#2639: Baghal Rasulullah SAW

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami jenis baghal yang Rasulullah SAW miliki?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

وَالْخَيْلَ وَالْبِغَالَ وَالْحَمِيرَ لِتَرْكَبُوهَا وَزِينَةً ۚ وَيَخْلُقُ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan (Allah menjadikan) kuda dan baghal serta keldai untuk kamu menunggangnya, dan untuk menjadi perhiasan; dan Ia menjadikan apa yang kamu tidak mengetahuinya.

(Surah al-Nahl: 8)

Baghal ialah binatang hasil daripada pengawanan antara kuda betina dengan keldai jantan.

Ibn Sayyid al-Nas pula menukilkan bahawa Nabi SAW mempunyai enam ekor baghal, iaitu:

  • Baghal yang putih kehitaman yang dipanggil sebagai Duldul
  • Baghal yang dipanggil sebagai Fiddhah
  • Baghal yang dihadiahkan oleh Ibn al-Alma’ yang berasal dari Ailah
  • Baghal yang diutuskan oleh pemilik Dumah al-Jandal
  • Baghal yang dikatakan dihadiahkan oleh Kisra
  • Baghal yang dihadiahkan oleh al-Najasyi. (Lihat ‘Uyun al-Athar, 2/390).

Ibn al-Qayyim menyebutkan, Baginda mempunyai seekor baghal bernama Duldul, dan baghal tersebut berwarna putih kehitaman, yang diberikan kepada Baginda oleh al-Muqauqis, dan baghal lain yang bernama Fiddhah yang dihadiahkan kepada Baginda oleh Farwah al-Juzami. Selain itu, Baginda juga mempunyai baghal putih kehitaman yang diberikan kepadanya oleh penduduk Ailah, dan juga baghal lain yang diberikan kepada Baginda oleh pemilik Dumah al-Jandal. Dikatakan juga bahawa al-Najasyi telah menghadiahkan Baginda seekor baghal dan Baginda menungganginya. (Lihat  Zad al-Ma‘ad, 1/128).

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyebutkan, dalam Sahih Muslim berdasarkan riwayat ‘Abbas, baghal yang digunakan pada peperangan Hunain adalah yang dihadiahkan oleh Farwah Nufathah, dan ini adalah pendapat yang sahih. Akan tetapi Abu al-Husain bin Abdus menyebutkan bahawa baghal yang ditunggangi pada peperangan Hunain ialah Duldul yang putih kehitaman, dihadiahkan oleh al-Muqauqis, manakala yang dihadiahkan oleh Farwah disebut sebagai Fiddhah. Pendapat ini  disebut oleh Ibn Sa‘ad, dan dia juga menyebut pendapat yang bertentangan dengannya. Namun, pendapat yang sahih adalah sebagaimaan riwayat Muslim. (Lihat Fath al-Bari, 6/75).

 

Duldul

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa baghal milik Nabi SAW hanya ada seekor, iaitu yang bernama Duldul. Beliau menukilkan pendapat al-Qadhi, katanya: “Tidak ada riwayat yang menyatakan bahawa Nabi SAW mempunyai baghal selain Duldul.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 15/43). Diriwayatkan daripada Abbas R.Anhuma, katanya:

شَهِدْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ حُنَيْنٍ فَلَزِمْتُ أَنَا وَأَبُو سُفْيَانَ بْنُ الْحَارِثِ بْنِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمْ نُفَارِقْهُ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى بَغْلَةٍ لَهُ بَيْضَاءَ أَهْدَاهَا لَهُ فَرْوَةُ بْنُ نُفَاثَةَ الْجُذَامِيُّ فَلَمَّا الْتَقَى الْمُسْلِمُونَ وَالْكُفَّارُ وَلَّى الْمُسْلِمُونَ مُدْبِرِينَ فَطَفِقَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَرْكُضُ بَغْلَتَهُ قِبَلَ الْكُفَّارِ قَالَ عَبَّاسٌ وَأَنَا آخِذٌ بِلِجَامِ بَغْلَةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَكُفُّهَا إِرَادَةَ أَنْ لَا تُسْرِعَ وَأَبُو سُفْيَانَ آخِذٌ بِرِكَابِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: “Aku pernah menyertai perang Hunain bersama Nabi SAW, maka aku dan Abu Sufyan bin Harith bin ‘Abd al-Muttalib sentiasa mendampingi Rasulullah SAW dan tidak pernah berpisah dengan Baginda. Ketika itu Rasulullah SAW sedang menunggang baghal putihnya, pemberian Farwah bin Nufathah al-Juzami. Apabila kaum Muslimin dan tentera Kafir berhadapan antara satu sama lain, kaum Muslimin berundur ke belakang, kerana itu Rasulullah SAW memacu baghalnya ke arah orang-orang Kafir. Abbas berkata: ‘Dan aku memegang tali kekang baghal Rasulullah SAW, menahannya supaya ia tidak lari laju. Manakala Abu Sufyan pula memegang pelana Rasulullah SAW.’” Riwayat Muslim (1775)

Imam al-Nawawi dalam syarahnya menyebut, baghal putih yang dimaksudkan dalam riwayat ini dan riwayat lain selepasnya dan juga yang dikatakan dalam bab lain dengan tajuk Baghal yang putih kehitaman ialah baghal yang sama. Para ulama menyebutkan, tidak diketahui bahawa Rasulullah SAW mempunyai baghal selainnya, iaitu baghal yang disebut sebagai Duldul. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 12/113).

