Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah pembebasan hutang orang yang sedang kesusahan oleh orang yang memberi hutang dapat dianggap sebagai zakat?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Dari segi bahasa, hutang ialah sebarang liabiliti (tanggungan) masa hadapan yang dipertanggungkan ke atas seseorang sama ada dalam bentuk wang atau sebagainya. Hukum mengibra’kan atau melepaskan dan menggugurkan hutang adalah termasuk dalam konsep al-sulh sepertimana yang dibincangkan oleh syarak. Dan hukumnya adalah dibenarkan dan dibolehkan. (Lihat al-Fiqh Manhaji, 6/147) Justeru, sekiranya pemberi hutang telah melepaskan tanggungjawab hutang daripada penerima hutang, maka penerima hutang tersebut dikira bebas dari melangsaikan hutang tersebut dan hutang tersebut telah dikira selesai. (Lihat Kitab al-Mu’tamad, 3/458 )
Manakala, zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang telah difardhukan oleh Allah SWT kepada umat Islam. Allah SWT mewajibkan umat Islam membayar zakat jika sekiranya cukup syarat-syaratnya yang diambil daripada golongan yang kaya dan diberikan kepada golongan yang miskin agar dapat menyucikan harta-harta mereka. Firman Allah SWT:
خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripad dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman buat mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
(Surah al-Taubah: 103)
Imam al-Mawardi berkata dalam tafsirnya bahawa yang dimaksudkan dengan kalimah ‘sadaqah’ ialah sedekah menurut kalam Ibn Zaid dan keduanya ia bermakna zakat, menurut kata-kata ‘Ikrimah. (Lihat Tafsir al-Mawardi, 2/398) Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili pula menyatakan di dalam kitabnya bahawa para fuqaha’ berpendapat sedekah yang dimaksudkan di dalam ayat di atas adalah zakat yang diwajibkan kepada seluruh umat manusia. (Lihat Tafsir al-Wasit, 1/913)
Selain itu, kewajiban zakat juga boleh dilihat melalui hadith ketika Rasulullah SAW ingin mengutuskan Saidina Mu’az Ibn Jabal RA ke Yaman untuk berdakwah, lalu Rasulullah SAW bersabda:
فأخْبِرْهُمْ أنَّ اللَّهَ قدْ فَرَضَ عليهم صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِن أغْنِيائِهِمْ فَتُرَدُّ على فُقَرائِهِمْ
Maksudnya: “Maka khabarkanlah kepada mereka bahawa sesungguhnya Allah SWT telah menfardhukan ke atas mereka zakat, yang diambil daripada orang-orang kaya dan diberikan kepada orang-orang fakir miskin dalam kalangan mereka.”
Riwayat al-Bukhari (1496)
Dalam menjawab persoalan di atas, Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebut: Zakat tidak dapat dilunaskan dengan cara menggugurkan hutang orang yang sedang kesusahan menurut lapan mazhab, kerana pengguguran adalah ibra’ (pembebasan) dan ibra’ bukanlah tamlik (pemberian hak milik), sedangkan zakat menuntut adanya tamlik kepada orang yang memerlukan dan niat pada saat membayarnya. Namun kedua hal ini tidak terdapat di dalam ibra’. Adapun cara yang dapat dilakukan adalah orang yang berhutang membayar hutangnya kepada pemberi hutang tanpa dirancangkan kelak pemberi hutang mengembalikan kepada yang berhutang dengan niat zakat. Maka ini dapat dianggap sebagai zakat. (Lihat Fatawa Mu’asirah oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili, hlm. 29)
Penutup
Kami menegaskan di sini sebaik-baiknya berlaku pengasingan antara pembebasan hutang dengan zakat. Ini adalah lebih ihtiyat dan aula. Justeru, tunaikanlah zakat dengan mengikut apa yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada kita dna berihsanlah kepada mereka yang berhutang untuk dilangsaikannya. InsyaAllah, Allah SWT kurniakan kepada kita dua kebaikan; iaitu pelaksanaan zakat dan juga melangsaikan hutang.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، ونَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan kami berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”
Bertarikh: 15 Ogos 2023 bersamaan 29 Muharram 1445 H