#2631: Mafhum Fitnah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan kepada kami hakikat dan mafhum fitnah yang sebenarnya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَّا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنكُمْ خَاصَّةً ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya: “Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya.

(Surah al-Anfal: 25)

Betapa hebatnya fitnah sehingga Rasulullah SAW mengajar kita untuk berdoa dan berlindung dengan Allah SWT agar selamat daripada fitnah:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

Riwayat al-Bukhari (1377) dan Muslim (1352)

Imam al-Nawawi menyebut: Hadith ini menunjukkan thabitnya azab kubur dan fitnahnya. Inilah mazhab yang benar berbanding dengan pegangan mazhab Muktazilah. (Lihat Syarh Sahih Muslim, 5/85)

Al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan: Para ahli bahasa berkata bahawa ‘fitnah’ ialah ujian dan cubaan. Al-Qadhi ‘Iyadh berkata: “Dalam kehidupan seharian, perkataan tersebut digunakan untuk sesuatu yang tidak disukai.” Perkataan ini boleh juga bermakna pembunuhan, naminah (adu domba) dan sebagainya. (Lihat Fath al-Bari, 4/682)

Al-Azhari menyebut: “Inti makna fitnah di dalam bahasa Arab terkumpul pada makna cubaan dan ujian.” (Lihat Tahzib al-Lughah, 14/296 dan Mu’jam Maqayis al-Lughah, 4/472)

Ibn al-Athir pula berkata: “(Perkataan fitnah) banyak penggunaannya dalam perkara yang tidak disukai. Kemudian ia banyak digunakan untuk makna-makna; dosa, kekafiran, perang, pembakaran, penghilangan dan memalingkan sesuatu.” (Lihat al-Nihayah, 3/410)

Ibn al-A’rabi telah meringkaskan makna-makna fitnah dengan menyebut:  “Fitnah bermakna ujian, fitnah bermakna cubaan, fitnah bermakna harta, fitnah bermakna anak-anak, fitnah bermakna kekafiran, fitnah bermakna perselisihan pendapat di antara manusia, fitnah bermakna pembakaran dengan api.” (Lihat Lisan al-’Arab, 13/317)

Dr Abdul Aziz al-Tarifi berkata, “Mafahim fitnah hari ini ditafsirkan mengikut iktibar apa yang musnah dan luput daripada dunia manusia bukan apa yang luput dan binasa dari agama mereka. Sedangkan Islam menafsirkan fitnah apa yang membawa kurang dalam agama bukan yang berkurangan pada dunia. Inilah mafhum dan tafsir sebenar fitnah.”

Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Bertarikh: 15 Ogos 2023 bersamaan 29 Muharram 1445 H