru, mereka telah pun beriman kepada Nabi Sulaiman A.S sebelum datang mengadapnya. (Lihat al-Tafsir al-Wasit, 10/328; Majma’ al-Buhuth al-Islamiyah bi al-Azhar, 7/1687)
Hujung ayat 42 merupakan sebahagian daripada ucapan ratu negeri Saba’, menurut sebahagian ahli tafsir. Sebahagian ahli tafsir berpendapat penghujung ayat 42 adalah sebahagian daripada ucapan Nabi Sulaiman A.S. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 19/273; al-Tafsir al-Mawdu’i li Suwar al-Quran al-Karim, 6/454)
Antara faktor yang menyebabkan ratu negeri Saba’ tidak beriman kepada Allah SWT sebelum sampai kepadanya dakwah Nabi Sulaiman A.S. walaupun memiliki kepintaran akal, ialah beliau membesar dalam suasana dan masyarakat yang menyekutukan Allah SWT. (Lihat Jami` al-Bayan, 19/472)
Ayat terakhir menceritakan bagaimana ratu negeri Saba’ akhirnya menyatakan keislamannya di hadapan Nabi Sulaiman A.S setelah terpersona dengan kehebatan kerajaan yang tidak mungkin diberikan kepada manusia biasa melainkan kepada rasul yang terpilih daripada Tuhan sekalian. Beliau menyedari kesilapan melakukan syirik dan mengisytiharkan diri termasuk dalam kalangan orang-orang yang berserah diri kepada Allah SWT. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 13/213)
Firman Allah SWT:
وَإِنِّي مُرْسِلَةٌ إِلَيْهِم بِهَدِيَّةٍ فَنَاظِرَةٌ بِمَ يَرْجِعُ الْمُرْسَلُونَ
Maksudnya: “Dan bahawa aku hendak menghantarkan hadiah kepada mereka, kemudian aku akan menunggu, apakah balasan yang akan dibawa balik oleh utusan-utusan kita.”
(Surah al-Naml: 35)
Dr Abdul Aziz al-Tarifi berkata, “Sebahagian kejahatan bermula oleh orang-orang yang merosakkan di muka bumi (al-mufsidun) dengan perkara yang kecil sebagai cara untuk melembut dan menambat hati orang-orang yang ingin berbuat kebaikan atau dikenali sebagai al-muslihin. Dan ia merupakan mukaddimah untuk target selepasnya.”
Dalam ayat di atas, jelas menunjukkan permulaan semata-mata memberi hadiah, tujuannya untuk melihat adakah Nabi Sulaiman AS termakan dengan hadiah tersebut. Sebaliknya, Nabi Sulaiman AS dengan tegas tidak tergoda dengan hadiah tersebut tetapi mengambil tindakan yang amat tegas sehingga akhirnya Balqis tunduk dan patuh serta beriman sebagaimana Nabi Sulaiman AS.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”
Bertarikh: 15 Ogos 2023 bersamaan 29 Muharram 1445 H