Ibn Sa‘ad meriwayatkan bahawa al-Zuhri menyebutkan, Duldul dihadiahkan oleh Farwah bin ‘Amr al-Juzami. Diriwayatkan juga bahawa ‘Alqamah bin Abu ‘Alqamah menyebutkan, telah sampai kepadaku bahawa nama baghal Nabi SAW ialah al-Duldul, ia berwarna putih kehitaman, dan ia berada di Yanbu‘ sehingga ia mati. (Lihat al-Tabaqat al-Kubra, 1/141).

 

Baghal dari Ailah

Baghal ini ialah baghal yang dihadiahkan oleh Ibn al-‘Alma’, penguasa Ailah ketika peperangan Tabuk. Diriwayatkan daripada Abu Humaid, katanya:

خَرَجْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ غَزْوَةَ تَبُوكَ فَأَتَيْنَا وَادِيَ الْقُرَى عَلَى حَدِيقَةٍ لِامْرَأَةٍ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اخْرُصُوهَا فَخَرَصْنَاهَا وَخَرَصَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَشَرَةَ أَوْسُقٍ وَقَالَ أَحْصِيهَا حَتَّى نَرْجِعَ إِلَيْكِ إِنْ شَاءَ اللَّهُ وَانْطَلَقْنَا حَتَّى قَدِمْنَا تَبُوكَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَتَهُبُّ عَلَيْكُمْ اللَّيْلَةَ رِيحٌ شَدِيدَةٌ فَلَا يَقُمْ فِيهَا أَحَدٌ مِنْكُمْ فَمَنْ كَانَ لَهُ بَعِيرٌ فَلْيَشُدَّ عِقَالَهُ فَهَبَّتْ رِيحٌ شَدِيدَةٌ فَقَامَ رَجُلٌ فَحَمَلَتْهُ الرِّيحُ حَتَّى أَلْقَتْهُ بِجَبَلَيْ طَيِّئٍ وَجَاءَ رَسُولُ ابْنِ الْعَلْمَاءِ صَاحِبِ أَيْلَةَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكِتَابٍ وَأَهْدَى لَهُ بَغْلَةً بَيْضَاءَ فَكَتَبَ إِلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَهْدَى لَهُ بُرْدًا ثُمَّ أَقْبَلْنَا حَتَّى قَدِمْنَا وَادِيَ الْقُرَى

Maksudnya: “Kami pernah keluar bersama Rasulullah SAW berangkat ke medan perang Tabuk. Ketika kami tiba di wadi al-Qura, berdekatan sebuah taman milik seorang wanita Arab, Rasulullah SAW bertanya kepada kami: ‘Cuba kamu teka berapa banyak buah kurma itu?’ Lalu mereka meneka, sedangkan Rasulullah meneka ada sepuluh gantang kurma. Kemudian Rasulullah berkata kepada wanita Arab itu: ‘Hitunglah berapa sukatan kurma itu dan insya-Allah kami akan datang lagi kembali ke sini hari lain.’ Selepas itu, kami berangkat semula sehingga tiba di Tabuk. Tidak lama kemudian, Rasulullah bersabda kepada kami: ‘Wahai sahabat, malam ini akan datang angin yang amat dahsyat yang akan menimpa kamu. Maka, sesiapa yang membawa unta, ikatlah unta itu erat-erat!’ Memang benar, pada malam hari, angin yang dahsyat bertiup kencang. Terdapat seorang lelaki yang cuba berdiri, tetapi tiba-tiba angin yang dahsyat melanda dan melemparkannya ke dua gunung Tayyi’. Utusan Ibn ‘Alma’ penguasa Ailah datang kepada Rasulullah SAW dengan membawa sepucuk surat dan baghal putih yang dihadiahkan kepada Rasulullah SAW. Setelah menerima kiriman itu, Rasulullah SAW segera membalas suratnya sambil menghadiahkan selendang Baginda. Kemudian kami bertolak lagi sehingga tiba di Wadi al-Qura.” Riwayat Muslim (4230)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa baghal putih yang digunakan pada peperangan Hunain adalah berbeza dengan baghal yang dihadiahkan oleh Penguasa Ailah kerana ia berlaku di Tabuk, manakala peperangan Hunain pula berlaku sebelumnya. (Lihat Fath al-Bari, 6/75; Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 431-435)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”

(Surah al-Kahfi: 10)

Bertarikh: 15 Ogos 2023 bersamaan 29 Muharram 1445 H